Wednesday, January 6, 2010

AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM TOKMAT

Oleh Dr Rais Yatim

PEMERGIAN Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, bekas Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno ke rahmatullah tanggal 1 Januari lalu begitu mendalam kesannya bagi saya.

Sebagai seorang sahabat lama, kami sering berhubung melalui telefon bimbit, terutama menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS). Suara sengau-paraunya payah dilupai.

Sebelum zaman canggih IT (teknologi maklumat), kami berhubung hanya melalui telefon talian. Banyak peristiwa dan liku-liku pahit getir perjuangan politik tanah air yang dilalui bersama, terutama yang berkaitan Umno.

Siapa pun setuju jika dikatakan pemergiannya mengejutkan walaupun sudah dalam keadaan kurang sihat seketika akibat sakit buah pinggang. Rasakan tak percaya yang beliau telah dahulu menemui Allah. Tetapi Tuhan lebih mengetahui segala-galanya akan untung nasib seseorang insan itu.

Allahyarham jumpa saya sehari setengah sebelum beliau pulang ke rahmatullah. Allahyarham menemui saya di pejabat saya di Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur pada tengah hari Rabu 30 Disember 2009. Walaupun beliau datang dengan anakandanya, Nur Jasni yang bertanyakan hal pembangunan ICT di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tok Mat sentiasa mengalihkan tajuk cakap kepada perkara berkaitan Umno dan orang Melayu, di samping kerja Menteri Penerangan yang amat diminatinya.

Beliau asyik melihat ubahsuai dalaman Bangunan Sultan Abdul Samad yang baru disiapkan. Beliau melirik pandangan ke ruang tamu yang dihias dengan gambar lama daripada arkib dan koleksi khas penulis. Beberapa minit selepas melihat-lihat dinding yang penuh gambar itu, Tok Mat duduk dengan sokongan tongkat. Saya bertanya sama ada kena guna tongkat hari-hari untuk bergerak ke sana ke mari.

"Sekarang dah tak boleh jalan tanpa benda ni Rais," katanya sambil menggoyang-goyangkan tongkatnya. Lepas sejenak beliau mengimbas kembali bagaimana pada 1975 beliau sering mengunjungi Allahyarham Datuk Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada ketika itu di Bangunan Sultan Abdul Samad ini. Tok Mat secara kebetulan adalah Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda pada zaman itu. Datuk Harun pula semacam hero perjuangan Pemuda yang kadangkala menggegarkan pimpinan Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn pada masa itu.

Walaupun Mohamed tampak cengkung sedikit dan perlahan dalam pertuturan, pemugaran dirinya masih kemas dan senyum 'budak'nya ketika beliau sendol dan 'bulat' muka dulu masih terserlah. "Apa macam kerja? Tentu susah sebab banyaknya media baru," dia mengeluarkan pendapat. Saya menjawab ya saja kerana memang benar, dunia internet sudah membawa taufan baru kepada perjuangan asas Umno dan Barisan Nasional (BN) sendiri.

Beliau menoleh kepada gantungan foto Tun Dr Mahathir Mohamad dengan saya dan Allahyarham Yasser Arafat di dinding tamu. "Wah you ada jumpa Arafat, ya?"

"Masa tu kan jadi Menteri Luar. Tak lama lepas tu langsung keluar..." saya jawab dengan seloroh. Beliau ketawa. Memang benar, pada 1987 pergolakan Umno Team A dan Team B amat menggegarkan susulan keputusan mahkamah mengharamkan Umno mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini Tok Mat bertemu dan berinteraksi dengan saya beberapa kali. November lalu beliau ke Angkasapuri. "Saja nak tengok pejabat lama," katanya sambil senyum lebar. Saya bawa beliau melihat kembali ruang pejabatnya di Tingkat 8 Angkasapuri yang dihuninya sebagai Menteri Penerangan hampir 15 tahun dalam tempoh dua kali perjawatan.

Saya bawa beliau tengok barisan gambar bekas Menteri Penerangan di ruang tamu. Dekat foto lamanya (lihat foto) Tok Mat berhenti sejenak. "Mudanya orang ni�" dia gelak sambil menunjuk kepada gambar beliau ketika jadi Menteri Penerangan dulu. "Masa tu bulat lagi," saya mencelah sambil disambut ketawa berdekah-dekah bersama pegawai yang hadir. Nama jolokan 'Mat Bulat', yang dipopularkan Dr Mahathir lekat kekal dengan Allahyarham. Beliau senang juga dengan nama tambahan itu.

Tok Mat, seperti penulis, pernah jadi Menteri Penerangan dua kali. Kali pertama bagi tempoh 1978-1982. Penulis dilantik ke jawatan itu oleh Dr Mahathir bagi tempoh 1984-1986. Kali kedua Tok Mat jadi Menteri Penerangan ialah 1987, selepas beliau menunaikan tanggungjawab selaku Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Bilik Menteri Penerangan itu macam dulu juga walaupun sudah satu dekad ditinggalkannya. Ayat Kursi di siling bilik itu masih seperti dulu malah almari buku dan rak perhiasannya tak berubah. Cuma kerusi tamu tidak jenis dulu lagi. "Banyak peristiwa kita di sini," beliau menghalakan pandangan ke pemandangan sekeliling jendela gelas pejabat Tingkat 8 itu. Saya lantas teringat kembali, di sinilah Tok Mat minta saya jadi Pengerusi Panel Penilai 1997, iaitu Jawatankuasa Penilaian Budaya Penyiaran yang ditubuhkannya pada tahun itu, selepas Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan pada 1996.

Menurut Tok Mat di bilik Menteri Penerangan inilah beliau dan pegawai Kementerian Penerangan memeras otak bagaimana menjayakan kempen Setia Bersama Rakyat yang dipopularkan sebagai Semarak beberapa tahun selepas bubarnya Umno pada 1988 atas perintah mahkamah. Pada masa itu penulis bersama Datuk Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), Datuk Shahrir Samad, Datuk Paduka Rahmah Osman, Datuk Zainal Abidin Zin dan lain-lain berada di dalam kumpulan atau Team B yang berlainan pendapat dan perjuangan dalam arena Umno.

"Di tempat you duduk tulah saya berhitung dengan banyak pihak bagaimana orang Melayu yang berpecah dalam Umno harus disatukan kembali." Tok Mat mengingatkan saya. "Dari sini jugalah saya panggil Datuk Seri yang masa tu buat PhD Law di London supaya kembali kepada Umno." Macam semalam saja rasanya ingatan beliau itu.

Terasa janggal juga mendengarkan ini semua lantaran peranan aktif saya dalam politik Parti Melayu Semangat 46 pada masa itu. Pada 1995 memang Tok Matlah antara yang berusaha gigih untuk membawa semula ahli Parti Melayu Semangat 46 ke pangkuan Umno atas dorongan Dr Mahathir dan persetujuan Tengku Razaleigh selepas Umno diharamkan pada 1988.

Wajar diakui, tanpa pengaruh dan bimbingan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn selaku penasihat utama Team B dan kemudian Parti Melayu Semangat 46, berkemungkinan pergerakan bangkangan parti itu tidak begitu jauh jangkauannya.

Pada perjumpaan Angkasapuri itu saya diminta Tok Mat supaya melancarkan buku sulungnya Umno: Berakhirnya Sebuah Impian, penulisan 170 muka yang banyak memuatkan peristiwa dan analisis politik perjuangan beliau dari 1965 hingga bersara 1999.

Datuk Nur Jazlan, anak sulung beliau yang menggantikannya sebagai Ahli Parlimen Pulai mengaturkan pelancaran buku itu dengan jayanya minggu kedua November 2009. Sebagai bekas Setiausaha Agung Umno dan BN yang paling lama berkhidmat, Tok Mat mempunyai banyak pengalaman yang boleh diteladani. Ketahanannya menerima cabaran ketika memimpin Pemuda, politik sukarnya di Johor di bawah bahang ketokohan Musa Hitam dan Allahyarham Osman Saat; sebagai Ahli Parlimen Pulai hampir 40 tahun dan perubahan nilai serta hala tuju yang banyak dibincangkannya dengan saya.

Beliau naik dari bawah bermula dari Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan Datuk Sardon Zubir (1965), Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan (1969-70), Timbalan Menteri Kewangan (1973-74), Timbalan Menteri Perdagangan (1975-1978), Menteri Penerangan (1978-1982). Jawatan ini disandang semula selepas berkhidmat sebentar sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia. Dr Mahathir meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Penerangan (1990-1999). Setakat ini rekod lama berkhidmat sebagai Menteri Penerangan memang dipegang beliau walaupun penulis juga merasa ke jawatan itu dua kali hingga kini.

Saya bangga dapat bertemu dan berceloteh dengan sahabat lama saya Tok Mat di Angkasapuri pada majlis pelancaran bukunya di Hotel Equatorial, November lalu dan pertemuan di Bangunan Sultan Abdul Samad sehari setengah sebelum beliau meninggal dunia dalam tidur. Umno banyak terhutang budi padanya.

Yang paling terpahat di benak saya ialah kata-kata Tok Mat: "Orang Melayu ni jam tak sedar diri. Hulu pisau bagi kat orang , kita pegang matanya. Parah." Dalam banyak-banyak cakapnya di bangunan warisan itu, inilah yang berulang kali menempelak pemikiran saya.

Selamat bersemadi di sisi Allah sahabatku. Jasamu dikenang.

(Renungan Rimau : Al-fatihah. Ketika saya bertemu Tok Mat di Hotel Equatorial, November lalu, soalan pertama ditanyanya ialah "Kamu dah kaya?". Berderau darah saya. Saya menjawab, "Tak. Saya akan begini jika terus bekerja. Yang penting bahagia.". Ketika meminta beliau menandatangani buku yang ditulisnya, saya bertanya kepada Tok Mat mengapa tanya saya dah kaya? "Yelah, kamu berniaga. Berniaga apa sekarang?" Saya menjawab, "Saya di RTM sebagai Ketua Pengarah". "Oh begitu. Baguslah. Buat yang terbaik." Rupanya, pertanyaan kaya beliau itu kerana menyangka saya kini masih berniaga. Bukan perkara lain. Minta dijauhkan.)

3 comments:

Anonymous said...

Al-Fatihah kpd Allahyarham Tok Mat. Perjuangan beliau tiada galang ganti. Bak kata pepatah harimau mati meninggalkan belang, manausia mati meniggalkan jasa yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Saya dengan berbesar hati mencadangkan kepada Y.B Menteri Penerangan & Y.bhg Dato Ibrahim agar menamakan sesuatu dng nama Tok Mat agar jasanya terus dingati oleh generasi masa hadapan.
Razak Majid

ikhwanzm said...

Assalammualaikum Sdra,

Saya mengikuti blog saudara dan sbgai seorang yg pernah bekerja dan rapat dgn Arwah saya sedih diatasa pemergian beliau.

http://noorisyambakhtiar.wordpress.com/

Kuwing said...

Al-Fatehah....

Salam takziah untuk keluarga Tok Mat..