Thursday, April 28, 2011

1MALAYSIA UNTUK RAKYAT

Oleh Ibrahim Yahaya

Bagi penulis, orang yang tidak menyokong 1Malaysia ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Pertama pembangkang yang tidak akan menyokong program kerajaan terutama yang boleh mengurangkan sokongan rakyat dan mengancam mereka dalam pelbagai sudut. Jika program kerajaan mendapat tempat di hati rakyat, sudah pasti sukar bagi mereka untuk mempengaruhi minda rakyat terutama mereka di atas pagar. Mereka yang sudah taksub itu, jika hati mereka dibasuh dengan 'clorox' sekalipun tidak akan berubah. Yang putih, putihlah dan yang hitam, hitamlah bagi golongan seumpama ini. Melainkan hati mereka seperti belakang parang. Oleh itu, pembangkang akan menjadi takut apabila ramai rakyat menyebut perkataan 1Malaysia dalam kehidupan mereka. Salam pun sudah diberikan Salam 1Malaysia. Tidak hairanlah, ketakutan pembangkang ini diterjemahkan dalam pelbagai arahan termasuk tidak boleh menggunakan logo atau terlalu sensitif jika ada pihak menyebutnya waima memberi salam 1Malaysia. Apabila perkataan itu diutarakan ibaratkan seperti ada duri yang mencucuk hati mereka dan adakalanya terus berdarah.

Kedua ialah golongan yang bimbang gagasan 1Malaysia itu digunakan oleh sesetengah pihak untuk menjayakan Malaysian Malaysia atau didorong ke arah itu. Golongan ini adalah di pelbagai peringkat termasuk ahli akademik dan sejarahwan. Kebimbangan mereka kerana sejak gagasan ini diperkenalkan ada pihak yang cuba untuk 'menculik' 1Malaysia mengikut perspektif atau pandangan mereka sendiri seperti menekankan isu mengenai hak atau perpaduan saja. Bagi mereka yang hanya mahu melihat kepentingan diri, 1Malaysia ialah mengenai hak sama rata kaum yang tinggal di negara ini di samping menggalakkan rakyat bersatu-padu. Tidak hairanlah apa saja yang diutarakan adalah berkaitan dengan 1Malaysia termasuk 'memohon pelbagai perkara daripada kerajaan untuk mereka' adalah 1Malaysia. Jika tidak diberi, maka tidak 1Malaysia. Mereka terlupa bahawa hak yang disebutkan dalam 1Malaysia adalah mengikut Perlembagaan dan bukannya berdasarkan gesaan apatah lagi ugutan. Ada antara mereka menyifatkan 1Malaysia itu adalah perpaduan saja sedangkan ia merangkumi aspek yang lebih luas lagi untuk rakyat iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Maka itu, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Perlu faham dan hayati.

Golongan ketiga ialah mereka yang tidak faham apa itu 1Malaysia menyebabkan ada yang menganggapnya hanya sebagai satu lagi slogan kerajaan. Ada juga mereka yang terikut-ikut dengan kenyataan pemimpin pembangkang bahawa 1Malaysia ini adalah lesen untuk kerajaan sekarang mengabui mata rakyat bahawa ada sesuatu program baru dilaksanakan. Bagi golongan ini, mereka menyatakan ia lesen untuk menyapu semua kekayaan dan kemewahan negara sebaliknya berselindung di sebalik slogan untuk menggunakan wang rakyat. Kekeliruan golongan ini menyebabkan mereka sentiasa terpedaya dan mulalah berkempen mengenai keburukan gagasan itu. Keadaan ini amat berbahaya. Kumpulan ini ada antaranya mereka yang sentiasa turun ke bawah untuk memberi penerangan kepada rakyat seperti jabatan kerajaan, badan berkanun, suruhanjaya atau syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan. Ini termasuk Jabatan Hal-Ehwal Khas, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Pos Malaysia Berhad serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Tidak hairanlah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengadakan program penyerlahan 1Malaysia untuk menyedarkan kumpulan petugas ini mengenai apa itu 1Malaysia dan diterangkan berterusan kepada rakyat. Ia telah dan sedang berjalan bagi petugas TM, TNB, Pos Malaysia dan SKMM. Menteri KPKK, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim ketika melancarkan program itu pada 26 April lalu mahu penyerlahan ini diperluaskan kepada maktab perguruan dan pasukan keselamatan. Ia bertujuan untuk memastikan kakitangan ini memahami dasar kerajaan dan tidak membuat pelbagai tuduhan di samping terpengaruh terhadap dakyah pembangkang. Bagi Dr Rais, 1Malaysia adalah program yang diperkenalkan oleh negarawan ulung sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan kini didokong oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Segala usaha yang baik untuk rakyat dan negara terkandung dalam 1Malaysia itu.

Kumpulan keempat ialah golongan yang sering melupakan budi kerajaan tetapi menempelak setelah berjaya dibantu dari sekolah rendah sehingga ke universiti. Malah golongan ini sentiasa mencari kesalahan terhadap semua program kerajaan dan bertindak seolah-olah mereka peminat setia pembangkang. Mereka yang tidak ada prinsip ini adakala akan menghilang begitu saja mengutuk kerajaan kerana sudah mendapat habuan tertentu daripada pembangkang.Mereka adalah golongan pelupa atau sesetengah orang berkata 'orang yang tidak mengenang budi.'

Hakikatnya usaha perlu diadakan untuk menyerlahkan Gagasan 1Malaysia di semua peringkat di tanahair bagi membolehkan mereka menggerakkan minda untuk membantu rakyat terutama golongan yang memerlukan. Usaha membantu rakyat sepanjang masa ini dengan turun padang ini bersesuaian dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa 'zaman kerajaan tahu semua sudah berakhir." Rakyat perlu menerangkan kepada kerajaan apa yang masih tidak dilaksanakan atau perkara yang tidak ambil peduli. Keperluan rakyat.

DSU Dr Rais mahu semua kakitangan yang mengambil bahagian dalam Program Menyerlahkan 1Malaysia berfikiran terbuka dan mempunyai perasaan sayangkan negara. Mereka perlu berfikir bahawa Malaysia ini untuk rakyat Malaysia. Untuk itu, rakyat perlu didiik dengan semangat yang menebal terhadap gagasan ini. Mereka boleh membantu segera kumpulan ini tanpa bertangguh. Untuk itu, janji-janji kerajaan sekarang mempercepatkan perkhidmatan seperti penyediaan pasport dan kad pintar pasti dikenang oleh rakyat sepanjang masa. Selain itu, penyediaan jalur lebar di kawasan luar bandar, pemberian netbook kepada pelajar miskin dan penubuhan perpustakaan desa telah menyediakan medan dan medium untuk rakyat berkomunikasi.

Selain itu, KPKK juga berusaha ke arah mencapai tahap yang lebih baik bagi kefahaman keseluruhan Gagagan 1Malaysia. Menurut DSU Dr Rais, kefahaman itu sudah mencapai 84.4peratus sehingga Julai tahun lalu. Beliau berkata hasil kajian dan kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap Gagasan 1Malaysia itu juga telah melebihi sasaran indeks prestasi utama (KPI) kementerian iaitu 71.9 peratus.

1 comment:

Anonymous said...

sekejap 1Malaysia, sekejap 1Melayu 1Bumi