Wednesday, April 11, 2007

RUMAH SATU PELABURAN EMOSIONAL


(Gambar Hiasan)

Ketika makan di Shah Alam tengah hari tadi, rakan bertanya, mengapa kita perlu membeli rumah? Saya jawab untuk diduduki dan membesarkan anak. Seterusnya, beliau menerangkan bahawa penduduk di Australia kebanyakan menyewa rumah mereka. Oleh itu, mereka bebas untuk berpindah apabila rumah yang diduduki tidak sesuai dengan jiwa. Mereka mungkin berpindah kerana teringin sebuah rumah di tepi pantai atau di atas gunung. Mereka berpindah kerana tidak sesuai dengan jiran sebelah atau hadapan.

Seorang penceramah pernah memberitahu bahawa rumah adalah satu "pelaburan emosional". Dalam ertikata lain rumah yang dibeli itulah tempat kita membesarkan anak dan mengharungi pelbagai peristiwa pahit manis. Tidak hairanlah, ada orang yang tidak mahu menjual rumah teres yang sederhana besar, sedangkan beliau mampu untuk membeli banglo. Ini kerana aspek "emosional" rumah itu sukar untuk dicari ganti.

Bagi sesetengah pihak, rumah yang "menyaksikan" pembesaran anak-anak mereka tidak akan dijual walaupun ditawarkan pada harga yang tinggi. Ini untuk membolehkan anak-anak mereka mengingati "tempat jatuh bangun", tempat mengalirkan air mata dan tempat dimanjakan oleh ibu bapa. Namun, apabila rumah itu diserahkan kepada salah seorang daripada mereka, sudah tentu nasib rumah berkenaan "tidak ketahuan".

Baru-baru ini, terbaca sebuah artikel di akhbar mengenai seorang bekas pemimpin tertinggi polis yang hanya tinggal di kawasan rumah teres walaupun mampu untuk membeli banglo. Alasan mereka ialah selesa tinggal di tempat itu termasuk jiran yang ramah mesra. Ini adalah faktor yang menyebabkan kita tinggal lama di sesuatu kawasan itu - JIRAN YANG BAIK HATI DAN BERBUDI BAHASA.

No comments: