Monday, November 21, 2011

PRU13 : RAMALAN TOK NUJUM (3)

Sabtu lalu, DS Najib Razak, menyatakan akan mempertimbangkan satu daripada resolusi Konvensyen Media Sosial 1Malaysia yang diadakan di PWTC bahawa calon PRU13 perlu mahir dalam media sosial bagi menjawab segala tohmahan dan fitnah pembangkang mengenai parti dan kerajaan. Beliau berkata demikian di hadapan lebih 2000 pelaku media sosial yang hadir dalam konvensyen yang menyokong gagasan 1Malaysia.

Bagi PM, kemahiran itu adalah satu bonus kerana beliau sendiri menggunakan blog, facebook dan twitter untuk menerangkan kepada rakyat mengenai isu-isu semasa selain menangkis pelbagai dakwaan pembangkang dan serangan peribadi termasuk terhadap anak dan isterinya.

Malah, ketika menunaikan haji baru-baru ini, DS Najib menggunakan kemudahan teknologi canggih itu dengan membuat ucapan Hari Raya Aidiladha dalam IPHONE 4 dan menghantar ke blognya. Ucapan itu disiarkan oleh RTM dan TV3. Ini, katanya, dapat menjimatkan wang untuk membawa RTM/TV3 untuk merakam ucapan hari mulia itu.

Sebenarnya, ramai pemimpin pembangkang sudah menggunakan kemudahan media sosial ini sejak 2000. Ia digunakan sepenuhnya pada pilihan raya 2004 dan seterusnya pada PRU12 untuk menyebarkan pelbagai maklumat parti dan pendirian mereka. Kesan penggunaan ini semakin dirasai kebelakangan ini termasuk menyebarkan bahan mengelirukan.

PM sendiri mengakui bahawa BN perlu memperkemaskan jentera media sosialnya agar ia dapat bersaing dengan cyber tropper pembangkang termasuk menggunakan pelbagai peralatan canggih untuk menghantar mesej kepada masyarakat. Peperangan baru yang menggunakan senjata lama akan menyebabkan kekalahan dan kemusnahan.

Untuk itu, saranan resolusi KMS1M itu perlu diberikan perhatian serius oleh PM kerana jika semua pemimpin UMNO/BN menggunakan sepenuhnya media sosial ini, maka parti dapat menjawab semua dakwaan pembangkang dalam masa yang singkat.

Kesegeraan menjawab segala fitnah dan dakwaan itu akan mengelakkan rakyat terkeliru dan membuat keputusan yang salah. Rakyat perlu mendapat maklumat yang benar bagi memastikan mereka terus menyokong segala dasar dan program yang disediakan untuk mereka.

Pemimpin UMNO/BN juga boleh mendapat maklumbalas segera daripada rakyat terutama teguran terhadap sesuatu dasar. Ini penting untuk membolehkan kerajaan mengubah atau menyesuaikan pandangan itu dalam memastikan program yang dirancang bukan saja baik tetapi juga diterima oleh rakyat keseluruhannya.

No comments: