Wednesday, May 30, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (22)

Aku terkejut mendengar penerangan daripada Rambut Panjang. Ada beruk yang menjadi petualang di Bukit Putra. Mereka menjadi pengkhianat masyarakat beruk. Mereka membocorkan pelbagai rahsia beruk. Mereka sanggup berbuat demikian semata-mata kerana sikap rakus dan tamak untuk mendapat habuan. Jika ini berterusan, Bukit Putra tidak akan selamat untuk masyarakat beruk.

Rambut Panjang memberitahu kumpulan petualang ini baru-baru ini memberi pelbagai maklumat kepada haiwan luar. Mereka berbaik-baik dengan anjing-anjing liar, yang satu ketika dulu pernah menyerang masyarakat beruk. Sebagai balasan, anjing liar itu memberi mereka makanan sedap yang dibuang oleh manusia yang tinggal di Putra Hait.

Manusia di kawasan itu kini semakin mewah dan boros. Mereka sanggup menghabiskan duit dengan membeli pelbagai makanan. Ada antaranya membeli secara berlebihan. Apabila tidak larat makan lagi, maka makanan itu dibuang. Tindakan mereka ini amat teruk memandangkan ramai lagi manusia miskin di luar Putra Hait. Ada yang makan sehari sekali malah ada juga yang makan dua hari sekali. Menahan perut dengan minum air paip dan roti kosong.

Manusia boros ini juga sanggup membuang duit dengan membina rumah bagaikan mahligai. Yang pelik, hanya dua orang yang tinggal di rumah besar itu. Ini kerana anak-anak mereka mahu tinggal berasingan. Tidak mahu diganggu oleh ibu bapa. Ingin membangunkan keluarga sendiri tanpa kongkongan ibu bapa. Mahu bebas. Mahu bertindak cara sendiri. Ada yang berjaya tetapi ramai yang bermasalah dan bercerai-berai.

Akibat tinggal dua orang, maka gelagat manusia kaya itu diperhatikan oleh manusia lain yang mencari peluang untuk merompak harta kekayaan mereka. Ada manusia yang menjadi perompak kerana tidak boleh berfikir lagi untuk mencari sesuap nasi. Ada juga manusia menjadi perompak kerana sejak dari kecil lagi pandai menipu dan mengebas duit ibu bapa mereka. Apabila sudah kesedapan, maka mereka akan menjadi perompak. Yang semakin agresif ini ialah manusia yang mengambil pelbagai jenis dadah. Ada yang menagih dan menjadi sampah masyarakat. Akibat ketagihan, manusia sanggup membunuh darah daging mereka. Mereka membunuh ibu bapa dan sanak saudara. Manusia seperti inilah perosak bangsa dan negara.

Dalam usaha membanteras petualang masyarakat beruk ini, Rambut Panjang mengesyorkan kepada aku agar dibuat perangkap untuk menangkap anggota kumpulan ini. Beliau mahu beberapa ekor beruk menyamar menjadi anggota kumpulan berkenaan dan membuat laporan dari semasa ke semasa. Aku bersetuju dengan cadangan itu. Gerakan penyamaran itu akan dilakukan tidak lama lagi. Kita lihat sajalah hasil gerakan ini.

Selain petualang, Rambut Panjang juga menyebut bahawa manusia luar bukan rakyat tempatan kini sudah mula membuat rumah di tepi-tepi bukit. Makin bertambah dari hari ke hari. Semacam ada koloni di kaki bukit itu. Yang pelik, pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan. Mungkin rumah-rumah itu tersorok di dalam hutan. Bayangkan jika semua hutan di negara ini didiami oleh manusia luar, tanpa disedari oleh pihak berkuasa. Lama-kelamaan, negara ini akan dikuasai oleh manusia luar. Ini sudah terbukti dengan banyak golongan mereka kini berada di merata tempat.

Bagi masyarakat beruk, kejadian ini diharapkan dapat diperbetulkan. Ini kerana manusia luar ini banyak memusnahkan keadaan alam sekitar di kaki bukit. Mereka membina rumah menggunakan pokok-pokok di kawasan itu. Mereka menggorek lubang dan menarah bukit. Tetapi mereka pandai tidak memusnahkan pokok yang melindungi pandangan daripada pihak berkuasa. Manusia luar ini akan menggunakan sedikit cahaya pada waktu malam bagi memastikan pihak berkuasa tidak menjejaki mereka.

Aku meminta Rambut Panjang dan kumpulan pengawalnya memastikan manusia luar ini tidak mengambil kesempatan daripada kelemahan sekarang. Aku mungkin meminta Jinnah membantu memberitahu Sirimau mengenai perkara ini. Mungkin Sirimau akan dapat memberitahu kepada Tok Yem agar pihak berkuasa segera menyerbu tempat persembunyian ini. Masalah ini perlu dibanteras sama sekali.

No comments: