Tuesday, June 7, 2011

ABDUL HADI TAK KENAL ANWAR

Oleh ABDULLAH ABDULLAH

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beria-ria benar membela Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin PKR, dalam kes kesaksian kesalahan zina.

Kata Abdul Hadi seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia:

''Kita berpegang kepada konsep empat saksi yang adil dalam kes zina dan liwat. Video tidak boleh dijadikan saksi kerana video ini besi, dia tiada mata dan telinga. Kalau kes khalwat dengan wanita dan lelaki, ada saksi dia, dan yang boleh selesaikan kes ini adalah Syari'at Islam". Jelaslah Abdul Hadi terlalu naïf.

Kata Imam al-Ghazzaliyy: Tengok aktiviti dan keadaan (ahwal), baca tulisan (aqwal ), maka anda akan kenal mereka.

Abdul Hadi yang membela Anwar secara membabi buta dan bersungguh-sungguh ini tidak mengenali Anwar yang sebenar walaupun Abdul Hadi pernah aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), ketika Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjadi Presiden dan intim dalam pakatan pembangkang.

Sebagai pemimpin politik, Abdul Hadi sepatutnya wajib mengenali dan mendalami pemikiran semua pihak sama ada dalam bidang politik, ekonomi, sosial, apatah lagi dalam hal-hal yang menyangkut agama.

Dalam kes video lucah yang dikatakan membabitkan Anwar itu, Abdul Hadi mahukan empat saksi seperti yang disebut dalam al-Quran. Ini adalah wajar.

Tetapi saya ingin menyoal, ''Pernahkah Abdul Hadi bertanya kepada Anwar tentang pendiriannya mengenai keperluan kepada empat saksi dalam kes zina?

''Atau pernahkah Abdul Hadi, membaca sebuah buku terbitan MEGC-IKD yang bertajuk: 'Hukum Barat Pun Islam', yang diterbitkan pada tahun 2006 itu?.''

Untuk rekod, MEGC adalah sekutu rapat IKD yang ditubuhkan oleh Anwar sebagai badan pemikirnya pada tahun 80-an .

Bagi memudahkan Abdul Hadi ( dan juga orang lain) saya perturunkan sebahagian petikan dalam muka surat 30 buku tersebut iaitu, antara lain mencatatkan;

''Ambil jenayah zina sebagai analisa ( sebenarnya analisis) dalam surah al-Nisa' (4:15), Allah menetapkan empat orang saksi bagi perbuatan jenayah zina sebagai beban pembuktian.

''Darjah pembuktian sebegini memerlukan prosedur yang teliti sebelum dapat dilaksanakan dengan berkesan. Apakah beban pembuktian moden tidak diambil kira keberkesanannya dalam pembuktian?

''Dengan masyarakat membangun bersama ilmu dan teknologi, sudah terbukti banyak kes dapat diselesaikan dengan licin tanpa merujuk kepada kuantiti saksi tertentu.''

Apa pendapat Abdul Hadi berhubung pandangan tersebut? Pemikir Anwar sendiri mahu bukti daripada bahan pembuktian moden.

Berdasarkan kepada kenyataan dan pegangan serta kehendak kumpulan ini, seperti dalam petikan di atas, maka DNA dan rakaman video adalah sah sebagai pembuktian dalam kes jenayah seperti liwat dan zina di mahkamah sivil dan syariah.

Namun dalam kes-kes terpilih yang melibatkan pihak pembangkang, mereka tidak mahu pula kepada bukti-bukti saintifik ini dan berkeras mahu kepada empat saksi yang adil dalam kes zina.

Satu contoh lain ialah terlalu amat pelik bila mana mereka mahu kepada hukum qazaf akan tetapi menolak hukum meminum khamar (arak), pada hal kedua-duanya melibatkan hukuman rotan.

Di mana pendirian mereka dan anda yang sebenar, ia kerana pada satu keadaan mereka menolak hukum Islam tetapi dalam keadaan tertentu mahu pula hukum Islam apabila ia dilihat dapat memenuhi kepentingan diri. Inikah makna maqosid syariah?

Apa yang dipaparkan dalam buku keluaran MEGC-IKD jelas mencerminkan pendirian kumpulan Anwar melalui IKD yang menjadi badan pemikirnya, yang mahu bukti ilmiah dan saintifik boleh dijadikan bahan bukti dalam kes zina di mahkamah.

Sebaliknya, Abdul Hadi pula berkeras mahu empat saksi, oleh itu mana satu yang Anwar hendak pilih? Beristiqimah dengan pendirian kumpulan pemikirnya sendiri atau kalah dengan mengikut fikiran dan pendapat kumpulan lain, seperti pendapat Abdul Hadi itu?

Satu soalan lagi kepada Abdu Hadi dan juga Dewan Muslimat Pas, jika ada seorang muslimah Pas yang dicabul kehormatannya dan peristiwa tersebut terakam dalam alat perakam moden seperti CCTV atau yang lain, apakah Abdul Hadi dan Dewan Muslimat Pas mahu 'besi yang tidak boleh bercakap' ini sebagai bahan yang boleh dijadikan bukti dalam perbicaraan?

Dan soalan terakhir kepada Abdul Hadi, jika pakatan pembangkang 'berjaya' menubuhkan Kerajaan Pusat; yang mana satu cara pembuktian zina yang hendak dipakai: Pendapat anda atau pendapat Anwar? Ingatkah lagi anda, dalam majlis pertemuan pimpinan Pas yang dipimpin anda, dengan bekas pimpinan ABIM beberapa waktu dulu di Bangi, seorang bekas pimpinan paling tinggi ABIM, memberitau majlis dengan katanya:'' ana (saya) kenal makhluk ini ( yang dirujuk kepada Anwar ).

Kesimpulannya, seperti yang tertulis dalam petikan buku tersebut, kumpulan pemikir Anwar memperjuangkan dengan bersungguh-sungguh, supaya masyarakat dapat menerima bukti ilmiah dan saintifik, boleh dijadikan sebagai bahan bukti dalam kes jenayah zina menggantikan empat orang saksi.

Cara ini, kata mereka, akan dapat menyelesaikan dengan licin kes-kes jenayah syariah tanpa perlu merujuk kepada prosedur syariat. Abdul Hadi pula berkata, kes ini yakni jenayah syariah atau kes Anwar khususnya, dapat diselesaikan dengan syariat. Bagaimana Hadi?.

(Renungan Rimau : Tengok dulu, baru bagi pandangan. Tidak boleh semborono).

No comments: