Monday, December 3, 2007

PILIHLAH YANG TEGAK DAN TIDAK ROBOH

Saya merasakan amat kelakar dan hampir terjatuh daripada kerusi apabila orang lama pembangkang, Lim Kit Siang menyuruh Datuk Seri S Samy Vellu untuk bersara daripada politik. Siapa Kit Siang untuk menyuruh orang lain bersara? Alasan beliau, DS Samy Vellu gagal dalam memperjuangkan nasib masyarakat India di negara ini seperti yang ditimbulkan oleh kumpulan sewel dan suka bermain api meniupkan sentimen agama.

Jika pemimpin itu dari negara India atau Amerika Syarikat, mungkin boleh saya faham mengenai "kebodohan" atau "kekurangan maklumat" mengenai negara ini. Tetapi ini disuarakan oleh orang telah lama berkecimpung dalam bidang politik Malaysia. Takkanlah DS Samy Vellu tidak berbuat sesuatu kepada masyarakat India. Saya bukanlah membela DS Samy Vellu tetapi sebagai wartawan, saya tahu apa yang telah dilakukan oleh pemimpin MIC itu. Malah, suara DS Samy Vellu itu sering mengingatkan pemimpin negara untuk terus membantu rakyat miskin termasuk kaum India. Cuma tidak dinafikan usaha membantu rakyat miskin yang masih ada lagi termasuk kaum Melayu dan Cina perlu diteruskan setiap masa. Kerajaan berjanji membantu semua kaum di negara ini.

Oleh itu, gesaan Kit Siang yang disiarkan dalam Malaysiakini pada minggu lalu juga ibarat meludah ke langit kerana orang ramai juga ingin bertanya bilakah beliau ingin bersara dan memberi laluan kepada pemimpin muda partinya. Janganlah pandai-pandai menyuruh orang berhenti atau bersara tetapi diri sendiri tetap ingin berpaut kepada tiang politik sehingga di akhir hayat. Melompat dari satu tempat ke satu tempat.

Dalam memilih pemimpin politik negara ini, kita perlu mengambil pandangan dalam peribahasa Melayu, PANDANG-PANDANG ORANG DIJADIKAN GANTI TUBUH, PERTAMA TEGAK, KEDUA ROBOH, yang membawa maksud "orang yang akan dijadikan wakil di dalam sesuatu perkara hendaklah dipilih dengan saksama, kerana kalau orang itu baik dan setia, selamatlah, tetapi kalau orang itu jahat dan tidak jujur, binasalah".

PETUALANG BAWA PEKERJA BERPENYAKIT

Saya menentang petualang yang ingin menghancurkan Malaysia, negara tercinta kita. Tidak kira dalam bidang politik, agama ataupun sosial.

Sebelum ini, saya pernah menulis mengenai tindakan golongan rakus yang membawa pekerja asing ke negara ini tanpa menyediakan pekerjaan. Akibatnya, kerajaan terpaksa menanggung "beban" mereka termasuk menyediakan tempat tidur dan berteduh di samping berbelanja berjuta ringgit untuk memberi pendatang ini makan. Jika tidak disediakan tempat tidur atau makan, maka negara lain akan menuduh kerajaan zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Bayangkan laporan palsu yang dibuat oleh kumpulan sewel pun dipercayai dan orang luar berani campur tangan dalam hal negara ini, apatah lagi jika betul warganegara mereka "dianiaya" oleh ejen pekerja yang tamak haloba tetapi memalukan kerajaan. Inilah yang dinamakan petualang negara. Duit hendak, tetapi memalukan kerajaan di mata dunia. Ejen pekerja asing ini perlu ditangkap dan dipenjarakan.

Kini muncul pula satu lagi "beban" kepada rakyat dan negara ini. Kemunculan penyakit kronik yang dibawa oleh pekerja asing yang sudah pasti dilakukan oleh ejen pekerja asing ini. Oleh kerana mereka tidak menjalankan kerja dengan baik tetapi mahu "makan duit" saja menyebabkan negara terpaksa menanggung beban dengan kemunculan semula penyakit, yang ada antaranya sudah dihapuskan sejak 30 tahun lalu. Kini, ia muncul semula seperti sifilis dan batuk kering. Petualang ini juga perlu ditangkap dan dipenjarakan.


Mengikut akhbar Utusan Malaysia, kira-kira 30,000 pekerja asing di negara ini didapati tidak sihat dan menghidap beberapa penyakit berjangkit yang boleh menular kepada rakyat tempatan jika tidak dibendung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, bilangan pekerja asing bermasalah kesihatan itu mewakili tiga peratus daripada pekerja asing yang kini bekerja dalam pelbagai sektor termasuk pembantu rumah. Menurutnya, antara penyakit berjangkit yang dikesan ialah HIV dan AIDS, batuk kering, Hepatitis B dan C serta sifilis.

‘‘Penyakit-penyakit ini boleh menular kepada rakyat negara ini,” katanya ketika mengulas saranan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) semalam, agar kerajaan menghapuskan peraturan yang kini mewajibkan pekerja asing menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sebaliknya, NGO terbabit menyarankan agar pemeriksaan tersebut dibuat secara sukarela oleh pendatang berkenaan bagi menjaga imej negara ini.

Soi Lek menyifatkan saranan NGO itu sebagai tidak logik dan tidak berasas sama sekali.‘‘Pemeriksaan terhadap pekerja asing tidak sahaja diamalkan di negara ini tetapi di sebilangan negara lain bagi mengesan penyakit yang dihidapi oleh tenaga asing,” katanya.

Kementerian Kesihatan juga mendapati sebahagian besar pekerja asing berkenaan masih tidak sihat apabila pemeriksaan susulan dibuat ke atas mereka.‘‘Ini menunjukkan pemeriksaan wajib itu perlu bagi memastikan keluarga kita tidak dijangkiti penyakit yang dibawa mereka,” katanya.Menurutnya, peraturan kerajaan itu sebenarnya, lebih meyakinkan pelabur asing kerana ia sudah menjadi amalan di negara-negara maju.

Bagaimanapun, menurutnya, kementerian mengkaji kemungkinan mengurangkan bayaran kepada Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) ke paras yang lebih munasabah.‘‘Ketika ini kadar bayaran bagi lelaki ialah RM185, manakala bagi pekerja wanita pula RM195 seorang,” katanya.

(Renungan Rimau : Apa kata jika kita dapat menangkap "petualang negara" ini dan kita tempatkan mereka bersama-sama pekerja asing yang berpenyakit kronik seperti batuk kering atau hepatitis B agar mereka dapat merasakan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat negara ini. Petualang ini boleh diibaratkan oleh peribahasa Melayu sebagai, UMPAMA ANJING MAKAN MUNTAHNYA, yang membawa maksud "orang yang tamak dan gelojoh tidak memilih (keji atau terlarang) apa yang akan diperbuatnya".)

Sunday, December 2, 2007

KELANTAN AKAN JATUH KE TANGAN BN?

Kemenangan UMNO dalam pilihan raya bergantung kepada faktor perpecahan dalam parti. Jika UMNO kuat dan tiada masalah perpecahan, parti itu akan mencatatkan kemenangan besar. Jika UMNO yang menjadi tunjang BN berpecah seperti peristiwa pemecatan Timbalan Presidennya, parti itu akan mengalami kekalahan teruk termasuk kehilangan Kelantan dan Terengganu.

Pada PRU 2004, Terengganu berjaya dirampas semula. Apakah PRU kali ini, UMNO akan dapat menawan semula Kelantan? Apakah rakyat Kelantan sudah bersedia untuk menyerahkan negeri itu kepada UMNO setelah PAS memerintah 17 tahun? Apakah rakyat Kelantan puas hati dengan pemerintahan PAS dan mahu memberikan satu penggal lagi?

Ikutilah artikel AFP yang dilaporkan dalam Malaysiakini mengenai pandangan pakar untuk kita melihat apakah Kerajaan Barisan Nasional akan terus memerintah dan berjaya menawan Kelantan.


Beberapa pakar politik memberitahu sebuah forum hari ini bahawa kerajaan Barisan Nasional dijangka kehilangan banyak kerusi dalam pilihanraya umum akan datang tetapi masih dapat mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Mereka membuat ramalan tersebut ekoran wujudnya rasa tidak puashati rakyat terhadap kerajaan serta ketegangan kaum ekoran berlakunya dua perhimpunan protes rakyat di ibu negara bulan lalu.

Perhimpunan pertama anjuran Bersih menuntut pilihanraya bersih dan adil pada 10 November lalu, dan diikuti oleh perhimpunan kedua pada 25 November lalu, anjuran Hindraf yang mendakwa masyarakat India di negara ini telah pinggirkan.

Mereka menganggap perhimpunan tersebut sebagai cabaran terbesar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak beliau mengambil alih kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003.

Namun, seorang daripada mereka, Bridget Welsh, seorang pakar mengenai Asia Tenggara dari Universiti John Hopkin, berpendapat, masih sukar untuk pembangkang menafikan kemenangan dua pertiga pagi BN dalam pilihanraya umum akan datang yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Parti-parti pembangkang di Malaysia, katanya, tidak mampu mewujudkan satu pilihan alternatif kepada rakyat kerana mereka masih bersifat individu, dengan kemampuan yang terhad di segi representasi sebenar dan dalam aspek pentadbiran.

BN berjaya mencapai kemenangan majoriti terbesar dalam tempoh kira-kira tiga dekad, dengan memenangi 198 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum 2004 yang lalu, berbanding dengan 20 kerusi yang dimenangi oleh pembangkang.

Bagaimanapun,Welsh meramalkan Umno - yang menjadi tunggak utama BN - mungkin kalah sehingga 15 kerusi Parlimen manakala rakan komponen kedua terbesar BN, MCA, mungkin kehilangan enam kerusi.

Beliau juga meramalkan parti pembangkang PAS juga mungkin kehilangan negeri Kelantan - satu-satunya negeri yang diperintah oleh pembangkang - ekoran kebanjiran pengundi baru.

Selain isu ekonomi dan kenaikan harga barang, katanya, isu-isu kaum, agama dan kebimbangan etnik juga akan memberi impak yang besar kepada keputusan pilihanraya umum akan datang.

Manakala Pek Koon Heng, seorang pakar politik Cina di Malaysia, dari Universiti Amerika, menyentuh tentang rasa tidak puas hati rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan yang memberi keistimewaan kepada Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti di Malaysia.

Katanya, ramai kaum Cina dan India yang merasakan bahawa masanya sudah tiba untuk mengkaji semula Dasar ekonomi Baru (DEB) - yang digubal selepas kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei pada 1969 - selepas kajian mendapati orang Melayu telahpun mencapai 30 peratus pemilikan korporat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah memperkenalkan satu tanda aras baru pada tahun lalu - pendapatan isirumah - untuk mengukur kemajuan yang dicapai oleh orang Melayu, yang dianggap Pek sebagai satu petanda yang menunjukkan dasar kontroversi tersebut akan kekal sehingga tahun 2020.

"Timbul banyak rasa tidak senang hati mengenai bagaimana (pencapaian) DEB diukur. Dalam ketidaktentuan tersebut - sasaran pencapaiannya (dasar itu) boleh berterusan untuk selama-lamanya," kata Pek.

"Walaupun mereka menerima dasar tersebut ...tetapi kita perlukan kestabilan politik, namun generasi demi generasi rakyt Malaysia tidak boleh (berterusan) tertakluk kepada dasar tersebut, (oleh itu) mereka kata, kadang-kadang kita perlu melakukan sesuatu mengenainya," katanya.

Memetiks satu tinjauan pendapat yang dijalankan tahun ini, beliau berkata, rakyat Cina Malaysia tidak puashati dengan keadaan ekonomi dan kepimpinan Perdana Menteri Abdullah dan sebahagian besarnya dijangka mengundi pembangkang.

Masyarakat India juga tidak puashati. sekurang-kurang 30,000 daripada mereka tidak mengendahkan araman polis dan mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur awal minggu ini, sebagai membantah apa yang didakwa sebagai diskriminasi kaum.

Polis memukul mereka dengan cota dan menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air untuk menyuraikan mereka.

Welsh menyifatkan protes tersebut sebagai satu 'ujian' kritikal terhadap kerajaan campuran Abdullah.

Katanya, masalah utama dalam kerajaan ialah peningkatan dominasi Umno dan cauvinis Melayu yang tidak mengendahkan suara orang lain dalam BN.

SELAMAT HARI JADI RH

Beli mi di pekan Selayang
Buat bekal si anak nyonya
Cinta kami kepada sayang
Akan kekal selama-lamanya

Anak nyonya mula berjalan
Rehat sebentar hilangkan lelah
Doa bersama terus berkekalan
Hidup bahagia tiada berbalah

Minuman herba segarkan badan
Udara segar lapangkan dada
Selagi hayat dikandung badan
Bersatu kita berpisah tiada

KISAH BENAR: DUIT KWSP MILIK ORANG

Kisah kehidupan. Untuk renungan kita bersama.

"Aku merasa hairan keluarga bekas suamiku tidak mahu menguruskan pengkebumiannya. Oleh itu, aku terpaksa mengambil alih tanggungjawab menguruskan jenazah orang yang telah hidup hampir 30 tahun denganku. Aku bercerai dengannya dua tahun lalu.

"Aku tidak mahu menceritakan penceraian kami kerana ia terlalu peribadi. Tetapi ia harus berlaku dan kami mengambil keputusan untuk bercerai setelah hidup bersama selama 30 tahun. Sejak itu, bekas suamiku tinggal berseorangan menyewa bilik bersama beberapa lelaki bujang di sebuah rumah. Sekali-sekala anak-anak kami melawat beliau dan daripada situlah kawan serumahnya tahu untuk menghubungi kami.

"Rakan-rakan inilah yang memberitahu kami mengenai kematiannya. Mereka juga menghubungi keluarga suamiku tetapi adik-beradiknya meminta aku menguruskan jenazah. Aku rela untuk menguruskannya kerana memikirkan adalah tidak baik membiarkan ia begitu saja. Ini ditambah dengan desakan anak aku yang mahukan bapa mereka dikebumikan segera dan tidak mahu menyeksakan mayat.

"Pada majlis pengkebumian itu, tiada adik-beradiknya yang datang. Aku tidak tahu apakah punca mereka tidak hadir tetapi aku dapat merasakan kemarahan mereka mengenai sesuatu yang dilakukan oleh suamiku. Ayah dan ibu bekas suamiku sudah lama meninggal dunia dan sepatutnya adik-beradik beliaulah yang menguruskan pengkebumian itu.

"Setelah dua minggu selesai, aku pun pergi ke KWSP untuk mengeluarkan simpanan bekas suamiku. Ketika bersama dulu, kami bersetuju untuk membahagi-bahagikan wang simpanan itu kepada anak-anak kami. Setidak-tidaknya wang itu boleh membantu mereka meneruskan pendidikan di universiti.

"Alangkah terperanjatnya aku apabila diberitahu bahawa duit itu sudah dikeluarkan oleh Mr X beberapa hari lalu. Mr X inilah yang memberi pinjaman lebih RM200,000 kepada kami ketika aku memulakan perniagaan. Tetapi kami tidak mampu untuk membayar balik pinjaman berkenaan sehinggalah pada hari kematian bekas suamiku.

"Aku pulang hampa dan marah kerana tindakan bekas suamiku yang tidak memperuntukkan wang KWSP sebanyak RM250,000 kepada anak-anaknya. Sebaliknya beliau meletakkan Mr X sebagai penama bagi membayar balik hutang kami.

"Aku menceritakan segala-galanya kepada anak-anak aku dan mereka meredakan tindakan bapa mereka. Hutang perlu dibayar."

Saturday, December 1, 2007

JANGAN BIARKAN MALAYSIA HANGUS

Mengapa Iraq yang amat kuat satu ketika dulu di bawah Presiden Saddam Hussein, tiba-tiba rebah seperti patung Saddam yang ditarik dengan rakus oleh tentera Amerika? Jawapannya ialah rakyat Iraq tidak bersatu dan membiarkan orang lain mengambil segala kesempatan untuk menghirup darah dan minyak dari negara mereka. Lesen yang digunakan ialah menegak keadilan dan untuk memastikan tiada pihak yang ditindas.

Setelah mereka masuk ke Iraq, pelbagai perkara dilakukan oleh Amerika Syarikat termasuklah mengambil kesempatan terhadap kekayaan minyak Iraq dan segala bahan sejarah Islam yang agung lesap begitu saja oleh ejen-ejen Amerika Syarikat. Ketika itu alasan yang diberikan terhadap kelesapan barang-barang berharga itu ialah kerana negara itu sedang menghadapi anarki. Hingga kini tiada siapapun yang untung daripada penyerangan Amerika Syarikat terhadap Iraq kecuali Si Belukar yang seperti menunaikan "sumpahnya" untuk membalas dendam terhadap Presiden Saddam kerana bapanya telah dimalukan. Belukar tua telah terbakar dan hangus. Rakyat AS juga mengutuk Si Belukar yang mendapat dokongan Yahudi.

Amerika Syarikat membuat pelbagai alasan untuk masuk ke Iraq. Yang paling besar ialah tuduhan penyimpanan tempat membuat nuklear. Tuduhan itu sebenarnya sebesar negara AS itu sendiri kerana ternyata itulah alasan untuk menjahanamkan Iraq dan memalukan umat Islam. Amerika Syarikat adalah perompak besar dunia yang sering berselindung di sebalik topeng demokrasi. Mereka sentiasa mengambil kesempatan jika ada sesuatu yang mereka suka seperti minyak atau untuk menghancurkan Islam. Ini yang saya sering sebutkan menangguk di air keroh. Ini kumpulan yang ingin dijadikan kawan oleh sesetengah pihak yang hanya mementingkan diri mereka sendiri. Jauhilah mereka.

Tetapi pandangan saya mengenai menangguk di air keroh ini sering menerima kritikan seolah-olah saya paranoid terhadap sesuatu yang buruk akan berlaku walaupun sebenarnya tidak. Tetapi mereka lupa bahawa, SESAL DULU BERPENDAPATAN, SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA dan JANGAN BERMAIN DENGAN API adalah satu peringatan kepada kita rakyat Malaysia bahawa negara ini perlu bersatu dan jangan biarkan orang lain menangguk di air keroh.

Jika ada sebarang masalah, pemimpin kaum atau bangsa tertentu perlu mengambil usaha untuk memperjuangkan kaum mereka dan jangan sehingga boleh menganggu-gugat keamanan negara seperti yang dilakukan oleh kumpulan sewel yang menuntut entah apa-apa daripada orang luar. Mereka juga degil dan sombong serta berusaha mencabar kewibawaan pasukan keselamatan. Tindakan mereka itulah yang menyebabkan Malaysia diperhatikan oleh orang luar.

Lihatlah akibat yang diterima sekarang. Negara India sudah mula membuka mulut mereka dengan mengatakan apa yang berlaku terhadap orang India di tempat lain akan menjadi perhatian mereka. Ini dinyatakan oleh pemimpin India dalam berita yang disiarkan oleh Malaysiakini yang memetik berita AFP. Apa sudah jadi? Adakah kumpulan sewel ini puas hati dengan tindakan mereka yang menipu masyarakat India di negara ini dengan janji untuk memberikan satu atau dua juta jika turut serta dalam perhimpunan haram. Siapa yang tidak mahu duit? Tetapi sebenarnya siapa yang ditipu dan siapa pula menggunakan orang lain untuk kepentingan diri mereka sendiri. Inilah yang saya sebutkan sewel dan amat berbahaya kepada negara.

Maka itu, wahai pemimpin tertinggi masyarakat India, DS Samy Vellu tolonglah tengok-tengok sikit perangai anak buah agar tidak membiarkan orang lain menangguk di air keroh. Tidak gunalah sibuk memperkatakan usaha memperjuangkan nasib masyarakat India jika ada lagi yang tidak puas hati dan sanggup mati untuk menyatakan isi hati mereka. Tolonglah Samy Vellu untuk menolong mereka ini jika kemiskinan yang disebutkan itu ada hubungkait dengan isu kronisme atau pilih kasih. Kerajaan sudah memberi banyak bantuan kepada masyarakat India dan ke mana pergi bantuan itu perlu dijawab oleh Samy Vellu dan MIC. Jangan biarkan beban itu ditanggung oleh pemimpin UMNO sehinggakan pelbagai dakwaan jahat dibuat dan kini Malaysia mendapat malu. Tolonglah Samy Vellu.

Malaysia tidak boleh menjadi Iraq. Saya mahu hidup seribu tahun lagi dan tidak mahu melihat kekacauan di negara ini. Janganlah biarkan negara ini hangus menjadi abu kerana memang susah untuk membangunkannya semula setelah 50 tahun kita berpenat lelah. Percaya dan yakinlah.

Jika masing-masing hendak menunjukkan kekuatan, ia tidak akan ke mana kerana percayalah negara ini akan menjadi abu dan ketika itu siapapun tidak akan mahu hidup di negara ini. Yang paling malang ialah bangsa Melayu kerana inilah tanah tumpah darah mereka. Kerana seperti kata-kata Perdana Menteri India bahawa mereka mengambil berat orang India di seluruh dunia, ini bermakna orang India mempunyai tempat untuk bergantung, setelah Malaysia menjadi abu. Begitu juga kaum lain kot. Tolonglah.

Friday, November 30, 2007

GERAKAN PEMBAHARUAN UTARA

Ketika ini, gerakan pembaharuan untuk "memperbetulkan" apa yang dikatakan tambahan dalam amalan kita sekarang sedang dilaksanakan. Gerakan di negeri utara Semenanjung ini termasuk mentiadakan doa oleh imam selepas sembahyang jemaah di masjid dan juga mentiadakan pembacaan talkin ketika pengkebumian. Doa dibaca oleh individu saja.

Jika anda mempunyai pandangan atau sesuatu yang hendak diperkatakan mengenai perkara itu yang mungkin sudah diketahui atau difahami, silalah tinggalkan pandangan atau cadangan tertentu mengenai gerakan pembaharuan atau pembetulan ini. Pandangan tokoh agama dan pelajar Malaysia di luar negara terutama dari Timur Tengah amat dialu-alukan demi kepentingan kita bersama.

Bagi sesetengah pihak, gerakan ini dikatakan menimbulkan pertanyaan apakah selama ini apa yang kita lakukan tidak betul atau satu tambahan yang tidak digalakkan. Itu persoalannya? Bagaimana pula pandangan pihak berkuasa tempatan?

Thursday, November 29, 2007

KISAH BENAR : AYAHKU GAY

Ini kisah benar. Semoga menjadi pengalaman hidup kita.

"Selama ini aku sering mempertahankan ayahku. Tohmahan dan tuduhan orang lain aku sangkal. Malah aku mula bermusuh dengan mereka yang menghina ayahku. Aku tidak rela orang mengata ayahku seorang gay. Simpang malaikat 44. Aku akan terus membela ayahku, selagi hayat dikandung badan. Ayahku akan tetap menjadi pujaanku.

"Ayahku seorang yang baik dan pandai memasak. Kami berdua amat gemar dengan masakannya. Ibuku sudah lama berpisah dengan ayah. Tetapi mereka berkawan baik. Malah ayahku tetap menyayangi bekas isterinya. Sebagai tanda kasih, ayahku membelikan kondominium berdekatan dengan kondo kami untuk ibuku. Kami saling kunjung mengunjungi. Kasih sayang tetap terpahat. Bercerai tetapi berkawan.

"Bagiku, penceraian ayah dan ibu adalah satu takdir. Satu suratan. Siapa yang mahu bercerai. Malah penceraian itu adalah satu yang dihalalkan dalam Islam tetapi dibenci oleh tuhan. Pelbagai perkara boleh berlaku jika seseorang itu bercerai. Nasib anak-anak. Nama baik keluarga dan seribu macam lagi.

sambung selepas minum pagi...tidak tahu bila.

posting kedua - 2.55 petang.

"Aku tinggal bersama ayahku. Tetapi adikku tinggal bersama kawannya. Beliau sedih selepas penceraian ayah ibu kami. Tetapi dia sering balik untuk makan bersama keluarga. Adikku seorang yang suka berdikari Beliau tidak suka bergantung kepada orang lain. Beliau mahu membuktikan bahawa beliau mampu hidup bersendirian.

"Pada satu hari, beliau bertanya kepadaku sama ada ayah itu seorang lelaku tulen atau gay. Aku tersentak. Lantas aku menafikan perkara itu. Aku terangkan kepadanya bahawa ayah kami tidak seperti yang dituduh oleh orang lain. Mungkin orang lain dengki dengan kejayaan ayah dan keluarga kami. Adikku terdiam dan sejak itu beliau tidak menimbulkan perkara itu. Tetapi aku tahu hatinya sentiasa tidak tenteram berikutan tohmahan dan tuduhan orang lain. Yang mengguriskan hatinya ialah apabila ada beberapa kawan rapatnya dikatakan turut memperkatakan mengenai perkara itu.

"Namunnya semua berubah satu hari. Aku ternampak ayah berpelukan dengan seorang lelaki. Pautan ayah dan lelaki itu bukan seperti kawan biasa tetapi lebih daripada itu. Aku malu untuk menceritakannya. Sahlah apa yang diperkatakan oleh orang. Aku tidak boleh menyangkal lagi. Aku terus menjerit di khalayak ramai meminta ayahku memberhentikan tingkah lakunya. Sungguh mengaibkan. Aku malu."

"Tetapi ayah tetap ayahku."

Wednesday, November 28, 2007

JANGAN JOLOK SARANG TEBUAN (4)

Seorang teman memberitahu saya, hantu suka tinggal di tempat sejuk. Saya tidak tahu sama ada fakta beliau itu benar atau sebaliknya kerana ada juga yang mengatakan hantu suka lepak di tempat panas.

Tetapi saya juga diberitahu di Genting Highlands ada pakar hantu yang membawa beberapa ekor hantu ke pusat perjudian itu untuk menggelakkan kumpulan yang membawa hantu atau toyol untuk menang judi. Dalam ertikata lain, menggunakan hantu untuk melawan hantu daripada mengalami kerugian setiap masa. Pernah diceritakan bahawa ada seorang yang ingin cepat kaya membawa toyol ke Genting Highlands. Di pertengahan jalan, toyol yang dibawa lari lintang pukang kerana terlalu takut apabila ternampak hantu besar di atas bukit berkenaan. Itu di Genting Highlands.

Di Cameron Highlands juga dikatakan banyak hantu kerana banyak bangunan lama di situ. Tetapi rakan saya yang baru balik dari situ menafikannya kerana menurut beliau, tempat itu menarik terutama untuk beristirehat dan membawa anak-anak. Hantu di situ tidak kacau orang luar kerana percaya bahawa pelancongan membawa pendapatan kepada penduduk setempat. Itu di Cameron Highlands.

Namun apa yang menyebabkan saya terkejut minggu ini ialah apabila Ahli Parlimen Cameron Highlands yang juga pemimpin MIC, K Devamoney, mengatakan bahawa dasar kerajaan gagal untuk membantu masyarakat India dan kemarahan itu ditunjukkan dalam perhimpunan haram yang dibuat oleh Hindraf. Apa ni? Adakah hantu-hantu di Cameron Highlands sudah merasuk Devamoney sehingga beliau sanggup mengeluarkan kenyataan itu. Hanya beliau saja yang boleh menjawabnya.

Saya bukan ahli politik dan tidak mempunyai fakta mengenai pencapaian masyarakat India. Tetapi Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu sudah pasti mempunyai semua fakta mengenai kejayaan partinya untuk membantu masyarakat India. Malah, beliau berbangga untuk menyatakan masyarakat India kini dibela dan tidak tersisih seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Malah dalam sidang akhbar semalam, beliau dengan tegasnya mengatakan bahawa MIC sentiasa memperjuangkan nasib masyarakat India dan kerajaan sentiasa mendengar dan membantu parti itu demi kepentingan kaum India. Malah usaha itu berterusan dan baru-baru ini beliau meminta Perdana Menteri melihat mengenai bilangan pegawai kerajaan India yang memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan. Itupun, kata beliau, kini diteliti oleh TPM, Datuk Seri Najib Tun Razak atas arahan Perdana Menteri.

Oleh itu, saya merasa pelik mengenai kenyataan Devamoney bahawa dasar kerajaan gagal membantu masyarakat India. Beliau pemimpin MIC dan sudah tentu mengetahui apa yang dilakukan oleh partinya untuk membantu masyarakat India. Beliau juga tahu apa yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu masyarakat India dan umum tahu bahawa ramai kaum India yang rajin bekerja dan pandai berniaga sudah berjaya termasuk Ananda Krishnan, Tan Sri Arumugam, Datuk Tony Fernandes. Banyak juga jutawan India sekarang termasuk pemilik Restoran Lotus dan Restoran Melur Jaya. Banyak lagilah dan tidak payahlah saya sebut satu persatu.

Mungkin ada lagi yang Devamoney tidak puas hati dengan kerajaan dan beliau boleh mengambil pendekatan untuk memberitahunya kepada pemimpin tertinggi BN. Oleh itu, peluang yang akan diberikan seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini bahawa Devamoney akan dihadapkan kepada ketua whip BN mengenai tindakan beliau, perlu digunakan sebaik mungkin untuk "meluahkan segala-galanya". Jangan kita terikut-ikut dengan perangai sesetengah pemimpin jalanan yang mahu mengambil kesempatan kelembutan pemimpin sekarang untuk menyerang orang lain terutama bangsa Melayu.

(Renungan Rimau : Yang peliknya, Devamoney mengatakan mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram Ahad lalu sebagai gangster dalam temuramahnya di Al-Jazeera tetapi keesokan hari pula membelasah kerajaan tidak membantu kaum India. Kita jangan jadi seperti orang yang disebut dalam peribahasa Melayu, ULAR BERLINGKAR DI GULUNGAN TIKAR yang membawa maksud orang jahat yang menyamarkan diri dalam kumpulan orang baik. Kita jangan menjadi orang seperti disebut peribahasa Melayu, ULAR TELAN BABI, CACING YANG BENGKAK PERUT.)

Tuesday, November 27, 2007

TAHNIAH TV9 DAN LOKMAN HAMIDI

Sejak awal tahun ini, rakyat Malaysia boleh memilih untuk menonton program berita yang disediakan oleh pelbagai stesen televisyen. Selain RTM, TV3, TV8, NTV7, mereka juga boleh memilih untuk menonton berita TV9, Berita Bernama (diterajui oleh Sdr Ahmat Wahab) dan Astro Awani (diterajui oleh Sdr Suhaimi Sulaiman) pada waktu prime time iaitu antara jam 8 hingga 9 malam. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Sejak berhenti menjadi perunding media Disember lalu, saya tidak terbabit dengan program berita RTM dan tidak mengetahui rating Warta Perdana. Setahu saya, rating Warta Perdana adalah antara 500,000 hingga 650,000 setiap hari sehinggalah akhir tahun lalu. Adakalanya mencecah 750,000 penonton. Jika dicampurkan ketiga-tiga berita RTM iaitu berita Mandarin, Tamil dan WP, ia mencatatkan lebih 1.5 juta penonton.

Bagaimanapun, baru-baru ini saya diberitahu rating berita TV9 telah meningkat dan kini berada di kedudukan nombor dua selepas Buletin Utama TV3 yang mencatatkan penonton lebih 2.3 juta setiap malam.

Kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada peneraju berita TV9, Saudara Lokman Hamidi kerana berjaya membawa stesen itu ke peringkat yang lebih baik. Difahamkan kekuatan berita TV9 ialah berita wilayahnya di samping banyak menyiarkan berita human interest. Minggu ini mengenai lelaki di Klang yang tiada rumah dan makan sampah sarap. RTM pula menyiarkan berita wilayahnya pada jam 5 petang termasuk berita dari Sabah dan Sarawak. Penduduk kedua-dua negeri itu amat menghargai peranan RTM itu.

Tahniah kepada TV9 dan Sdr Lokman. Semoga kejayaan itu akan mendorong petugas bilik berita RTM yang kini diterajui oleh Sdr Wan untuk bekerja keras bagi terus memberi saingan terbaik. Saya boleh memahami tugas berat Sdr Wan kerana sebagai stesen nasional, RTM perlu mengimbangi bahan beritanya termasuk tugas penting dalam menjelaskan dasar dan program-program kerajaan kepada rakyat. Selamat bersaing.