Sunday, April 20, 2008

GELOMBANG POLITIK UMNO (1)

Adakah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan terselamat daripada "gelombang politik" UMNO yang berlaku selepas PRU12?

Jawapannya bergantung kepada perkembangan yang berlaku dari sekarang sehinggalah berlangsung pemilihan pucuk pimpinan UMNO pada Disember ini. Ini termasuk perkembangan yang berlaku di peringkat cawangan dan bahagian UMNO ketika mereka bermesyuarat. Perkembangan mengenai usaha menangani masalah bekalan makanan terutamanya beras dan barangan keperluan lain. Selain itu ruang dan peluang yang diberikan kepada akar umbi untuk meluahkan perasaan mereka.

Sejak PRU12 yang menyaksikan kemerosotan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO menyebabkan ramai pihak yang mencari-cari punca yang menyebabkan perkara itu berlaku.

Tindakan yang paling mudah ialah menyalahkan pemimpin nombor satu negara dengan mengaitkan dengan ciri-ciri kepemimpinan serta pembabitan keluarga dalam politik dan ekonomi serta kelemahan penasihat.

Faktor ini semakin cepat dipercayai dan disokong oleh akar umbi sebagai punca kekalahan BN. Apatah lagi ada pihak seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Mukhriz, yang mengiakan faktor berkenaan dan menanam rasa tidak puashati mereka mengenai pembabitan kroni dan keluarga terutama memenantu Paklah, Sdr Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) dan kuncu-kuncunya. Tindakan TDM membandingkan pemerintahan 22 tahunnya dengan pentadbiran Paklah sekarang yang disifatkan sebagai lemah dan lembik berjaya mendapat tempat di hati rakyat. Di sudut lain pula, Tengku Razaleigh mahu mencabar Paklah pada pemilihan akhir tahun.

Akhirnya periuk nasi UMNO yang meluap-luap menanti untuk meletup.

Tindakan menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menemui akar umbi berjaya mengurangkan kepanasan itu.

Dalam pertemuan dengan akar umbi, segala rasa tidak puashati diluahkan dalam pelbagai cara untuk difahami oleh JK Pengurusan. Ada yang menyalahkan Paklah, memarahi KJ dan budak-budak tingkat 4. Ada yang menyalahkan Pengerusi Perhubungan Negeri yang mengutamakan rakan-rakan sebagai calon dan juga Majlis Tertinggi UMNO yang hanya menjadi "pak angguk" yang menyumbang kepada kemerosotan undi BN.

Malah, ada juga yang mahu Paklah segera mengundurkan diri untuk memberi laluan kepada DS Najib. UMNO Johor pula mahu Paklah menggariskan pelan peralihan kuasa kepada penggantinya yang mereka yakin akan mengubah suasana politik tempatan.

Selepas kepanasan itu telah dilepaskan, periuk nasi UMNO kini semakin reda walaupun ramai yang percaya kepanasan itu tetap ada dan memerlukan usaha berterusan untuk menyejukkannya.

Ada juga yang berpendapat tindakan menambah air kepada nasi yang sudah mula mendidih tetapi tidak masak itu bukan saja menyejukkannya tetapi akan menukar nasi itu kepada bubur. Setidak-tidaknya, bagi sesetengah pihak ialah bubur boleh dimakan berbanding membiarkan nasi itu hangit kerana kekurangan air.

Nasi hangit itu akan terpaksa dibuang untuk makanan ayam itik.

2 comments:

Letting the time pass me by said...

UMNO nampaknya semakin lemah dan perlukan perubahan...

Pimpinan sekarang nampaknya tidak proaktif dan lambat bertindak, keputusan yang dibuat pun tak kurang berkesan...

Macam-macam isu yang tak sepatutnya keluar sudah keluar,

Rakyat pun dah mula sangsi terhadap kebolehan BN... Memang benar-benar sangsi... Boleh ke BN memerintah dengan berkesan?

ibrahim yahaya said...

Sdr LTTPMB,

UMNO tidak boleh lemah jika mahu terus relevan untuk 50 tahun akan datang. UMNO lemah, BN pun akan lemah.

Rakyat juga tidak boleh sangsi dengan pemerintah. Jika mereka ada kesangsian, sudah tentu mereka tidak akan memberi sokongan penuh.

Ahli dan pemimpin UMNO perlu berdiri teguh di belakang pemimpin mereka untuk memastikan parti itu kukuh dan tidak berpecah. Jika pemimpin tidak disokong maka UMNO akan rebah dan tersungkur.