KUALA LUMPUR 31 Mei - Isu berkenaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk rayuan supaya 86 pelajar yang mendapat 9A+ diberi ruang melanjutkan pelajaran ke luar negara akan dibawa ke Kabinet esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perkara tersebut perlu dibawa ke Kabinet kerana jemaah menteri sahaja yang boleh memutuskan sama ada penambahan biasiswa boleh dilakukan atau tidak.
"Selepas mengadakan mesyuarat bersama wakil daripada MCA serta MIC, kami bersetuju sebulat suara untuk membuat rayuan kepada jemaah menteri supaya pemberian biasiswa kepada 86 pelajar cemerlang tersebut dapat dipertimbangkan.
"Kuota pemberian biasiswa itu sebelum ini terhad kepada 1,500 pelajar cemerlang tetapi memandangkan masih ada 86 pelajar cemerlang yang memohon, kami rasakan adalah wajar untuk membincangkan perkara ini pada peringkat Kabinet," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung pemberian biasiswa JPA di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mewakili MCA.
Menurut Mohamed Nazri, selain rayuan pemberian biasiswa kepada 86 pelajar cemerlang itu, perkara lain yang akan dibawa ke Kabinet ialah permintaan supaya pelajar yang ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma dapat ditukarkan kepada biasiswa program matrikulasi.
"Selain itu, kami juga akan berbincang dengan jemaah menteri supaya mewujudkan semula pengkhususan program matrikulasi seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya supaya memudahkan pelajar untuk memohon biasiswa matrikulasi berdasarkan bidang yang diminati," jelasnya.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, keputusan yang dibuat selepas mesyuarat pada hari ini seharusnya menyelesaikan kekeliruan yang timbul mengenai pemberian biasiswa tersebut.
"Sebenarnya kekecohan berlaku kerana orang ramai terutamanya golongan pelajar keliru dengan sistem pemberian biasiswa sedia ada. Jadi penjelasan mengenai sistem pemberian biasiswa ini adalah perlu supaya mereka tidak lagi keliru," katanya. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Bukan isu tetapi kebijaksanaan menyelesaikannya)
Wednesday, June 1, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment