Saturday, May 26, 2007

APA YANG ANDA TUNGGU?


(Tom Hanks. Gambar oleh Art.Com)

Dalam movie Terminal, Tom Hanks, pernah meluahkan ungkapan bahawa dalam kehidupan ini, manusia sentiasa menunggu. Jika kita hendak ke London, kita akan menunggu penerbangan ke London di lapangan terbang. Jika hendak duit, kita kena tunggu gaji di akhir bulan. Melainkan orang kaya atau jutawan. Jika kita hendak solat, kita kena tunggu waktu masuk solat. Tunggu dan terus menunggu. Penuh debaran.

Ada orang menunggu sejam, ada pula sehari dan tidak kurangnya menunggu sehingga sebulan. Malah ada juga yang menunggu sehingga setahun atau beberapa tahun. Umpamanya baru-baru ini disiarkan dalam berita di televisyen, ada pembeli rumah yang menunggu hampir lapan tahun tetapi rumah mereka tidak siap lagi. Yang pelik tiada tindakan terhadap pemaju. Pembeli yang menerima kesannya. Ada invididu yang terpaksa menunggu 30 tahun untuk menemui ibu kandung mereka. Tidak terbayang betapa gembiranya hati mereka apabila tiba masanya untuk menemui ibu yang "hilang" selama 30 tahun.

Apa yang anda tunggu? Sudah tentu pelbagai jawapan. Ada yang menunggu jawapan kekasih mengenai lamaran. Ada juga menunggu jawapan temuduga untuk menyertai jabatan kerajaan atau swasta. Tidak kurang juga yang menunggu kelahiran anak pertama. Bagi kontraktor, mereka pasti menunggu bayaran projek yang sudah dilaksanakan. Adakalanya tidak kunjung tiba hingga beberapa bulan. Akibatnya terpaksalah mereka gulung tikar.

Dr Halim Ali menunggu kilangnya siap di Banting. Bakal-bakal calon Parlimen dan DUN menunggu waktu Perdana Menteri untuk mengumumkan pilihanraya. Ada pesakit kanser yang kronik hanya menunggu waktu untuk menemui pencipta mereka. Penerbit filem menunggu sambutan peminat terhadap filem yang baru dikeluarkan. Kalau untung bolehlah berkongsinya dengan pengarah dan pelakon.

Saya sering menggunakan istilah menunggu "duit jatuh dari langit". Apabila saya menyebut perkara itu ramai yang ketawa. Malah auntie yang menjual kamera kepada saya bulan lalu juga berkata: "Saya juga tunggu wang tulun dari langit. Inilah yang kita mahu. Wang banyak-banyak tulun dari langit". Adakah anda juga menunggu wang jatuh dari langit?

No comments: