Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi, di No. 13A, Jalan Sekolah di sini, ketika mangsa, Teo Chai Hock, 70, baru pulang ke rumahnya tersebut dengan menaiki motosikal selepas berjoging.
Chai Hock tiba-tiba diserang oleh suspek yang berusia 64 tahun sehingga mengakibatkan mangsa cedera parah di kepala, muka dan tangan.
Pengawal keselamatan, M. Ramayee, 29, yang berada di kawasan sekolah berdekatan rumah mangsa berkata, dia menyedari kejadian tersebut apabila terdengar bunyi bising.
Katanya, dia kemudian keluar dari pintu pagar sekolah dan melihat suspek sedang menetak mangsa bertubi-tubi menggunakan parang.
"Saya lihat mangsa cuba tepis dengan tangan selepas dilibas parang dan lepas itu mukanya pula dilibas parang sebelum mangsa rebah.
"Saya hanya mampu melihat dan tidak berani buat apa-apa kerana dia ada parang," katanya yang baru tiga bulan bekerja di sekolah tersebut ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, pergaduhan antara mereka berdua telah berlarutan terlalu lama.
"Kemuncaknya kira-kira setahun lalu. Sebelum ini pintu pagar kami yang baru siap masuk sedikit ke dalam kawasan rumahnya.
"Dia mengamuk tak puas hati dan memarahi keluarga kami. Sejak itu kami tak bertegur sapa," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, berikutan itu, pihaknya telah meminta maaf dan membaiki pintu tersebut tetapi jiran mereka tersebut masih tetap tidak berpuas hati.
"Malah malah bunyi anjing menyalak dan air siram pokok bunga pun dia dah melenting," katanya lagi.
Difahamkan ketika kejadian, isteri mangsa berada di rumah manakala empat anaknya keluar bekerja, namun dia tak mampu berbuat apa-apa kerana uzur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, pihaknya menemui sebilah parang yang disyaki digunakan suspek.
"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian si mati baru pulang ke rumahnya manakala suspek ketika itu sedang memotong pokok di halaman rumah.
"Sebaik sahaja melihat mangsa, dia terus meluru dan menetak mangsa sebelum menyerah diri di Balai Polis Pelabuhan Klang," katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ditanya sama ada mangsa mempunyai masalah mental beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Jika kita teliti betul-betul, kebanyakan pergaduhan timbul termasuk dengan isteri disebabkan perkara kecil dan remeh temeh. Adakalanya kita bergaduh kerana bunyi alarm kereta atau terbuang sampah di kawasan jiran. Adakala kita bergaduh kerana bunyi salakan anjing atau bising disebabkan terlalu kuat bercakap. Atau pun jiran suka tergelak besar. Bergaduh dengan isteri pula disebabkan lambat masak nasi atau tidak sediakan secawan kopi. Bila kali terakhir anda bergaduh dengan jiran atau isteri? Dunia..dunia.)
No comments:
Post a Comment