Thursday, June 16, 2011

KENAIKAN TIDAK SAH - RAIS

PETALING JAYA, 16 Jun (Bernama) -- Notis mengenai kenaikan bayaran perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Astro kepada pelanggannya dianggap tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terlebih dahulu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Bayaran perkhidmatan asas yang dikenakan oleh Astro kepada pelanggan sekarang tidak akan diubah, apa-apa pertambahan Astro perlu berunding dahulu dengan SKMM sebelum memutuskan untuk menaikkan caj perkhidmatan mereka," katanya.

Astro perlu mendapat kelulusan dari SKMM sebelum menaikkan harga perkhidmatan saluran televisyen berbayar mereka, kata Rais.

Kementerian akan berbincang dengan Astro mengenai isu tersebut, kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Malam Penghargaan Industri Filem 2011 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini Rabu malam. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Finas Mohd Mahyidin Mustakim.

Astro baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.

Sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan, manakala yang lain pula akan menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.

Sementara itu, mengenai perkembangan industri filem negara, beliau berkata KPKK tahun ini menerusi FINAS telah memperuntukkan dana kira-kira RM15 juta untuk menjana filem kreatif seperti animasi dan sebagainya.

Selain itu, beliau akan mempertimbangkan untuk meminda Sekyen 6, Akta Finas.

Menurut beliau, akta sedia ada menghalang Finas untuk maju ke depan dalam pembikinan filem.

Beliau, bagaimanapun, tidak mengulas lanjut.

Berikut adalah senarai pemenang Anugerah Trofi Samad Idris untuk kategori Media sempena Malam Penghargaan Industri Filem 2011:

Pemenang pertama memenangi hadiah wang tunai RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000, masing-masing bersama trofi dan sijil.

Kategori Bahasa Malaysia:

Tempat Pertama: Ratnawati Rasidi dari Berita Harian

Tajuk Artikel: Usah Hukum Filem, Drama Punca Gegala Sosial

Tempat Kedua: Siti Ruqaiyah Hashim dari Utusan Malaysia

Tajuk Artikel: Khazanah Bernama P.Ramlee

Tempat Ketiga: Ku Seman Ku Hussain dari Utusan Malaysia

Tajuk Artikel: Flem Tidak Manfaatkan Sastera

Kategori Bahasa Inggeris:

Tempat Pertama: Zainal Alam Kadir dari The Malay Mail

Tajuk Artikel: Ordinarily Extraordinary

Tempat Kedua: Faridul Anwar dari New Straits Times

Tajuk Artikel: Not All Nostlagic Gems Get Second Run

Tempat Ketiga: Chok Suat Ling dari New Straits Times

Tajuk Artikel: New Censorship Snips Away The Fun Too

Organisasi Media yang memenangi Piala Pusingan Trofi Samad Idris:

1. Kategori Bahasa Malaysia: Berita Harian

2. Kategori Bahasa Inggeris: The Malay Mail

-- BERNAMA

No comments: