Thursday, November 24, 2011

PRU13 : RAMALAN TOK NUJUM (5)

Ketika UMNO/BN bersiap-siaga untuk menghadapi PRU13, seperkara yang perlu dititikberatkan ialah tidak mengulangi kesilapan sebelum ini. Dalam cakap mudah kesilapan yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini dalam mengetuai UMNO/BN mengharungi peperangan dengan pembangkang yang diterajui oleh DSAI.

Jika disenaraikan kesalahan atau kesilapan dulu terlalu banyak tetapi biarlah ruang yang sedikit ini menegur berhubung bab penentuan calon PRU. Selain winnable candidates yang selalu disebut oleh PM, apa yang lebih penting ialah bagilah peluang kepada PM benar-benar membuat pemilihan tanpa dipengaruhi oleh keluarga, sanak-saudara, sahabat handai mahupun penasihat yang adakalanya digelar 'punahsihat'.

Kuasa penentu PM ini penting kerana jika PM tersalah pilih kerana terikut dengan kata-kata manis, nasihat dan berita gembira saja mengenai seseorang calon, maka apa yang dibimbangkan calon itu sebenar sudah kalah sebelum bertanding, jika dipilih menjadi calon BN. Maka janganlah selepas keputusan diumumkan mahu menyesal atau menangis. Menangis air mata darah sekalipun tidak guna, BN tidak dapat dua pertiga.

Contoh terbaik ialah bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin (kini Tan Sri) yang 'dikorbankan' di saat-saat akhir semata-mata kerana perkara ghaib yang pasti membabitkan kaum keluarga atau punahsihat Paklah. Yang lebih menyakitkan hati ialah nasihat daripada budak hingusan yang tidak ada wisdom dan bersikap serbatahu.

Mereka inilah yang kemudiannya dikenalpasti sebagai golongan yang dipertanggungjawab mengubah nama calon dan berlagak sebagai pakar membuat manifesto. Mereka ini, bagi pemerhati politik adalah kumpulan yang menghancurkan UMNO/BN. Kerana mereka, UMNO tersungkur walaupun telah banyak berjasa sejak merdeka lagi. Ironinya, mereka masih ada dalam UMNO dan diberi tempat yang tinggi dalam pelbagai sudut. Sudahlah.

Penulis dan rakan-rakan yang ketika itu sudah bersedia untuk ke Merbok tiba-tiba terpaksa membuat persiapan ke Sungai Petani kerana DS Zainuddin ditukarkan menjadi calon Parlimen Sungai Petani oleh Putrajaya. Alasannya, mereka sendiri saja yang tahu dan mahu. Sama ada untuk 'membunuh' kerjaya DS Zam ataupun untuk membolehkan calon mereka yang entah apa-apa menang mudah di Merbok. Akhirnya semua tersungkur.

Bayangkan ketika itu ramai di kalangan pendokong-pendokong utama DS Mahadhir Khalid sudah bersedia untuk menjadi calon di Sungai Petani terpaksa 'menekan brek' kerana ada calon luar iaitu DS Zam yang akan datang untuk menjadi calon BN. Apa ni?

Kekecewaan itu boleh dirasai jika anda berada di Sungai Petani ketika itu di mana 1001 perkara berlaku yang ada antaranya menjadi faktor kekalahan termasuklah apa yang dilihat oleh pemerhati politik iaitu proses pemasangan poster, jadual turun padang mahupun bahan ceramah setempat. Yang menyedihkan pasukan kami seolah-olah bekerja bersendirian siang malam untuk memastikan rakyat memahami apa yang dibuat oleh kerajaan sebaliknya tiada sokongan 'sepenuh jiwa' dari pihak tertentu. Siapa yang makan cili, dia akan terasa pedas. Yang letih, ada yang bermuka-muka.

Penulis yakin, jika DS Zam bertanding di Parlimen Merbok, sudah pasti 70 peratus beliau akan menang tetapi di Sungai Petani, jika mendapat separuh sokongan pun sudah baik ditambah dengan usaha gigih pasukan berkempen beliau yang bekerja keras.

Oleh itu, tidak perlulah dipanjangkan cerita dalam ruangan terbatas ini. Sebaliknya semua pihak perlulah memberikan sokongan penuh kepada PM untuk membuat pemilihan yang tepat agar UMNO/BN terus memerintah negara ini. Ketepi - keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan punahsihat yang boleh memusnahkan parti.

No comments: