Tuesday, June 28, 2011

KENANG BUDI JASA PEMIMPIN NEGARA

Oleh Ibrahim Yahaya

DSU Dr Rais Yatim mahu rakyat kenang budi pemimpin lama.

Ketika orang ramai ternanti-nanti amanat DSU Dr Rais Yatim seperti yang disebutkan oleh Dato Sarkar Shamsuddin (EXCO Pahang) di Kampung Rumpun Makmur, Pahang, semalam Dr Rais hanya berseloroh mengatakan tiada amanat yang ingin disampaikan. Menurutnya, pertemuan ramah mesra dengan penduduk Kerdau, hanyalah minum teh dan bermesra.

Dato Sarkar sebelum ini memuji pemimpin BN yang mengotakan janji seperti yang dilakukan oleh Dr Rais yang ketika PRK Kerdau berjanji akan turun padang bertemu dengan penduduk Kerdau jika mereka memilih calon BN. Apabila calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad (HABIB) menang sebagai Adun Kerdau, maka Dr Rais menunaikan janji untuk bertemu semula dengan penduduk Kg Rumpun Makmur dan sekitar termasuk merasmikan menara telekomunikasi dan penyerahan netbook 1Malaysia kepada pelajar yang memerlukan.

Ketika tiba giliran berucap, Dr Rais menyatakan bahawa beliau gembira untuk kembali ke Kampung Rumpun Makmur untuk bertemu dengan penduduk di situ. Beliau bangga melihat penduduk datang beramai-ramai untuk bermesra dengan pemimpin. Bukan saja dengan beliau tetapi bersama-sama dengan Dato Sarkar, Adun Kerdau, Adun Jenderak dan pemimpin masyarakat lain. Malah, Dr Rais memuji sikap penduduk di situ yang tidak kira kaum dan bangsa, datang beramai-ramai bagi menunjukkan sokongan kepada pemimpin kerajaan. Sokongan padu memperkuatkan negara.

Beliau juga mengingatkan mereka bahawa formula utama untuk memastikan negara ini aman ialah terus memperkukuhkan perpaduan kaum dan saling tolong menolong. Untuk itu, beliau mengingatkan bagaimana sumbangan pemimpin dulu seperti anak watan Pahang, Tun Abdul Razak yang mahu melihat negara ini maju seperti negara di dunia. Sumbangan tokoh Cina dan India seperti TS Lee San Choon, TS Manikavasagam dan DS Samy Vellu dalam membantu memajukan masyarakat setempat perlu dikenang. Hanya mereka yang tidak mengenang budi dan segera melupakan jasa pemimpin dulu perlu ditentang kerana ini bercanggah dengan adab budi masyarakat Malaysia.

Untuk itu, Dr Rais mahu rakyat negara ini menolak mereka yang mengamalkan politik jalanan yang tidak sihat. Mereka berniat untuk menghuru-harakan negara sedangkan mereka sendiri tidak pernah memberi sumbangan bermakna. Mereka sekadar untuk menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan. Beliau menasihatkan ibu bapa agar menasihati anak-anak mereka tidak bersama-sama dengan kumpulan yang mahu menjadikan perhimpunan haram sebagai medan mereka untuk menyusahkan orang ramai. Jika anak-anak muda terbabit dalam perhimpunan haram itu, maka mereka hanya meramaikan lagi kumpulan yang mengamalkan politik jalanan yang tidak sihat untuk negara ini.

Dr Rais juga menyebut bahawa beliau sudah berkhidmat dengan lima Perdana Menteri dan yakin apa yang dilakukan oleh DS Najib Tun Razak adalah ikhlas seperti juga negarawan yang lalu untuk memastikan rakyat mendapat yang terbaik. Dalam pada itu, kerajaan juga sentiasa mendengar keluhan rakyat dan berusaha untuk memperbaiki sebarang kelemahan dari semasa ke semasa. DS Najib kini berusaha untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju dan sebarang usaha untuk melengahkannya bukan saja merugikan negara tetapi juga rakyat keseluruhannya.

Dalam pada itu, Dr Rais juga meminta ibu bapa mengawasi anak-anak mereka yang menerima netbook 1Malaysia agar digunakan bagi faedah pendidikan dan pengetahuan. Internet boleh digunakan untuk memperolehi maklumat dan pengetahuan. Pilihlah maklumat yang berguna dan tolak bahan pornografi yang tidak berfaedah. Usaha kerajaan ini berterusan bagi memastikan setiap rakyat tanpa mengira di bandar atau luar bandar mendapat faedah daripada kemakmuran negara.

No comments: