Sunday, December 2, 2007

KELANTAN AKAN JATUH KE TANGAN BN?

Kemenangan UMNO dalam pilihan raya bergantung kepada faktor perpecahan dalam parti. Jika UMNO kuat dan tiada masalah perpecahan, parti itu akan mencatatkan kemenangan besar. Jika UMNO yang menjadi tunjang BN berpecah seperti peristiwa pemecatan Timbalan Presidennya, parti itu akan mengalami kekalahan teruk termasuk kehilangan Kelantan dan Terengganu.

Pada PRU 2004, Terengganu berjaya dirampas semula. Apakah PRU kali ini, UMNO akan dapat menawan semula Kelantan? Apakah rakyat Kelantan sudah bersedia untuk menyerahkan negeri itu kepada UMNO setelah PAS memerintah 17 tahun? Apakah rakyat Kelantan puas hati dengan pemerintahan PAS dan mahu memberikan satu penggal lagi?

Ikutilah artikel AFP yang dilaporkan dalam Malaysiakini mengenai pandangan pakar untuk kita melihat apakah Kerajaan Barisan Nasional akan terus memerintah dan berjaya menawan Kelantan.


Beberapa pakar politik memberitahu sebuah forum hari ini bahawa kerajaan Barisan Nasional dijangka kehilangan banyak kerusi dalam pilihanraya umum akan datang tetapi masih dapat mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Mereka membuat ramalan tersebut ekoran wujudnya rasa tidak puashati rakyat terhadap kerajaan serta ketegangan kaum ekoran berlakunya dua perhimpunan protes rakyat di ibu negara bulan lalu.

Perhimpunan pertama anjuran Bersih menuntut pilihanraya bersih dan adil pada 10 November lalu, dan diikuti oleh perhimpunan kedua pada 25 November lalu, anjuran Hindraf yang mendakwa masyarakat India di negara ini telah pinggirkan.

Mereka menganggap perhimpunan tersebut sebagai cabaran terbesar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak beliau mengambil alih kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003.

Namun, seorang daripada mereka, Bridget Welsh, seorang pakar mengenai Asia Tenggara dari Universiti John Hopkin, berpendapat, masih sukar untuk pembangkang menafikan kemenangan dua pertiga pagi BN dalam pilihanraya umum akan datang yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Parti-parti pembangkang di Malaysia, katanya, tidak mampu mewujudkan satu pilihan alternatif kepada rakyat kerana mereka masih bersifat individu, dengan kemampuan yang terhad di segi representasi sebenar dan dalam aspek pentadbiran.

BN berjaya mencapai kemenangan majoriti terbesar dalam tempoh kira-kira tiga dekad, dengan memenangi 198 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum 2004 yang lalu, berbanding dengan 20 kerusi yang dimenangi oleh pembangkang.

Bagaimanapun,Welsh meramalkan Umno - yang menjadi tunggak utama BN - mungkin kalah sehingga 15 kerusi Parlimen manakala rakan komponen kedua terbesar BN, MCA, mungkin kehilangan enam kerusi.

Beliau juga meramalkan parti pembangkang PAS juga mungkin kehilangan negeri Kelantan - satu-satunya negeri yang diperintah oleh pembangkang - ekoran kebanjiran pengundi baru.

Selain isu ekonomi dan kenaikan harga barang, katanya, isu-isu kaum, agama dan kebimbangan etnik juga akan memberi impak yang besar kepada keputusan pilihanraya umum akan datang.

Manakala Pek Koon Heng, seorang pakar politik Cina di Malaysia, dari Universiti Amerika, menyentuh tentang rasa tidak puas hati rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan yang memberi keistimewaan kepada Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti di Malaysia.

Katanya, ramai kaum Cina dan India yang merasakan bahawa masanya sudah tiba untuk mengkaji semula Dasar ekonomi Baru (DEB) - yang digubal selepas kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei pada 1969 - selepas kajian mendapati orang Melayu telahpun mencapai 30 peratus pemilikan korporat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah memperkenalkan satu tanda aras baru pada tahun lalu - pendapatan isirumah - untuk mengukur kemajuan yang dicapai oleh orang Melayu, yang dianggap Pek sebagai satu petanda yang menunjukkan dasar kontroversi tersebut akan kekal sehingga tahun 2020.

"Timbul banyak rasa tidak senang hati mengenai bagaimana (pencapaian) DEB diukur. Dalam ketidaktentuan tersebut - sasaran pencapaiannya (dasar itu) boleh berterusan untuk selama-lamanya," kata Pek.

"Walaupun mereka menerima dasar tersebut ...tetapi kita perlukan kestabilan politik, namun generasi demi generasi rakyt Malaysia tidak boleh (berterusan) tertakluk kepada dasar tersebut, (oleh itu) mereka kata, kadang-kadang kita perlu melakukan sesuatu mengenainya," katanya.

Memetiks satu tinjauan pendapat yang dijalankan tahun ini, beliau berkata, rakyat Cina Malaysia tidak puashati dengan keadaan ekonomi dan kepimpinan Perdana Menteri Abdullah dan sebahagian besarnya dijangka mengundi pembangkang.

Masyarakat India juga tidak puashati. sekurang-kurang 30,000 daripada mereka tidak mengendahkan araman polis dan mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur awal minggu ini, sebagai membantah apa yang didakwa sebagai diskriminasi kaum.

Polis memukul mereka dengan cota dan menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air untuk menyuraikan mereka.

Welsh menyifatkan protes tersebut sebagai satu 'ujian' kritikal terhadap kerajaan campuran Abdullah.

Katanya, masalah utama dalam kerajaan ialah peningkatan dominasi Umno dan cauvinis Melayu yang tidak mengendahkan suara orang lain dalam BN.

No comments: