Tuesday, November 27, 2007

TAHNIAH TV9 DAN LOKMAN HAMIDI

Sejak awal tahun ini, rakyat Malaysia boleh memilih untuk menonton program berita yang disediakan oleh pelbagai stesen televisyen. Selain RTM, TV3, TV8, NTV7, mereka juga boleh memilih untuk menonton berita TV9, Berita Bernama (diterajui oleh Sdr Ahmat Wahab) dan Astro Awani (diterajui oleh Sdr Suhaimi Sulaiman) pada waktu prime time iaitu antara jam 8 hingga 9 malam. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Sejak berhenti menjadi perunding media Disember lalu, saya tidak terbabit dengan program berita RTM dan tidak mengetahui rating Warta Perdana. Setahu saya, rating Warta Perdana adalah antara 500,000 hingga 650,000 setiap hari sehinggalah akhir tahun lalu. Adakalanya mencecah 750,000 penonton. Jika dicampurkan ketiga-tiga berita RTM iaitu berita Mandarin, Tamil dan WP, ia mencatatkan lebih 1.5 juta penonton.

Bagaimanapun, baru-baru ini saya diberitahu rating berita TV9 telah meningkat dan kini berada di kedudukan nombor dua selepas Buletin Utama TV3 yang mencatatkan penonton lebih 2.3 juta setiap malam.

Kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada peneraju berita TV9, Saudara Lokman Hamidi kerana berjaya membawa stesen itu ke peringkat yang lebih baik. Difahamkan kekuatan berita TV9 ialah berita wilayahnya di samping banyak menyiarkan berita human interest. Minggu ini mengenai lelaki di Klang yang tiada rumah dan makan sampah sarap. RTM pula menyiarkan berita wilayahnya pada jam 5 petang termasuk berita dari Sabah dan Sarawak. Penduduk kedua-dua negeri itu amat menghargai peranan RTM itu.

Tahniah kepada TV9 dan Sdr Lokman. Semoga kejayaan itu akan mendorong petugas bilik berita RTM yang kini diterajui oleh Sdr Wan untuk bekerja keras bagi terus memberi saingan terbaik. Saya boleh memahami tugas berat Sdr Wan kerana sebagai stesen nasional, RTM perlu mengimbangi bahan beritanya termasuk tugas penting dalam menjelaskan dasar dan program-program kerajaan kepada rakyat. Selamat bersaing.

1 comment:

Orked said...

Salam,

Saya setuju tu, RTM tak boleh dibandingkan dgn stesen tv swasta yang lain kerana masing² ada peranan yang berbeza. Tidak adil untuk RTM kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawap yang lebih menyeluruh. Kita tak boleh menilai dari 2-3 program sahaja tetapi kita kena melihat peranan RTM yg lebih besar fungsinya.