Friday, June 24, 2011

SOKONG PANDANGAN DR MAHATHIR

Oleh Ibrahim Yahaya

Negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu ini menegaskan kebebasan media adalah punca hubungan kaum di negara semakin buruk sekarang. Media kini, katanya, banyak bicara bab kaum dan agama berbanding dahulu. Penulis menyokong seratus peratus kenyataan TDM itu. Benar dan tepat. Jujur dan jelas.

Oleh kerana media dianggap bebas, mereka menghamburkan apa saja di dalam kepala wartawan, pengarang dan ketua pengarang untuk menunjukkan bahawa merekalah jurubicara atau jurucakap terbaik untuk kaum dan bangsa. Maka keluarlah tulisan yang kita tidak pernah baca selama ini atas dasar kebebasan bersuara. Maka isu mengenai agama dan kaum yang dianggap sensitif pada masa dulu, kini disiarkan seperti tidak ada rasa bersalah dan tidak peduli. Bagi mereka, hamburkan saja demi untuk menjual suratkhabar atau mahu memperlekehkan orang lain.

Kesannya ialah isu agama dan kaum dibincangkan secara terbuka atas nama kebebasan bersuara. Serangan terhadap agama dan kaum lain berjalan rancak. Pemimpin diperbodohkan dan diberikan pelbagai gelaran. Akibatnya, maka semua orang akan berbalah di media termasuklah mengeluarkan kenyataan yang mampu menyinggung orang lain. Akhbar Cina mengeluarkan kenyataan pedas terhadap pemimpin Melayu. Begitulah sebaliknya yang memperlihatkan tindakan itu tidak kemana-mana tetapi yang pasti ke gaung kemusnahan. Perkataan yang tidak pernah didengar diluahkan bagi menyakiti hati orang lain. Istilah yang amat sensitif dihamburkan bagi memastikan merekalah lebih baik dari orang lain. Ada yang sengaja berbuat demikian untuk kepentingan diri.

Ini satu perkembangan yang tidak sihat dan sudah tentu akan menghancurkan negara ini. Yakinlah bahawa apa yang berlaku sekarang akan mewujudkan satu suasana prasangka di kalangan rakyat di negara ini yang boleh mendatangkan kesan tidak sihat. Sudah tentulah jika perkembangan ini tidak dibendung dan dikawal terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menjaga media cetak, maka keharmonian akan berkubur. Perbalahan di media akan bersambung di tempat lain. Tulisan yang menghancurkan juga dipanjangkan dalam media sosial. Ini bahaya.

Janganlah kita hanya memberi amaran demi amaran sepanjang masa. Bertindaklah demi menjaga keamanan dan keharmonian di negara ini. Gunakanlah segala peraturan dan undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk memastikan mereka yang berniat jahat dikenakan tindakan. Jika tidak kita akan diberikan tauliah 'mat amaran' dan negara pun menjadi arang atau abu. Ketika itu, sudah terlambat.

2 comments:

afayufu said...

media mmg boleh jadi perantara yang baik jika betul penggunaannya... dan boleh jadi tidak baik jika disalah gunakan.....

ibrahim yahaya said...

Sdr Afayufu,

dalam menjalankan tugas mesti ada wisdom dan tidak boleh hentam keromo. nanti menyesal tidak sudah.