Wednesday, May 2, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (18)

Air mata darah pun tidak berguna lagi. Meraung sekuat hati juga tidak mendatangkan hasil. Kelalaian membuat Jinnah kehilangan Jibam. Anak Jinnah sudah hilang. Mereka berdua sedang tidur kekenyangan dalam lori sampah yang rosak di tepi bukit. Apabila lori itu mula bergerak Jinnah bingkas dan keluar daripada lori itu. Tetapi anaknya tertinggal di dalam lori. Tidak sedar. Jinnah cuba mengejar lori berkenaan tetapi apakan daya beruk untuk melawan jentera buatan manusia. Lori pergi membawa Jibam.

Airmataku hampir menitis. Mengenangkan nasib Jinnah, ibu tunggal yang kehilangan anak. Aku cuba mententeramkannya. Tetapi dia terus menangis dan meraung. Beberapa ekor kawannya seperti Ekson cuba memujuk. Tidak berjaya. Jinnah menangis sejak pagi tadi. Selepas Jibam dibawa lori. Mata Jinnah semakin membengkak. Aku menasihatkannya supaya berhenti menangis kerana ia boleh membawa padah. Ini yang terjadi kepada Jibong yang buta mata selepas menangis selama sebulan akibat kematian isteri.

Kejadian lori sampah rosak di kaki bukit bukan pertama kali berlaku. Bulan lalu, ada sebuah lori sampah biru yang rosak. Kenyang beruk di Bukit Putra menikmati banyak rezeki dalam lori itu. Ada pelbagai makanan yang dibuang oleh manusia yang tinggal di Putra Hait. Malah ada buah-buahan yang masih baik seperti epal dan buah limau. Ketika itu, manusia menyambut Tahun Baru Cina. Mungkin menerima banyak buah-buahan. Mereka tidak larat makan dan membuangnya apabila ada yang busuk sedikit. Semalaman, lori sampah itu tersadai di kaki bukit. Hanya keesokan harinya baru lori itu diperbetulkan.

Jinnah sudah berhenti menangis. Beliau tertidur kerana keletihan. Satu hari suntuk, tidak makan. Hanya menangis tersedu-sedu. Hilang anak, tentulah sedih. Jinnah tidur beralaskan peha Ekson. Aku beri isyarat kepada Ekson supaya meletakkan sesuatu untuk menjadi alas kepala Jinnah. Ekson menggeleng kepalanya. Baginya, tidak apa dia berbuat demikian. Beliau sanggup menanggung kepala kawannya. Malam ini, Jinnah sudah tentu tidur di rumah Ekson. Beruk lain pun sudah mula beredar apabila Jinnah tertidur. Aku juga turut beransur pulang kerana matahari mula terbenam.

Aku sampai ke rumah keletihan. Inilah antara tugasku sebagai wakil beruk. Bukan mudah. Beruk hilang anak perlu juga diberi perhatian. Tambahan pula Jinnah itu ibu tunggal. Tiada siapa yang akan membantunya, jika tidak wakil beruk ini. Aku bersyukur dapat membantunya. Setidak-tidaknya mendengar masalah Jinnah. Setidak-tidaknya berada di sisinya ketika mereka susah. Bukan lari daripada tanggungjawab.

Ini bukan pertama kali aku membantu Jinnah. Pernah aku memberikan setandan pisang kerana kedua-dua beranak itu tidak ada apa untuk makan. Ini kerana Jinnah tidak dapat bergerak kerana terkena duri rotan di kakinya. Hampir seminggu Jinnah tidak boleh bergerak kemana-mana. Kedua-dua mereka hanya minum air hujan yang ditadah. Ketika itu, tidak siapa yang tahu. Aku hanya mengetahuinya secara kebetulan. Aku tahu kerana kebetulan lalu di bawah rumah mereka. Jibam ketika itu masih kecil hanya menangis kelaparan. Aku terus ke rumah mereka dan segera mendapatkan setandan pisang.

Beginilah nasib ibu tunggal. Mereka ini adalah antara kumpulan yang aku perjuangkan dalam kempen pemilihan lalu. Malah aku juga telah membuat satu senarai golongan beruk yang miskin dan tua. Mereka inilah kumpulan sasar yang aku ingin bantu. Bagiku, tidak seharusnya ada beruk di Bukit Putra mati kerana kelaparan. Mereka yang tidak berdaya perlu dibantu. Sikit sama sikit. Banyak dibahagi-bahagikan bersama. Istilah makan seekor perlu dihapuskan. Yang penting golongan miskin dan tua terbela.

Aku bernasib baik kerana dibantu oleh Gayah, anak dara tua Bukit Putra. Gayah membantu aku membuat senarai golongan miskin dan tua. Kemudian, kami mengumpul segala bahan makanan yang boleh diserahkan kepada kumpulan ini. Bagi yang menghadapi masalah kesihatan kerana tua atau terkena penyakit tertentu, kumpulan sukarela yang diketuai oleh Gayah segera mendapatkan bantuan tok dukun.

Aku amat menyanjungi Gayah yang sanggup berkorban apa saja.

Beliau tidak mahu berkahwin kerana katanya sibuk dengan kerja-kerja sukarela. Sifat beginilah yang amat terpuji. Beruk sebeginilah yang perlu diberikan anugerah. Gayah sanggup meredah hutan untuk membantu beruk-beruk yang menghadapi masalah. Namun, Gayah juga tidak terlepas daripada menjadi bahan bualan beruk yang berhati jahat. Mereka membuat pelbagai tuduhan terhadap Gayah, sedangkan dia seorang yang berhati mulia. Aku juga amat pelik dengan sikap beruk sebegini. Sudahlah tidak mahu menolong beruk lain, beruk yang buat baik pun dipandang serong. Dituduh macam-macam.

No comments: