Wednesday, November 16, 2011

PENGIKTIRAFAN KEPADA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Pemilihan Malaysia menduduki satu kerusi dalam Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC) dan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi WHC merupakan satu kejayaan dan pengiktirafan besar terhadap perjuangan mempertahankan warisan, kata Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata pemilihan buat julung kali selepas memperoleh undi daripada 96 negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) itu menunjukkan masyarakat antarabangsa mula melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang serius mengusahakan isu-isu berkaitan warisan dunia dan tempatan.

"Ini satu penghargaan kepada negara kita sekaligus membawa satu tanggungjawab dan interaksi antarabangsa yang amat tinggi nilainya.

"Menerusi Unesco kita akan dapat bergaul dan mendapatkan pandangan dan bimbingan mereka bagaimana Malaysia harus lebih menonjol dalam pencapaian berkaitan dengan warisan untuk masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan dokumentari bersiri Selayang Pandang Warisan Malaysia di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri di sini pada Selasa.

Dokumentari enam siri terbitan Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama syarikat Novista Sdn Bhd akan bersiaran di dalam dua bahasa mulai 20 Nov ini di saluran TV1 (bahasa Melayu) dan TV2 (bahasa Inggeris.)

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Pesuruhajaya Warisan Datuk Prof Zuraina Majid dan timbalannya Prof A. Ghafar Ahmad.

Beliau berkata dengan pemilihan itu, Malaysia akan memainkan peranan menarik perhatian WHC untuk melihat warisan Asia dalam konteks yang baru dengan menekankan supaya kajian-kajian serius yang dilaksanakan oleh pengkaji tempatan atau negara anggota yang lain sebelum ini dapat diberi penilaian baru.

Menjadikan usaha mendapatkan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia bagi Lembah Lenggong di Perak sebagai contoh, Rais berkata Malaysia akan cuba menarik perhatian panel penilai Unesco untuk menilai potensi kawasan tersebut untuk diangkat sebagai kawasan warisan sepertimana yang telah diluluskan Kabinet pada 25 Ogos tahun lepas.

Katanya jika hasrat itu menjadi kenyataan Malaysia sekali lagi akan muncul sebagai pusat warisan dunia yang baru, yang membawa erti cukup besar buat negara khasnya daripada segi ekonomi, pelancongan dan penyelidikan.

"Insya-Allah begitu, Pulau Pinang dan Melaka sudah ada dalam tangan, Taman Negara Kinabalu (Sabah), Mulu (Sarawak) sudah ada, jadi kalau pemerhatian ini dapat kita layani dan beri justifikasi yang dikehendaki, malah sudah pun diberi, saya yakin tahun depan ada berita baik untuk Malaysia," katanya.

Penemuan rangka manusia purba 'Perak Man' di kawasan Lembah Lenggong berusia sekitar 10,000 hingga 11,000 tahun yang lampau adalah antara faktor yang akan menarik perhatian Unesco untuk menjadikan kawasan itu sebagai tapak warisan dan lokasi pelancongan dunia.

Pada 2008, Unesco mengiktiraf Melaka dan George Town di Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia dalam kategori bandar raya.

Sebelum itu, pada 2000, ia mengisytiharkan Taman Negara Kinabalu di Sabah dan Taman Negara Mulu di Sarawak dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia dalam kategori tapak semula jadi.

Mengenai dokumentari itu, Rais berkata ia mengandungi paparan fakta-fakta dan petunjuk menarik yang akan membuatkan setiap penonton memahami erti sebenar sesuatu warisan.

"Jadi ini adalah penting dan kita rasakan telah sampai masanya buat Jabatan Warisan menerajui program seumpama ini dan saya berharap apabila ditayangkan kelak masyarakat kita tertarik untuk mengikutinya," katanya.-- BERNAMA.

No comments: