Monday, June 6, 2011

MAT SABU INTAI JAWATAN UTAMA

Oleh Ibrahim Yahaya

Ketika ramai yang memperkatakan mengenai keputusan barisan baru Pas terutama jawatan nombor 2 yang diumumkan semalam terutama dari segi memberi kekuatan baru kepada DAP dan PKR, ramai juga yang menyatakan ia tidak akan memberi kesan apa-apa kepada UMNO. Hakikatnya siapa saja yang menerajui Pas tidak penting kerana UMNO sudah tentu bersedia dengan siapa saja yang menerajui parti saingannya. Tidak kiralah sama ada Mat Sabu atau Haji Nashruddin. Ini diperkuatkan oleh kenyataan Timbalan Presiden UMNO, TS Muhyiddin Yassin, semalam bahawa UMNO bersedia menghadapi Pas.

Sebagai sebuah parti politik, sudah tentulah Pas mempunyai matlamat perjuangannya iaitu untuk menegakkan sebuah negara Islam. Walaupun kini ia sudah bertukar kepada kerajaan kebajikan yang sudah pasti tidak disenangi oleh golongan ulama, matlamat perjuangan perlu diikut dan disokong. Bagi mencapai matlamat perjuangannya, sudah tentu pemimpin Pas terutama yang baru terpilih tidak menggadaikan kepercayaan ahli-ahli untuk memastikan ketika mereka sibuk untuk mahu bekerjasama dengan DAP dan PKR, matlamat perjuangan Pas tidak perlu digadaikan. Jika matlamat itu tergadai, Pas bukan saja kehilangan sokongan ahli malah mereka yang berada di atas pagar akan pasti meninggalkan parti itu. Melainkan pemimpin baru parti itu mahu Pas terus kecundang dalam politik tanahair sepertimana berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak di mana Pas tidak memenangi sebarang kerusi.

Pemimpin yang baru dipilih terutama orang nombor dua iaitu Mat Sabu sudah tentu dikenali oleh ahli Pas sejak dulu lagi. Walaupun pelbagai rintangan dan cobaan yang dihadapi termasuklah dakwaan khalwat, ahli-ahli Pas memilih beliau dan mengetepikan Haji Nashruddin Mat Isa. Sudah tentulah ahli-ahli Pas mahukan Mat Sabu untuk membantu DS Hadi Awang dalam memacu parti terutama dalam menghadapi PRU 13. Walaupun banyak kenyataan Mat Sabu yang adanya pelik seperti ucapannya semalam mengenai wanita, tetapi inilah pemimpin yang ingin diketengahkan ahli-ahli Pas untuk menjadi pemandu atau driver mereka untuk beberapa tahun akan datang. Jika driver ini membawa parti menuju ke atas bukit, maka ke atas bukitlah ahli-ahlinya dibawa dan sebaliknya jika pemandu membawa masuk ke dalam gaung, maka ke dalam gaunglah terjunamnya parti itu. Hanya Mat Sabu saja yang mengetahui ke arah mana ingin dipandunya. Mat Sabu sudah tentu dilahirkan untuk menjadi pemimpin yang bijaksana dan tidak hanya menurut perintah terutama orang yang pernah dicaci dan dicercanya satu ketika dulu.

Ramai yang tidak tahu bahawa Mat Sabu adalah pemimpin yang banyak mendedahkan keburukan DS Anwar Ibrahim ketika DSAI dalam UMNO. Sudah tentu, tindakannya dahulu mempunyai matlamat tertentu iaitu untuk mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa pemimpin mereka ketika itu sebenarnya bukan seorang yang baik-baik seperti yang disangkakan, apatah lagi topi Islam yang dibawanya. Malah, cerita antara DSAI dan isterinya, DS Wan Azizah menjadi bahan ceramah Mat Sabu di mana saja ketika itu. Malah ungkapan yang agak pelik pernah dilafazkan oleh Mat Sabu kepada Wan Azizah terutama dari segi peluang untuk membuat sesuatu kepada wanita yang dianggapnya cantik. Kenyataannya untuk membuat sesuatu terhadap DS Azizah pasti meninggalkan kesan kepada ramai pihak.

Oleh itu, pandangan pemerhati politik bahawa Mat Sabu akan menyokong DSAI perlulah dilihat dalam waktu-waktu terdekat ini. Walaupun Mat Sabu sudah menunjukkan kelembutannya sejak DSAI menjadi penerajui pembangkang, sebagai pemimpin beliau pasti mahu menunjukkan tembelang dan kekuatannya sendiri. Perlu diingat bahawa Mat Sabu juga pasti mempunyai cita-cita untuk memimpin pembangkang kerana beliau masih muda berbanding pemimpin pembankang lain seperti DS Nik Aziz, Kit Siang atau Karpal Singh. Jika rezekinya cerah, beliau mungkin menjadi Perdana Menteri satu hari, setidak-tidaknya itu yang difikirkan oleh penyokong Mat Sabu sekarang.

Dalam pada itu, DSAI sudah tentu akan mengawasi Mat Sabu agar ia tidak terlepas mengeluarkan kenyataan yang boleh merugikannya terutama mengenai hubungan permulaan dengan DS Wan Azizah. Pengawasan ini penting kerana Mat Sabu sudah menjadi orang nombor dua Pas dan setiap butir yang dikeluarkan akan menjadi pedoman kepada ahli Pas. Jika Mat Sabu mahu ahli Pas mengetepikan DSAI, sudah tentu ahli-ahli Pas yang setia kepadanya akan menolak pemimpin pembankang itu. Apa yang boleh dilakukan oleh DSAI ialah memastikan DS Hadi Awang sentiasa mengawasi Mat Sabu atau menggunakan orang kuatnya dulu, Sdr Kamaruddin Jaafar untuk melihat dan mengintai segala tindakan Mat Sabu agar tidak keterlaluan dan mampu menimbulkan kecederaan.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

No comments: