Tuesday, April 19, 2011

PRU KE 13 TAHUN INI? (9)

KAUM CINA PERLU RASIONAL

Oleh Ibrahim Yahaya

PM, DS Najib Tun Razak berulangkali mengingatkan orang Melayu dan Bumiputera bahawa mereka tidak boleh memerintah bersendirian dan memerlukan sokongan kaum lain. Ingatan ini ikhlas kerana sebagai pemimpin nombor satu, beliau tahu bahawa kaum lain yang terbesar iaitu Cina dan India perlu diberi tempat dalam kerajaan. Dalam ertikata lain mereka perlu dilantik menjadi Menteri, Timbalan Menteri atau dulu Setiausaha Parlimen. Hakikat ini yang berlaku pada PRU12 di mana ramai calon MCA, Gerakan dan MIC kecundang terutama di kawasan majoriti kaum Cina dan India. Pemimpin UMNO merasakan satu kemestian untuk melantik calon MCA dan MIC yang menang untuk memegang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri walaupun mereka bukan presiden atau timbalan presiden parti. Malah, Presiden Gerakan, TS Dr Koh Tsu Koon turut dilantik menjadi Menteri diJabatan Perdana Menteri. Hakikat kongsi kuasa inilah yang diamalkan oleh Perikatan dan BN selepas merdeka.

Dalam PRN Sarawak ke 10, PM sekali mengingatkan kaum Cina agar memastikan mereka mempunyai calon dalam kerajaan negeri itu. Mereka perlu memastikan ada calon dari kaum Cina yang mewakili SUPP dipilih agar mudah melantik mereka menjadi Timbalan Ketua Menteri atau Menteri Kabinet Sarawak. Ingatan ini penting kerana beliau percaya pendekatan pembangkang yang menggunakan cara berkempen begitu agresif dengan menabur fitnah, hasutan dan provokasi menarik minat pengundi yang kemudian ramai di antara mereka akan menterjemahkan dalam undi setelah dipengaruhi bertubi-tubi. Namun ingatan PM itu seolah-olah dilupakan oleh kaum Cina dengan memberi muka kepada calon DAP dan yang paling tragik ialah membenamkan Presiden SUPP, TS Dr George Chan di Piasau yang majoritinya pengundi Cina. Pemimpin Cina lain bernasib baik kerana kawasan yang ditandingi mereka mempunyai pengundi bukan Cina yang masih yakin bahawa hanya BN saja yang boleh meneruskan politik pembangunan di Sarawak.

Ingatan PM kepada Melayu dan Bumiputera itu sudah pasti dipegang kuat oleh kumpulan itu. Mereka sedar bahawa dengan memenangkan calon BN di tempat mereka sama ada di Sarawak atau Semenanjung, kerajaan boleh meneruskan agenda pembangunan dan membawa Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Melayu dan Bumiputera Sarawak yang diasak bertubi-tubi dengan kempen yang diketua oleh DSAI di kawasan pendalaman nampaknya faham bahawa hanya BN saja yang boleh memberi jaminan kemakmuran dan pembangunan. Mereka juga tahu bahawa PKR atau PAS hanya memberikan janji-janji kosong yang tidak mampu ditunaikan seperti yang berlaku di negeri yang diperintah oleh mereka. Mereka juga bimbang pemimpin PKR dan PAS ini dperkudakan oleh DAP seperti biasa. Ini permainan sebenar DAP yang mereka bimbang akan menular di Sarawak dan akhirnya boleh mendatangkan malapetaka kepada politik pembangunan. Hanya tiga kawasan yang terpengaruh dakyah dan tohmahan oleh pembangkang memberi peluang kepada calon PKR termasuk orang yang dikatakan akan menjadi KM iaitu Baru Bian.

Jika Melayu dan Bumiputera boleh berfikir rasional dan tidak berdasarkan semangat perkauman untuk memberi peluang kepada calon BN yang baik dan hebat, tidak ada sebab kaum Cina membuat sebaliknya. Mereka perlu berfikir secara rasional untuk memilih calon yang mampu diketengahkan bagi menyuarakan pandangan atau membantu mereka. Bukan memilih semua dari DAP yang ketika berceramah sudah memainkan sentimen perkauman apatah lagi setelah menang menjadi ADUN di kawasan itu. Penolakan calon Cina dari BN memperlihatkan bahawa strategi kempen agresif pembangkang membuahkan hasil di samping kegagalan parti orang Cina di Sarawak yang gagal memahami denyut nadi mereka. Ahli Dewan Tertinggi Perkasa, Mohd Zahid Md Arip, menegaskan kegagalan memahami denyut nadi ini menyebabkan kaum Cina menolak calon BN bukan disebabkan dasar BN. Katanya, penolakan orang Cina terhadap BN juga disebabkan kegagalan parti-parti komponen seperti MCA, Gerakan dan SUPP menangkis serangan berunsur sentimen perkauman yang dipalu oleh DAP sejak 2008.

Untuk itu, SUPP, MCA dan Gerakan perlu bekerja keras lagi bagi memastikan mereka layak mewakili kaum Cina dan bukannya DAP, parti cauvinis yang sentiasa memainkan sentimen perkauman sejak dulu lagi. Bagi Yang DiPertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, politik menggunakan sentimen perkauman ini tidak sihat dan DAP bertanggungjawab jika tindakan itu akan menimbulkan rasa kurang senang rakyat Malaysia yang lain. Menurutnya, membangkitkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat Cina boleh menjejaskan keharmonian antara kaum.

3 comments:

jebat said...

DIY, Salam takzim,

PRU 13:
Seri Perdana di Putra Jaya bertukar penghuni,

Hishamudin balik ke Johor.

Zahid Hamidi pulang ke Bagan Datok dengan Motosikal nya,

Shafie Afdahal pulang ke Sabah dengan perahu layarnya,

Mahyudin membawa DACING nya untuk menimbangtara .

Begitulah kata yang ampunya cerita.

Anonymous said...

"Bagi Yang DiPertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, politik menggunakan sentimen perkauman ini tidak sihat dan DAP bertanggungjawab jika tindakan itu akan menimbulkan rasa kurang senang rakyat Malaysia yang lain. Menurutnya, membangkitkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat Cina boleh menjejaskan keharmonian antara kaum".

Masih ada lagi ke undang-undang negara bagi menangani perkara seperti ini?

Anonymous said...

Betul>>.MCA dan GERAKAN tak agresif!!!!Kenapa????
Semua nak tunggu dan lihat ka?
Atau ada genda lainnn????