Monday, August 2, 2010

SHABERY YAKIN BARISAN BARU

BANDUNG -- Barisan kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang turut diterajui Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa (gambar) diyakini mampu membawa pembaharuan kepada bola sepak Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyifatkan pemilihan Tengku Abdullah sebagai timbalan presiden persatuan itu bersama-sama Annuar, merupakan perkembangan yang positif.

Apatah lagi, ujar beliau, kedua-dua mereka memang aktif, cergas dan disegani yang pastinya dapat membangunkan program bola sepak sebagaimana yang ditunjukkan Tengku Abdullah, ketika memimpin persatuan hoki kebangsaan.

"Bagi pihak Kementerian, kami telah menubuhkan jawatankuasa bola sepak, kami merancang untuk membangunkan beberapa akademi bola sepak seperti di Pahang, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor. Kita perlukan pusat satelit dan ia memerlukan persetujuan FAM," katanya kepada pemberita semasa menyertai pertandingan golf amal di sini, semalam.

Kelmarin, Tengku Abdullah dan Annuar dipilih untuk menerajui FAM bagi penggal 2010/2014, manakala Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, mengekalkan jawatan presiden yang disandang baginda sejak 1984, apabila menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup pada 18 Julai lalu.

Penyandang jawatan itu, Khairy Jamaluddin tidak mempertahankan jawatannya, sementara Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad tewas. Dua lagi calon bagi jawatan timbalan presiden tetapi tewas ialah Datuk Che Mat Jusoh dan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Bagi jawatan naib presiden, Datuk Afandi Hamzah muncul satunya-satu penyandang yang berjaya mempertahankan jawatannya. Datuk Subahan Kamal memperolehi undi tertinggi dengan 28 undi, diikuti Datuk Hamidin Mohd Amin (27 undi), Afandi (20) dan Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd Hashim (19).
Mengulas lanjut, kata Ahmad Shabery, Annuar telah menunjukkan rekod cemerlang ketika memimpin Persatuan Bola Sepak Kelantan sehingga mencetuskan beberapa model baru dalam bola sepak negara. Idea beliau, kata Ahmad Shabery, menjadikan pembangunan bola sepak di Kelantan sebagai inisiatif rakyat, membolehkan ia bergerak tanpa mengharapkan bantuan kerajaan. - Utusan.
(Renungan Rimau : Akan menghadap Tengku tidak lama lagi.)

1 comment:

jebat said...

DIY,

Pokok lama yang di tebang kemudian tanam semula dengan pokok baharu. Sepaputu nya pokok lama kena bersihkan hingga ke akar akar nya. Baru di tanam semula dengan pokok baru. Akar akar lama yang tertinggal boleh membawa penyakit sEperti kulat dan lain lain lagi.

Bagaimana pun kita TUNGGU perkembangan seterusnya. JANGAN PERAJUDIS !!!