Sunday, April 29, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (15)

Hari ini, Batang Berjuntai mati. Sepuluh hari selepas aku dan Tok G melawatnya. Penyakit beruk bersarangnya sudah melarat. Tidak boleh diubati. Beliau sendiri yang mencari pasal. Meniduri ramai beruk betina yang datang kotor. Terkena penyakit itulah balasannya. Diharapkan akan menjadi ingatan kepada beruk lain di Bukit Putra.

Sebenarnya, Batang Berjuntai ini seekor beruk yang pandai. Menurut Tok G kedua-dua kepalanya pandai. Satu yang atas dan satu di bawah. Tetapi dia banyak menggunakan kepala di bawah. Akibatnya, dia tidak berfikir ketika melakukan perkara yang terkutuk itu. Kerana mengejar kepuasan, badan menjadi korban. Kerana mengikut nafsu, badan akhirnya menjadi kaku.

Sebelum dia terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu, Batang Berjuntai sebenarnya adalah antara beruk yang banyak membantu membangunkan Bukit Putra. Dia mengajar beruk lain menanam pokok yang boleh mengeluarkan hasil yang boleh dimakan. Kepandaiannya itu membolehkan penduduk Bukit Putra mampu menikmati bekalan makanan yang mencukupi. Manusia juga mengambil kesempatan dengan mengambil buah-buahan di Bukit Putra ketika musim rambutan, manggis dan durian.

Kepandaiannya itu berjaya memikat ramai beruk betina lain. Mereka sering menggodanya dan oleh kerana tidak tahan digoda, maka Batang Berjuntai menjadi mangsa keadaan.
Oleh kerana dipuja, Batang Berjuntai hidup mewah. Bapa beruk sanggup memberikan anak dara mereka kepada dia. Dia juga mendapat bekalan makanan yang lumayan. Ini turut menguntungkan beberapa penyokong kuatnya. Antaranya Gomok, yang turut dihinggapi penyakit beruk bersarang. Gomok mati sebulan lalu.

Berita kematian Batang Berjuntai cepat tersebar. Ramai yang berkunjung kerumahnya. Antaranya ialah beruk-beruk betina yang pernah menjadi teman tidurnya. Tok G mengarahkan Rambut Panjang membakar mayat Batang Berjuntai untuk menggelakkan penyakit merebak. Ini yang dilakukan terhadap mayat Gomok. Abu daripada mayat itu dibuang dalam Sungai Puchong yang memang sudah kotor oleh manusia durjana. Manusia membuang segala jenis bahan-bahan toksid ke dalam sungai itu. Yang peliknya, pihak berkuasa seolah-olah menutup sebelah mata. Akibatnya, sungai yang satu ketika dahulu tempat bermandi-manda beruk Bukit Putra, kini mengalir lesu.

Dalam perjalanan pulang daripada membuang abu mayat Batang Berjuntai, Tok G sempat bertanya mengenai masa untuk aku mengakhiri zaman bujangku. Aku tidak boleh menjawabnya. Dulu, aku memang ada hati dengan Bedah Menyala. Tetapi dia sudah berkahwin dengan Kumor Buih. Kini,tiada sesiapa yang dapat menawan hatiku.

Dalam perjalanan itu, kami tersempak dengan Ijok, beruk betina muda yang menawan. Hatiku berdebar-debar. Ijok sempat menjeling aku. Matanya yang bundar itu menusuk kalbuku. Kulitnya putih melepak, memang idamanku. Bau rambutnya yang panjang mengurai itu membuat aku khayal. Adakah Ijok akan menjadi bakal teman hidupku?

No comments: