Oleh Ibrahim Yahaya
Seorang rakan hari ini menyatakan bahawa DuniaTiger tiada taring lagi. Tiada taring? Persepsi masing-masingLAH. Penulis terus bertanya dengan rakan itu, apa maksudnya. Terus terang beliau berkata penulisan sejak beberapa tahun ini terutama ketika menjadi KP RTM amat berbeza dengan penulisan DT pada tahun-tahun awal diadakan yang banyak menegur kerajaan terutama zaman Paklah.
Jawapannya mudah. Ketika mula blog ini diadakan, memang ketika itu banyak isu yang ingin disampaikan kepada kerajaan kerana apa yang berlaku amat jelas. Ketika itu, penulis tiada kerja dan menulis sepenuh masa dari sebuah pejabat kecil di Shah Alam. Ketika itu, banyak perkara yang kerajaan buat adakalanya amat memedihkan sehingga blogawan terpaksa menghantar mesej bertubi-tubi agar faham dengan isi hati rakyat terutama perkara yang menyusahkan rakyat.
Setelah penulis berkhidmat semula dengan kerajaan, cara penulisan sudah pastilah berubah kerana apa yang dilihat tidak betul boleh disalurkan kepada saluran tertentu yang akan mengambil tindakan. Sama ada segera atau sebaliknya bergantung kepada keutamaan pada masa itu. Peranan penulis pada masa itu lebih kepada membantu kerajaan dalam mengatur kaedah memberikan maklumat kepada orang ramai yang terkeliru dan seterusnya terpengaruh. Ia amat berbeza dengan penulisan blog.
Apabila menerajui RTM, faktor masa merupakan musuh utama yang menyebabkan blog DT ditinggalkan kosong beberapa hari ataupun hanya bait-bait puisi untuk menunggu pengunjung tetap. Ada juga tulisan yang dibuat 'jarang-jarang' ketika penulis mempunyai masa yang terluang. Hakikatnya DT tidak dibiarkan kosong yang pasti mengecewakan pengunjung.
Kini, penulis sudah mula mengorak langkah semula kerana yakin hasil daripada tulisan ini, seperti juga pada masa dulu, akan dapat menghantar mesej kepada semua pihak bahawa mereka perlu menjaga negara ini agar terus aman. Tidak ada gunanya bergaduh sesama sendiri sehingga menyebabkan negara menjadi abu atau arang.
Lihatlah isu perhimpunan haram yang ingin diadakan pada 9 Julai menyebabkan ramai yang membuang masa berhujjah dengan satu benda yang tidak perlu diadakan. Sudah banyak diperkatakan dalam media termasuk media baru mengenai perhimpunan haram ini dan terpulanglah kepada rakyat untuk melihatnya daripada pelbagai segi. Janganlah untuk mencapai matlamat, kita menghalalkan semua cara. Ini amat berbahaya.
Dalam pada itu, apabila disebut tiada taring lagi, teringat pula mengenai kata-kata kawan yang mahukan KDN mengambil langkah yang lebih tegas terhadap pengacau yang mahu menganjurkan perhimpunan haram itu. Bagi mereka, gunakanlah segala undang-undang untuk menghindarkan keadaan huru-hara seperti Bersih 2007 yang memperlihatkan bagaimana media elektronik seperti Al-Jazeera, CNN dan BBC melondehkan seluar Malaysia di khalayak antarabangsa semata-mata ada orang degil dan angkuh. Mereka berarak untuk menghantar satu memorandum yang boleh dihantar menggunakan kereta. Bagi pengacau ini, perhimpunan itu adalah simbol untuk meluahkan perasaan mereka. Buatlah dalam stadium atau di mana saja yang tidak menyusahkan orang ramai. Mereka ini membuat perhimpunan menjelang PRU semata-mata mahu menagih simpati dan menimbulkan rasa benci rakyat kepada kerajaan. Peneraju KDN janganlah tiada taring sepertimana kawan melabelkan DuniaTiger sekarang.
Nak cari taring, nak cari taring....nak cari taring, nak cari taring.
Monday, June 27, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment