Saturday, August 14, 2010

SULTAN AZLAN SHAH BIMBANG

IPOH 13 Ogos – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah (gambar) menzahirkan kebimbangan baginda dengan sikap sebahagian daripada generasi baru yang semakin jauh fahamannya dengan salasilah dan asal-usul sejarah tanah air walaupun negara kini di ambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-53.
Ini kerana titah Sultan Azlan Shah, kebelakangan ini telah terdengar suara-suara tuntutan yang sangat bercanggah dan bertentangan dengan semangat penyatuan warga di negara ini sebagai sebuah negara bangsa merdeka lagi berdaulat.

Dalam titah baginda sempena Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-147 yang diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam, baginda turut mengingatkan, Malaysia telah memilih sistem berkerajaan berteraskan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

‘‘Sistem tersebut dicapai berdasarkan formula persepakatan di antara istana dan rakyat; masing-masing ada peranan tertentu terutama dalam suasana yang genting dan kritikal.
‘‘Ia memberi satu perimbangan peranan dan perimbangan kuasa demi menjamin kesejahteraan warga dan kestabilan negara,” titah baginda.

Malah titah baginda, kemuliaan institusi raja perlu didokong secara bersama dan peranan itu harus dilaksanakan dengan bijak oleh Raja Bergelar, Orang Besar dan Ahli-Ahli Dewan Negara Perak dalam menjaga nama baik dan imej institusi raja agar tidak tercemar.- UTUSAN.

(Renungan Rimau : Ampun Tuanku, patek amat bersetuju dengan titah Tuanku. Orang yang minta macam-macam itu perlu melihat cermin. Orang itu juga perlu membaca banyak buku sejarah negara ini agar beliau tahu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Jangan bertilamkan duit tetapi maki semua orang termasuk mempertikaikan dasar kerajaan yang kononnya berat sebelah. Piirraah.)

Friday, August 13, 2010

FIKIR BIJAK SEBELUM BERTINDAK

PELABUHAN KLANG 12 Ogos - Kebiasaannya kes pergaduhan melibatkan golongan muda tetapi lain pula berlaku di sini, apabila seorang warga emas yang tidak berpuas hati menetak sehingga mati jirannya, juga warga emas.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi, di No. 13A, Jalan Sekolah di sini, ketika mangsa, Teo Chai Hock, 70, baru pulang ke rumahnya tersebut dengan menaiki motosikal selepas berjoging.

Chai Hock tiba-tiba diserang oleh suspek yang berusia 64 tahun sehingga mengakibatkan mangsa cedera parah di kepala, muka dan tangan.

Pengawal keselamatan, M. Ramayee, 29, yang berada di kawasan sekolah berdekatan rumah mangsa berkata, dia menyedari kejadian tersebut apabila terdengar bunyi bising.

Katanya, dia kemudian keluar dari pintu pagar sekolah dan melihat suspek sedang menetak mangsa bertubi-tubi menggunakan parang.

"Saya lihat mangsa cuba tepis dengan tangan selepas dilibas parang dan lepas itu mukanya pula dilibas parang sebelum mangsa rebah.

"Saya hanya mampu melihat dan tidak berani buat apa-apa kerana dia ada parang," katanya yang baru tiga bulan bekerja di sekolah tersebut ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, pergaduhan antara mereka berdua telah berlarutan terlalu lama.

"Kemuncaknya kira-kira setahun lalu. Sebelum ini pintu pagar kami yang baru siap masuk sedikit ke dalam kawasan rumahnya.

"Dia mengamuk tak puas hati dan memarahi keluarga kami. Sejak itu kami tak bertegur sapa," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, berikutan itu, pihaknya telah meminta maaf dan membaiki pintu tersebut tetapi jiran mereka tersebut masih tetap tidak berpuas hati.

"Malah malah bunyi anjing menyalak dan air siram pokok bunga pun dia dah melenting," katanya lagi.

Difahamkan ketika kejadian, isteri mangsa berada di rumah manakala empat anaknya keluar bekerja, namun dia tak mampu berbuat apa-apa kerana uzur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, pihaknya menemui sebilah parang yang disyaki digunakan suspek.

"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian si mati baru pulang ke rumahnya manakala suspek ketika itu sedang memotong pokok di halaman rumah.

"Sebaik sahaja melihat mangsa, dia terus meluru dan menetak mangsa sebelum menyerah diri di Balai Polis Pelabuhan Klang," katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ditanya sama ada mangsa mempunyai masalah mental beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Jika kita teliti betul-betul, kebanyakan pergaduhan timbul termasuk dengan isteri disebabkan perkara kecil dan remeh temeh. Adakalanya kita bergaduh kerana bunyi alarm kereta atau terbuang sampah di kawasan jiran. Adakala kita bergaduh kerana bunyi salakan anjing atau bising disebabkan terlalu kuat bercakap. Atau pun jiran suka tergelak besar. Bergaduh dengan isteri pula disebabkan lambat masak nasi atau tidak sediakan secawan kopi. Bila kali terakhir anda bergaduh dengan jiran atau isteri? Dunia..dunia.)

Thursday, August 12, 2010

WAA...MALAYSIA PUN ADA OO7

SHAH ALAM 11 Ogos - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa dirinya diintip oleh pihak-pihak tertentu berikutan penemuan sebuah kamera web di dalam pejabatnya semalam.

Menurut Abdul Khalid, kamera web yang disorokkan di sebalik langsir di belakang mejanya itu ditemui oleh beliau sendiri kira-kira pukul 6 petang.

Beliau bagaimanapun belum membuat laporan polis berhubung penemuan itu dengan alasan mahu menyiasat terlebih dahulu bagaimana kamera web itu berada di pejabatnya.

Jelasnya, kamera web itu ditemui setelah beliau mendengar bunyi seperti isyarat bateri lemah di dalam pejabatnya.

''Saya cari bunyi itu dan akhirnya saya temui kamera web itu di sebalik langsir di belakang meja saya.

''Rupanya bunyi yang saya dengar itu adalah bunyi bateri kamera web tersebut yang sudah lemah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurut Abdul Khalid, beliau kemudian meneliti kamera web tersebut dan mendapati beberapa pertemuan di pejabatnya semalam telah dirakamkan.

Dakwanya lagi, beliau yakin yang kamera web itu sudah agak lama diletakkan di dalam pejabat tersebut dengan tujuan untuk mengintip pergerakannya.

Ditanya mengapa laporan polis mengenai perkara itu tidak dibuat segera, Abdul Khalid memberitahu, beliau mahu membuat siasatan dalaman terlebih dahulu sebelum menyerahkan bukti kepada pihak polis.

''Kita akan tengok rakaman kamera litar tertutup untuk mengesan siapa yang meletakkan kamera web itu dan melihat semua rakaman yang ada di dalamnya.

''Lepas itu baru serahkan pada polis. Kita hanya nak menyenangkan kerja polis, tetapi mereka boleh datang bila-bila masa untuk menyiasat," kata beliau. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Kenkawan pernah mengingatkan DIY supaya berhati-hati ketika bercakap di pejabat kerana mungkin ada alat perakam dipasang di bawah meja atau kerusi. Begitu juga ketika bercakap dalam telefon bimbit atau sms. Orang nak tahu apa yang kita cakap dan laporkan kepada pihak tertentu. Waa, ala James Bond pulak. Berani kerana benar. Apa yang hendak ditakutkan kalau kita berkata benar. Melainkanlah kalau kita suka berbohong macam Si Kitol.)

Tuesday, August 10, 2010

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN

Oleh Tan Melaka

SUASANA menyambut bulan Ramadan lebih terasa di Singapura jika dibandingkan dengan mana mana negeri pun di Malaysia, sama ada oleh rakyatnya sendiri terutama orang Islam atau oleh pelancong.

Sepanjang Jalan Geylang Serai yang masih menjadi pemusatan kediaman orang Melayu telah dihiasi dengan gerbang lampu berwarna-warni yang indah yang di kiri-kanannya telah disediakan dengan berbagai gerai jualan makanan, pakaian dan lain-lain keperluan untuk berbuka puasa dan hari raya.

Tapak Pasar Ramadan yang disediakan lebih teratur, lebih kemas dan bersih dari Pasar Ramadan yang kita dapat saksikan di Jalan Melayu atau kawasan Masjid India dan Kampung Baharu dan Taman Melawati, Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan ribuan manusia setiap bulan puasa.

Bagaimanapun persekitaran di semua kawasan Pasar Ramadan yang popular di negara ini tidak memberikan suasana yang memberikan kebesaran, keceriaan, kesyahduan dan keindahan bulan puasa, tiada usaha untuk mengindahkan suasananya.

Apa yang kita dapat saksikan di sini pada setiap tahun ialah ribuan pengunjung yang datang membeli belah dalam suasana yang tidak selesa malah menyesakkan nafas di samping amat kurang dari segi kebersihan. Jika Jalan Geylang Serai boleh dihiasi dan dikemaskan untuk Pasar Ramadan, kenapa jalan tertentu atau Pasar Ramadan kita tidak boleh mewujudkan suasana yang sama atau lebih baik sedangkan negara ini negara Islam.

Tidaklah dapat dinafikan bahawa pemikiran perdagangan dan orientasi perniagaan kerajaan Singapura telah menyebabkan mereka lebih komited, kreatif dan inovatif dalam mengambil kesempatan dari apa juga perayaan bagi mendatangkan wang kepada rakyat dan negara dan juga bagi menjadikan negara mereka sentiasa dinamik dalam keadaan apa pun.

Maklumat yang saya dapati dalam kunjungan singkat menjelang puasa, selain dari penduduk tempatan berbilang kaum yang mengunjungi pasar Ramadan Geylang Serai ialah kehadiran ribuan pelancong dari luar negara untuk melihat suasana Ramadan di Singapura di samping menjamu selera.

Selain dari itu menjadi suatu kemestian bagi orang orang Melayu dari seluruh Singapura untuk berkunjung ke Geylang Serai bagi bertemu mesra sesama orang Islam di samping membeli juadah.

Menjadi seperti sesuatu yang tidak sah bagi orang Melayu Singapura jika tidak ke Geylang Serai di bulan puasa.

Orang Islam Malaysia yang sangat berbangga dengan keIslaman mereka dan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam akan merasa kecil diri apabila berkunjung ke Geylang Serai dan akan tersandar pada realiti bahawa kita lebih banyak sentimen dari praktikal dalam kebanggaan kita.

Suasana di Geylang Serai itu tidak sahaja dirasakan oleh kalangan Melayu tetapi juga diketahui oleh setiap pemandu teksi dan penduduk kaum lain yang akan menceritakan tentang kemeriahannya kepada anda.

Kita tidak seharusnya terus berbangga kosong sebaliknya mengakui hakikat betapa kurangnya daya inisiatif dan inovatif kita terutamanya di pihak kerajaan.

Menteri Wilayah, Menteri Pelancongan dan lain-lainnya patut melawat Singapura di bulan puasa untuk membuat perbandingan dan merasakan hakikat Singapura sebagai Economic Dynamo.- UTUSAN.

(Renungan Rimau : Surat pembaca ini disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini. Pemerhatian penulis mengenai sambutan berbeza di kedua-dua tambak. Di Malaysia kita sering mengunjungi Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Kampung Baru Kuala Lumpur untuk membeli juadah dan pakaian raya. Malah gerai jualan hidangan berbuka puasa di merata ceruk pun ramai dikunjungi oleh masyarakat bukan Islam. Suasana yang meriah dan harmoni.)

Monday, August 9, 2010

MELAYU MERINTIH DI TANAHAIR SENDIRI

PULAU PINANG 8 Ogos - Tindakan menghalang peniaga Bazar Ramadan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini berniaga sepanjang bulan puasa membuktikan kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP memiliki sikap perkauman yang tebal.

Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO negeri, Aziaan Ariffin berkata, ia memperlihatkan kerajaan negeri mengamalkan budaya pilih kasih terhadap orang Melayu khususnya peniaga kecil.

Menurutnya, keputusan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Komtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik itu merupakan satu bentuk penganiayaan terhadap para peniaga Melayu.

"Ini jelas merupakan diskriminasi terhadap peniaga-peniaga Melayu. Setelah kerajaan negeri merobohkan gerai-gerai orang Melayu, kali ini mereka halang pula peniaga-peniaga Melayu untuk mencari rezeki.

"Ia memperlihatkan sikap pilih kasih pemimpin DAP dan menunjukkan sikap perkauman yang amat tebal," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, pihak pengurusan Komtar, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), iaitu sebuah agensi kerajaan negeri menghalang para peniaga Melayu daripada berniaga di Bazar Ramadan yang diwujudkan di tingkat tiga kompleks tersebut setiap kali Ramadan.

Kesemua 27 peniaga terbabit hanya dimaklumkan kelmarin tentang keputusan PDC itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk mereka memulakan perniagaan semalam.

Aziaan memberitahu, Pemuda UMNO akan bertindak sewajarnya jika masalah para peniaga terbabit tidak diselesaikan.

"Pemuda UMNO Pulau Pinang akan bertindak lebih agresif jika masalah ini tidak diselesaikan segera," tegasnya. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Kalau yang masih tidur, bukalah mata besar-besar. Inilah kerja orang Melaka sorang tu yang ingin meniru pak sedaranya di Singapura. Bapa beliau pernah bekerja dengan orang kuat republik itu. Kini, semua perlu dilaksanakan dengan cepat mungkin sebelum sebarang pemerintahan berubah. Jika tidak berubah, maka mereka boleh meneruskan agenda sehingga UMNO diketepikan dan sedara beliau balik ke negara ini. Kesihan Melayu.)

Friday, August 6, 2010

MELAYU PERLU BERSATU

SHAH ALAM 5 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah hari ini melahirkan rasa dukacita dengan anasir-anasir yang cuba mencabar institusi agama Islam hari ini.

Baginda bertitah, antaranya ialah ajaran sesat, penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam, penyalahgunaan masjid, penglibatan remaja dengan dadah, vandalisme, mat rempit dan gejala sosial.

Justeru baginda mengingatkan umat Islam terutama orang Melayu agar bersatu untuk mempertahankan agama dan bangsa.

‘‘Beta amat berharap agar usaha-usaha dipertingkatkan bagi mengatasi masalah ini dan beta percaya pendidikan adalah penawar utamanya. Oleh itu agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat swasta perlu menjayakan program agama dan pendidikan moral kepada kakitangannya.

‘‘Pertubuhan politik dan bukan kerajaan (NGO) pula berusaha mencari titik pertemuan ke arah perpaduan dengan menjadikan pendidikan sebagai agenda perubahan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika merasmikan Sekolah Rendah Agama Integrasi Sesyen 7 di sini hari ini. Baginda turut berkenan mengisytiharkan nama baru sekolah tersebut sebagai Sekolah Rendah Agama Integrasi Dato’ Mufti Yusof Sahabuddin sempena nama Mufti Selangor yang pertama.

Ia bagi mengenang jasa dan mengiktiraf sumbangan Allahyarham dalam pembangunan Islam di negeri ini.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan JAIS dan mereka yang bertanggungjawab dengan pembangunan pendidikan agama di negeri ini agar sentiasa berwaspada dan memastikan para guru dan pendidik agama Islam terdiri daripada mereka yang berpengetahuan, berkelayakan dan mempunyai tauliah.

Titah baginda, ini bagi mengelakkan penyelewengan dan kekeliruan di kalangan pelajar yang akhirnya boleh merosakkan masyarakat Islam di negeri ini.

‘‘Beta menitahkan supaya perkara ini dipandang serius dan tindakan yang tegas perlu diambil kepada mereka yang melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” tegas baginda. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Ampun Tuanku, titah tuanku perlu difikirkan oleh pemimpin Melayu. Mereka perlu memikirkan kepentingan bangsa daripada diri sendiri. Mereka perlu bersatu untuk mengetepikan si Kitol yang memecahkan Melayu. Secara senyap dan tersusun. Jika dulu, penjajah Inggeris yang memecah-belahkan bangsa Melayu. Kini, si Kitol pula yang memecahkan orang Melayu jadi tiga kumpulan - UMNO, PKR dan PAS)

Thursday, August 5, 2010

KAMAL TERUSKAN PERJUANGAN

Usaha Datuk Zaid Ibrahim untuk membatalkan keputusan pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu yang dimenangi oleh BN menerusi calon MIC,P Kamalanathan gagal. Zaid, calon PKR pilihanraya kecil itu tewas dengan majoriti 1,725 undi.Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi Khamis menolak petisyennya yang mendakwa janji pilihanraya Barisan Nasional semasa kempen pilihanraya itu adalah satu bentuk sogokan. menolak petisyen itu dibuat oleh Hakim Datuk Azahar Mohamed. Beliau memutuskan petisyen itu cacat kerana tidak mematuhi keperluan mandatori.- AGENDADAILY / 5/8/2010.

(Renungan Rimau : Kamal perlu membuktikan pemilihan beliau adalah tepat dan memastikan segala janji BN ditunaikan. Ini penting kerana ramai rakyat terutama di luar bandar masih dahagakan pembangunan dan kemudahan infrastruktur. Beliau perlu melakukan satu transformasi persepsi massa bahawa wakil rakyat BN tetap memperjuangkan nasib rakyat. Ada segelintir yang menjadi 'nila' menyebabkan 'susu sebelanga' menjadi rosak. Pencenkan mereka ini pada masa akan datang.)

Tuesday, August 3, 2010

AMAT MALU DAN MENGECEWAKAN

SHAH ALAM 2 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor akan menghadap Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah bagi memohon maaf terhadap insiden memalukan yang berlaku ketika baginda hadir merasmikan acara Festival Lagu-Lagu Islamik Antarabangsa 4 Julai lalu.

Menurut laporan akhbar The Malay Mail hari ini, antara insiden memalukan itu termasuk kegagalan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menjemput ketibaan Seri Paduka pada acara tersebut.

Selain itu, hanya kira-kira 200 pengunjung hadir pada festival yang diadakan di Stadium Tertutup Melawati yang mampu memuatkan 5,000 orang penonton itu.

Lebih memburukkan keadaan apabila kerajaan negeri turut gagal memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kehadiran Raja Permaisuri Agong ke acara tersebut.

Pengurus Besar Pelancongan Selangor, Noorul Ashikin Mohd. Din berkata, kerajaan negeri sedang menunggu pihak istana bagi memaklumkan tarikh untuk pihaknya menghadap Seri Paduka bagi menjelaskan perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya yang diketuai Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong akan menghadap Tuanku Nur Zahirah nanti.

Noorul Ashikin berkata, pihaknya tidak dapat bertemu dengan baginda lebih awal memandangkan jadual ketat Raja Permaisuri Agong sebelum ini.

Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, Abdul Khalid sebelum ini telah mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor ekoran insiden tersebut.

Katanya, kerajaan negeri telah membincangkan perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu.


(Renungan Rimau : Sahabat memberitahu DIY hanya lebih kurang 100 orang datang dan beliau dalam rombongan Permaisuri Agong amat kecewa dengan keadaan sedemikian. Apalah kamu labu...hormatilah sikit.)

KIBARKAN JALUR GEMILANG


Marilah bersama-sama kita kibarkan jalung gemilang (JG) sebagai tanda hormat kita kepada perjuangan bapa bangsa Malaysia yang memerdekakan negara ini.

Pengibaran JG menunjukkan kesetiaan kita kepada negara tercinta di samping memastikan keamanan dan keharmonian yang dicapai selama ini dipertahankan sehingga ke akhir hayat.

Monday, August 2, 2010

SHABERY YAKIN BARISAN BARU

BANDUNG -- Barisan kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang turut diterajui Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa (gambar) diyakini mampu membawa pembaharuan kepada bola sepak Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyifatkan pemilihan Tengku Abdullah sebagai timbalan presiden persatuan itu bersama-sama Annuar, merupakan perkembangan yang positif.

Apatah lagi, ujar beliau, kedua-dua mereka memang aktif, cergas dan disegani yang pastinya dapat membangunkan program bola sepak sebagaimana yang ditunjukkan Tengku Abdullah, ketika memimpin persatuan hoki kebangsaan.

"Bagi pihak Kementerian, kami telah menubuhkan jawatankuasa bola sepak, kami merancang untuk membangunkan beberapa akademi bola sepak seperti di Pahang, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor. Kita perlukan pusat satelit dan ia memerlukan persetujuan FAM," katanya kepada pemberita semasa menyertai pertandingan golf amal di sini, semalam.

Kelmarin, Tengku Abdullah dan Annuar dipilih untuk menerajui FAM bagi penggal 2010/2014, manakala Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, mengekalkan jawatan presiden yang disandang baginda sejak 1984, apabila menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup pada 18 Julai lalu.

Penyandang jawatan itu, Khairy Jamaluddin tidak mempertahankan jawatannya, sementara Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad tewas. Dua lagi calon bagi jawatan timbalan presiden tetapi tewas ialah Datuk Che Mat Jusoh dan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Bagi jawatan naib presiden, Datuk Afandi Hamzah muncul satunya-satu penyandang yang berjaya mempertahankan jawatannya. Datuk Subahan Kamal memperolehi undi tertinggi dengan 28 undi, diikuti Datuk Hamidin Mohd Amin (27 undi), Afandi (20) dan Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd Hashim (19).
Mengulas lanjut, kata Ahmad Shabery, Annuar telah menunjukkan rekod cemerlang ketika memimpin Persatuan Bola Sepak Kelantan sehingga mencetuskan beberapa model baru dalam bola sepak negara. Idea beliau, kata Ahmad Shabery, menjadikan pembangunan bola sepak di Kelantan sebagai inisiatif rakyat, membolehkan ia bergerak tanpa mengharapkan bantuan kerajaan. - Utusan.
(Renungan Rimau : Akan menghadap Tengku tidak lama lagi.)