Tuesday, November 29, 2011

PRU13 : RAMALAN TOK NUJUM (7)

Perhimpunan Agung UMNO 2011 bermula hari ini dengan Majlis Taklimat Presiden pada jam 3 petang diikuti dengan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden, TS Muhyiddin Mohd Yassin, pada sebelah malam.

Perhimpunan kali ini amat penting kerana ia sudah pasti memikirkan strategi dan pendekatan terbaik untuk memenangi PRU13 yang akan diadakan sebelum pertengahan 2013. UMNO bersama parti komponen perlu terus menjadi kerajaan untuk meneruskan agenda yang sudah disusun oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (TDM) untuk menjadi Malaysia sebuah negara maju pada 2020. Jika tidak, impian akan punah berkecai.

TDM semalam menyatakan kerajaan BN pimpinan DS Najib Tun Rzak kini di landasan betul untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan seterusnya mencapai Wawasan 2020, yang dibentuk dan disusun oleh TDM. DS Najib telah berusaha keras untuk tujuan itu walaupun berhadapan keadaan sukar ekoran pelbagai masalah disebabkan mempunyai majoriti yang kecil di Parlimen.

Itulah katakunci yang menyebabkan DS Najib perlu kerja lebih kerana MAJORITI YANG KECIL di Parlimen akibat bahana PRU12 pada 2008. Bagaimanapun, TDM menyifatkan perkembangan politik dalam UMNO kini lebih baik daripada 2008 kerana ketika itu ramai ahli parti mengundi pembangkang bukan kerana mereka tidak suka UMNO tetapi mereka tidak suka dengan pemimpin pada waktu itu.

Kata TDM, kerajaan sudah melakukan yang terbaik supaya rakyatnya hidup lebih sempurna sejak negara merdeka, oleh itu tiada sebab untuk rakyat menentang kerajaan. Bagi penulis, perubahan dalam UMNO begitu ketara dengan pelbagai usaha dibuat oleh DS Najib dan dibantu oleh TS Muhyiddin sertai barisan pemimpin parti.

Hakikatnya, ahli dan pemimpin UMNO perlu sedar bahawa dengan MAJORITI YANG KECIL menyebabkan adakalanya mereka terpaksa menari mengikut gendang pembangkang yang tidak pernah putus-putus untuk mengganggu kerajaan walaupun mereka tahu sesuatu program itu betul dan memberi manfaat kepada rakyat. Kerajaan sentiasa menjawab api yang dihidupkan oleh pembangkang seolah-olah seperti tugasan ahli bomba.

Inilah yang dibuat oleh pembangkang untuk memastikan rakyat tidak terus memilih kerajaan sekarang sebaliknya memberi harapan menggunung yang tidak boleh dicapai sebagai tarikan bagi rakyat menyokong mereka. Golongan yang terkeliru sudah pasti menyokong pembangkang membabi-buta tanpa memikirkan kenyataan impian itu.

Bagi TDM, beliau berharap kerajaan akan berjaya dalam mentransformasikan ekonomi dan masyarakatnya sendiri. Dengan berbuat demikian merekan akan terus mendapat sokongan rakyat dan negara akan kekal makmur.

Terpulanglah ahli dan pemimpin UMNO untuk memikirkan strategi terbaik memenangi PRU13 dan seterusnya membentuk kerajaan yang mempunyai majoriti dua pertiga. Yang penting ahli UMNO perlu bersatu-padu di bawah pimpinan Presiden sekarang.

Semalam, DS Najib menyatakan beliau sedar bahawa era pentadbiran beliau begitu mencabar serta memerlukan perubahan besar. Untuk itu, UMNO dan BN perlu memastikan parti itu dipilih semula oleh rakyat untuk terus memerintah.

1 comment:

KAPAKTAJAM said...

Persidangan UMNO berikan "Live Telecast"