Friday, April 13, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (5)

Tok Dolmat Telinga Capang amat marah. Kumpulannya kalah dalam pemilihan wakil beruk semalam. Kemarahan itu amat jelas. Telinganya yang capang itu kelihatan bergerak-gerak. Matanya merah menyala umpama biji saga. Orang di sekelilingnya amat kecut. Ini termasuk Khenot yang kalah teruk bagi kawasan bawah bukit selatan. Beliau dikalahkan oleh Kubang Kebau, anak Jering Tinggi.

Dalam pemilihan kali ini, perwakilan beruk dikuasai oleh kumpulan yang diketuai oleh Tok Gigi Jarang. Ini termasuk orang nombor duanya, Tok Boroi Besau. Tok Dol menggunakan lambang bukit manakala Tok G memakai lambang pokok kelapa sawit.

Di kem Tok G diadakan kenduri doa selamat. Jinnah dan Jibam ada disitu. Mereka menikmati makanan enak seperti pelbagai jenis pisang, tembikai susu, isi kelapa, air kelapa muda dan biji getah.

Bukan main bedal si Jibam. Macam beruk tidak pernah makan. Jinnah mententeramkan anaknya. Makan perlahan-lahan. Jangan gelojoh. Nanti tercekik. Jalan. Siapa nak jaga mak? Baik mak, jawab Jibam perlahan. Tetapi gerak langkah hanya terhenti seketika. Jibam terus makan, tanpa melihat kiri kanan. Jinnah hanya boleh menggelengkan kepala saja. Tidak terdaya hendak menegur selalu.

Pemilihan wakil beruk diadakan setiap 100 kali hujan. Ini bermakna selepas hujan seratus kali, maka diadakan pemilihan beruk di Bukit Putra. Ada sepuluh perwakilan iaitu bawah bukit utara, selatan, timur dan barat. Atas bukit utara, selatan, timur dan barat. Dua lagi kawasan ialah menara telekomunikasi dan kawasan bawah high tension wire (htw). Kumpulan yang menang boleh membuat peraturan sesuka hati mereka sehinggalah pemilihan akan datang. Hanya dua kumpulan terbabit.

Kebetulan kumpulan Tok Dol memegang pemerintahan Bukit Putra lebih lama sikit kali ini kerana musim kemarau yang berpanjangan. Maka pelbagai dasar dilaksanakan oleh Tok Dol sehingga menyebabkan ramai beruk yang tidak suka. Antaranya meminta semua beruk menyumbangkan tiga biji pisang setiap minggu kepada dana kumpulan. Sebelum ini, Kumpulan Tok G, hanya meminta beruk menyumbangkan sebiji pisang saja.

Kumpulan Tok Dol, dikatakan memenangi pemilihan sebelum ini dengan memberikan buah rashu kepada beruk-beruk yang layak mengundi dalam pemilihan. Mereka menguasai lapan daripada sepuluh kerusi. Namun, kali ini taktik Kumpulan Tok Dol tidak diterima lagi kerana pelbagai dasar dan perubahan yang dilakukan amat memeritkan kebanyakan beruk-beruk di Bukit Putra termasuk Jinnah.

Klimaksnya ialah apabila Kumpulan Tok Dol memaksa semua beruk membuang air kecil dan besar di bawah pokok ketika waktu malam. Tindakan itu amat dimarahi oleh beruk-beruk kerana peraturan baru itu tidak memikirkan keselamatan beruk. Kumpulan Tok Dol melaksanakan peraturan itu berikutan kejadian Tok Dol terkena air kencing Kembang Baru ketika mengutip biji getah di bawah pokok Kembang. Mengutip biji getah adalah pengakuan Tok Dol ketika kejadian itu berlaku. Itu yang menyebabkan beliau memaksa peraturan itu dibuat serta-merta.

Namun, bagi beruk-beruk Bukit Putra, tindakan itu tidak wajar. Bagi mereka, takkan kerana terkena air kencing Kembang akibat Tok Dol merayau di waktu malam, menyebabkan peraturan itu dibuat. Ini boleh mengakibatkan nyawa beruk-beruk Bukit Putra melayang ditelan ular sawa atau binatang buas. Tetapi ramai yang mengesyaki Tok Dol membuat "perkara lain" di bawah pokok Kembang Baru.

Apapun, Kumpulan Tok G memenangi tujuh daripada sepuluh perwakilan kali ini. Tok G mewakili kawasan bawah bukit timur. Tok Dol yang mewakili kawasan menara telekomunikasi memenangi pemilihan bersama dua beruk yang mewakili atas bukit utara dan atas bukit timur.

Jinnah dan Jibam sudah sampai ke rumah mereka. Terasa senak perut kerana terlalu kenyang. Jika dulu, beliau terpaksa turun ke pangkal pokok untuk menyahut panggilan alam tetapi kini tidak perlu lagi. Dari atas pokoknya, sambil tersenyum, beliau membuat "kerja itu", setidak-tidaknya sehinggalah pemilihan yang akan datang.

No comments: