Tuesday, April 10, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (2)

Hari ini Jibam sakit perut. Makan makanan yang diberikan oleh orang ramai di bawah bukit. Aku dan Jibam seronok menerima makanan yang diberikan oleh orang Cina dan India. Bagi kedua-dua bangsa ini, monyet dan beruk adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Ada monkey god dan Ramayana.

Bagi orang Melayu, beruk digunakan untuk panjat pokok kelapa kebanyakan di Pantai Timur. Malah, di Terengganu ada sekolah untuk mengajar beruk memanjat kelapa. Semua ini aku dengar MANUSIA bercerita ketika lepak berdekatan dengan Restoran Mamak Bistro di Putra Hait.

Jibam makan dengan gelojoh. Orang lempar limau, dia makan. Orang bagi pisang, dia telan. Tapi yang menyebabkan Jibam sakit perut ialah makan burger, makanan segera yang amat digemari oleh manusia. Ada yang berpendapat makanan segera menyebabkan banyak penyakit kronik sekarang. Sampaikan nak mengharamkan iklan makanan segera di televisyen. Sampai begitu sekali. Jibam tak serasi dengan burger yang dipenuhi sos cili dan cuka. Bahan cuka menipiskan usus Jibam.

Aku bawa Jibam menemui Tok Dukun Pandei yang menggunakan akar kayu untuk mengurangkan kesakitan. Tok Dukun Pandei tidak mengenakan bayaran mahal, cukup sekadar sebiji pisang untuk makan malamnya. Setelah minum air jampi yang diberikan oleh Tok Dukun Pandei, keadaan Jibam beransur pulih. Jibam..oh...Jibam.

Sementara dah jumpa Tok Dukun Pandei (TDP), aku minta dia tolong tengok sakit gatal-gatal aku. Dia bagi akar kayu untuk digosok. TDP ini seorang yang jujur. Dia tidak pegang aku kalau tidak perlu. Yang peliknya, aku dengar cerita ada pulak manusia yang sanggup membiarkan dirinya diperkosa kerana percaya cakap dukun. Mereka termakan cakap dukun bahawa dengan mengadakan persetubuhan maka roh jahat akan keluar. Ada yang bebal bagi wang banyak-banyak kat dukun. Macamlah dukun tu tuhan. Apa punya manusia macam itu? Lebih baik jadi beruk.

Dalam perjalanan ke rumah TDP, aku nampak banyak lori yang membawa tanah untuk membuat jalan baru. Lori-lori itu membuat kotor merata-rata di jalan lama. Aku rasa penduduk Putra Hait tentu tak selesa dengan pergerakan lori-lori tanah itu.

Petang ini, aku nak jumpa Khenot untuk memberitahu masalah banjir yang melanda rumahku. Aku tidak tahan lagi dengan keadaan ini. Aku perlu rumah di tempat yang lebih tinggi. Khenot, wakil bawah bukit selalu gagal untuk melaksanakan tugas dan aku rasa pemilihan yang akan datang aku pilih orang lain. Nama Khenot ini diberikan kerana semua perkara beliau kata tak boleh buat. Bahasa orang putih bermaksud cannot. Macam mana nak jadi wakil beruk kalau semunya "khenot-khenot" belaka.

Jinnah, kau ada rumah ke? Ada. Naiklah Khenot. Ha tu pun kau. Apa masalah kamu? Masalah aku ialah rumahku sering dinaiki air apabila hujan lebat. Macam mana aku nak buat. Kau tolonglah cari pokok baru di atas bukit itu. Tak boleh. Tak Boleh. Nanti Tok Dol marah sebab kau tak layak duduk atas bukit. Kau golongan marhain. Macam mana nak campur golongan atasan. Ahhh..apa nak sibukkan golongan marhain atau atasan. Yang penting rumah aku tak banjir apabila hujan. Oklah, aku cuba tanya dengan Tok Dol.

Khenot berlalu pergi. Jibam sudah lama tidur. Sakitnya semakin berkurangan. Terima kasih TDP kerana membantu. Sejak aku menjanda, tak ramai beruk-beruk jantan datang mengendeng dekat aku. Mentang-mentang aku ni dah tua sikit, tiada yang mahu. Dulu, ketika aku muda terang tangtang, ramai beruk-beruk jantan termasuk yang bertombong besar di buntut terhegeh-hegeh dengan aku. Tapi kini semuanya sudah berlalu. Beruk-beruk jantan tu tak jengok pun aku. Masa aku sakit demam, mereka tak peduli langsung. Bagi mereka biarlah aku mampus, lagi bagus. Aku bersendirian dengan Jibam. Beliaulah satu-satu penglipur lara dan teman sejati aku.

Banyak rakan-rakan aku telah berhijrah ke tempat lain. Ada yang ke Puchong dan ada juga yang pergi ke hutan berhampiran Shah Alam. Tetapi di Shah Alam, banyak bukit dan digondolkan maka beruk takut nak pergi ke situ. Kalau manusia tak faham nasib beruk, maka lebih baik jadi beruk.

No comments: