Sunday, December 2, 2007

KISAH BENAR: DUIT KWSP MILIK ORANG

Kisah kehidupan. Untuk renungan kita bersama.

"Aku merasa hairan keluarga bekas suamiku tidak mahu menguruskan pengkebumiannya. Oleh itu, aku terpaksa mengambil alih tanggungjawab menguruskan jenazah orang yang telah hidup hampir 30 tahun denganku. Aku bercerai dengannya dua tahun lalu.

"Aku tidak mahu menceritakan penceraian kami kerana ia terlalu peribadi. Tetapi ia harus berlaku dan kami mengambil keputusan untuk bercerai setelah hidup bersama selama 30 tahun. Sejak itu, bekas suamiku tinggal berseorangan menyewa bilik bersama beberapa lelaki bujang di sebuah rumah. Sekali-sekala anak-anak kami melawat beliau dan daripada situlah kawan serumahnya tahu untuk menghubungi kami.

"Rakan-rakan inilah yang memberitahu kami mengenai kematiannya. Mereka juga menghubungi keluarga suamiku tetapi adik-beradiknya meminta aku menguruskan jenazah. Aku rela untuk menguruskannya kerana memikirkan adalah tidak baik membiarkan ia begitu saja. Ini ditambah dengan desakan anak aku yang mahukan bapa mereka dikebumikan segera dan tidak mahu menyeksakan mayat.

"Pada majlis pengkebumian itu, tiada adik-beradiknya yang datang. Aku tidak tahu apakah punca mereka tidak hadir tetapi aku dapat merasakan kemarahan mereka mengenai sesuatu yang dilakukan oleh suamiku. Ayah dan ibu bekas suamiku sudah lama meninggal dunia dan sepatutnya adik-beradik beliaulah yang menguruskan pengkebumian itu.

"Setelah dua minggu selesai, aku pun pergi ke KWSP untuk mengeluarkan simpanan bekas suamiku. Ketika bersama dulu, kami bersetuju untuk membahagi-bahagikan wang simpanan itu kepada anak-anak kami. Setidak-tidaknya wang itu boleh membantu mereka meneruskan pendidikan di universiti.

"Alangkah terperanjatnya aku apabila diberitahu bahawa duit itu sudah dikeluarkan oleh Mr X beberapa hari lalu. Mr X inilah yang memberi pinjaman lebih RM200,000 kepada kami ketika aku memulakan perniagaan. Tetapi kami tidak mampu untuk membayar balik pinjaman berkenaan sehinggalah pada hari kematian bekas suamiku.

"Aku pulang hampa dan marah kerana tindakan bekas suamiku yang tidak memperuntukkan wang KWSP sebanyak RM250,000 kepada anak-anaknya. Sebaliknya beliau meletakkan Mr X sebagai penama bagi membayar balik hutang kami.

"Aku menceritakan segala-galanya kepada anak-anak aku dan mereka meredakan tindakan bapa mereka. Hutang perlu dibayar."

No comments: