Tuesday, August 24, 2010
TELCO PERLU JUJUR DAN TELUS
Apa yang diharapkan ialah penjualan ring tone yang semakin popular di kalangan generasi muda. Ada yang berjaya terjual sehingga melebihi sejuta. Malangnya mereka yang berbakat ini bukanlah penerima sebenarnya. Orang lain makan daging, penggiat seni ini makan tulang. Amat memilukan dan sesuatu perlu dilakukan demi kepentingan masa depan penggiat seni.
Apa yang berlaku sekaranga ialah telco dikatakan mengambil 80 peratus keuntungan daripada jualan manakala golongan seni ini hanyalah menerima bakinya yang terpaksa berkongsi dengan beberapa pihak lain. Ini berbeza dengan Korea dan Jepun di mana telco hanya mengambil 10 hingga 15 peratus. Amat jauh bezanya dan amat menyedihkan apa yang berlaku di negara ini. Sesuatu perlu dilakukan dengan penuh keberanian terutamanya SKMM.
Sudah tiba masanya SKMM bergerak pantas untuk memastikan kedudukan ini diperbaiki agar penggiat seni dapat 'makan daging' hasil titik peluh mereka. Jangan biarkan 'orang tengah' yang dilantik oleh telco mengambil keuntungan berlipat ganda tetapi yang terus menderita ialah golongan penggiat seni. Rahsia terbuka ini perlu diselesaikan segera.
Yang penting ialah ketelusan dan kejujuran. Telus dari segi jumlah kutipan. Jujur dari segi pemberian keuntungan. Telco perlu memperincikan berapa yang banyak ring tone yang berjaya dijual dan pamerkan kepada penggiat seni. Jika hanya menghantar cek kepada penyanyi tidak memadai dan menggembirakan. Mungkin tersenyum seketika. Sebaliknya terangkan secara terperinci jumlah sebenar yang diperolehi. Barulah telus dan jujur.
Monday, August 23, 2010
JEJAK JAYA...1 DESTINASI DI TV1
Bulan ini bulan puasa. Bulan ini juga bulan merdeka. Sesuai dengan bulan merdeka Siti sejak lama dulu ternanti-nanti filem dokumentari terbitan RTM dan disiarkan di RTM. Tahun ini pun tak ada juga filem dokumentari tentang kemerdekaan yang boleh dianggap bertaraf dunia.
Siti fikir dokumentari kemerdekaan elok sangat dibuat oleh RTM sendiri. Kalau bagi kepada swasta, susah nak sempurna sebab banyak produser nak cepat kaya dan ketelitian sudah tentu terabai. Kalau ada yang nak buat pun susah juga sebab panel penilai di RTM dianggap produser sebagai “ berselera tinggi.”
Kerana itu Siti menanti RTM sendiri yang menerbitkan filem dokumentari tentang kemerdekaan. Siti mempunyai banyak sebab kenapa RTM paling layak menerbitkan dokumentari itu.Pertamanya, RTM mempunyai arkib berbentuk footage sejak diwujudkan televisyen pada 1963. Footage ini tidak mungkin dipunyai oleh pihak lain kecuali Filem Negara Malaysia (FNM). Keduanya, RTM dan FNM berada dalam kementerian yang sama iaitu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Ketiganya, selepas berusia lebih enam dekad, RTM perlu membuktikan kehebatan kerana pengalaman yang begitu banyak. RTM sepatutnya sudah menerbitkan dokumentari bertaraf dunia untuk siaran dalam atau luar negara. Apa lagi yang RTM tidak ada? Masakan usia lebih enam dekad RTM tidak mampu menghasilkan dokumentari tentang kemerdekaan dengan paparan visual yang eksklusif sejak dulu hingga kini. Atau kalau boleh Siti cadangkan panel yang memilih program bercorak dokumentari duduk dalam barisan penasihat kerana mereka ada kepakaran.
Siti hendak sangat melihat RTM keluar daripada zon selesa dan memanfaatkan kelebihan yang ada. Kalau dibandingkan dengan stesen televisyen lain, RTM banyak menyimpan khazanah. Tapi apalah ertinya khazanah yang banyak itu kalau terperap dalam arkib yang hanya “dihayati” oleh lipas dan semut saja? SITI JARUM: Dah tak berapa setia dengan RTM.
(Ada dokumentari Merdeka bertajuk Jejak Jaya..1 Destinasi yang akan disiarkan pada jam 5.30 petang 31 Ogos ini. Ia mengenai erti kemerdekaan dan kejayaan tiga orang rakyat Malaysia mewakili orang Asli, Kadazan dan masyarakat Sarawak).
Sunday, August 22, 2010
BAKAR PADAM BAKAR PADAM
Oleh itu, tidak hairanlah dari satu isu kepada isu lain dibawanya untuk 'mengail' BN agar terjerumus dalam kancah peperangan minda ini. Beberapa tempat dipilih oleh pembangkang untuk 'mewujudkan api' itu. Mereka memilih untuk membuat kenyataan atau tindakan yang diharapkan akan 'membingungkan' BN dan serentak itu melancarkan serangan bertubi-tubi agar rakyat segera membenci kerajaan termasuk serangan terhadap SPRM dan Polis. Tempat yang sering digunakan ialah negeri-negeri yang dikuasainya seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan sedikit masa dulu di Perak. Mereka juga mewujudkan 'api politik' itu di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Apa yang dilakukan ialah memperbanyakkan 'sidang media' dan berkelakuan ganjil di Parlimen dan DUN untuk menarik perhatian media. Hampeh.
Hakikatnya serampang beberapa mata ini diharapkan pembangkang agar dapat mengelirukan rakyat terutama pengundi muda untuk bersikap 'tidak suka' dengan kerajaan sekarang. Mereka mahu rakyat melupakan jasa yang dibuat selama ini dan program untuk rakyat pada masa akan datang. Pembangkang menggunakan pelbagai kaedah termasuk facebook dan twitter untuk 'menghentam' BN dalam setiap penjuru seolah-olah tiada yang baik dibuat oleh kerajaan. Serangan bertubi-tubi ini sudah tentu akan memberi kesan jangka panjang jika BN tidak segera menangkisnya. Gunakan pelbagai medium moden dan tradisional untuk menjawabnya.
Pembangkang memilih topik dan isu 'evergreen' atau malar segar seperti rasuah, salahlaku polis, penyelewengan pemimpin, insiden tertentu seperti Teo Beng Hock dan biasiswa untuk memburuk-burukkan kerajaan yang memaksa BN bekerja lebih masa. Ini juga untuk mengalihkan pandangan terhadap kes mahkamah yang membabitkan pemimpin besar mereka. Hasilnya sudah tentulah bahawa rakyat akan mula mengaitkan isu-isu itu dengan kerajaan walaupun ada insiden tertentu yang 'terpencil' yang dilakukan oleh individu tertentu yang tiada kaitan dengan kerajaan. Dalam ertikata lain, otak mereka sentiasa berjalan untuk memburuk-burukkan kerajaan. Ini berbeza dengan pembangkang di negara maju yang otak mereka lebih maju.
Hakikatnya, sebarang masalah masa kini dilemparkan kesalahan terhadap kerajaan termasuklah pembuangan bayi. Orang lain yang dapat 'nikmat', kerajaan yang dipersalahkan. Apa yang dibuat oleh tokoh agama parti pembangkang? Ikut sama belasah sedangkan mereka tahu banyak yang sudah dilakukan oleh kerajaan termasuk pembinaan masjid dan program kerohanian. Kesalahan pimpinan mereka terutama di peringkat negeri yang diperintah tidak perlu dipersoalkan seperti isu perlombongan pasir di Selangor, masalah air di Kelantan atau tindakan mengetepikan kepentingan Melayu di Pulau Pinang. Merekalah baik dan semua program 'dihalalkan' walaupun rakyat di negeri yang dipimpin mereka. Lihatnya bagaimana penderitaan rakyat di negeri Kelantan yang terpaksa menggunakan air ' teh tarik' sungai.
Dalam pada itu isu kelemahan dan kekurangan pemimpin pembangkang itu seharusnya digunakan sepenuhnya oleh BN untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa pembangkang juga banyak membuat kesilapan dan kesalahan yang mahu disapu di bawah permaidani.Pastikan pendekatan yang diambil memberikan outcome yang menunjukkan pembangkang ' paku serpih' atau 'satu jari menunjukkan orang lain, empat jari menunjukkan kesalahan mereka'. Usaha berterusan perlu dilakukan untuk 'melondehkan' semua kelemahan dan kesalahan pembangkang agar rakyat mengetahuinya daripada pelbagai maklumat dan sumber. Jika ini dilakukan berterusan sudah tentulah pembangkang akan mendapat 'kemaluan besar' yang secara tidak langsung menutup lubang-lubang celupar mereka. Cubalah.
Saturday, August 21, 2010
NAK MENANG, JANGAN GADUH
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO menegaskan, kepimpinan kedua-dua negeri tersebut tidak mempunyai pilihan selain memastikan kepimpinan UMNO di setiap peringkat mempunyai kesepakatan dan perpaduan atau berdepan kemungkinan tumbang pada pilihan raya kelak.
"Dalam konteks Perlis dan Kedah, saya nak ingatkan bahawa kita mesti berpakat dan berpadu seperti dulu, tolong lakukan perkara ini untuk kita kembalikan kekuatan," katanya.
Beliau berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kerajaan negeri Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Hadir sama para pemimpin UMNO dari kedua-dua negeri itu termasuk bekas Menteri Besar Perlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid.
Najib menegaskan, tiada gunanya jika kepimpinan negara di peringkat nasional melaksanakan pelbagai dasar dan polisi demi kemakmuran ekonomi dan sosial rakyat sekiranya kepimpinan di peringkat negeri tidak berkongsi aspirasi yang sama.
"Kalau kita buat pelbagai dasar terbaik serta wawasan yang hebat-hebat tetapi kita di cawangan porak peranda, maka kita tidak akan menang dan kita tidak akan ke mana-mana.
"Ingat, kita hanya akan kuat jika masalah dalaman ini dapat kita selesaikan, carilah apa ramuan atau formulanya asalkan kita kembali bersatu dan merapatkan semula barisan," tambahnya.
Perdana Menteri menarik perhatian, kekuatan UMNO juga boleh diperkukuhkan sekiranya teraju kepimpinan di setiap peringkat mencari produk kepimpinan yang mampu melakukan perubahan dan transformasi terhadap perjuangan parti.
Dalam hubungan itu katanya, pemimpin perlu berpegang pada prinsip bertanggungjawab, tidak sombong, rendah diri, mengambil berat dan menunaikan janji supaya dihargai rakyat.
Sempena majlis itu, Perdana Menteri serta isteri menyampaikan bantuan zakat termasuk anak yatim dan ibu tunggal miskin.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Alor Setar kira-kira pukul 4.40 petang sebelum ke Istana Arau untuk menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. DS Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit menghadap Tuanku Syed Sirajuddin.
Selepas berbuka puasa, Perdana Menteri bersama isteri serta tetamu jemputan menunaikan solat maghrib, solat isyak dan sunat tarawih sebelum mendengar tazkirah oleh Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Sepatutnya PM tidak payah memberi ingatan seperti itu. Tetapi beliau tentulah merasakan ada keperluan untuk menyuarakannya. Ini kerana kedegilan sesetengah pihak. Sendiri mau ingatlah. Gaduh-gaduh apa guna. Yang rugi ialah penyokong parti dan mereka yang menaruh harapan kepada UMNO. Bertaubat politiklah).
Friday, August 20, 2010
JANGAN MABUK KETIKA SEMBAHYANG
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya mengesan perbuatan itu di beberapa masjid di Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Jelutong sejak minggu lalu. - Berita Harian.
(Renungan Rimau : Jika berlaku, ia amat serius. Ia memaparkan ramai yang sudah gila dan taksub seperti ahli parti tertentu. Janganlah terlalu taksub sehingga menghina agama dan bangsa. Mendoakan orang lain tiada masalahnya tetapi mengetepikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan satu perbuatan biadab. Apa nak jadi orang Melayu sekarang?)
SRY ANGRENI MENINGGALKAN KITA
KUALA LUMPUR : Bekas wartawan sukan Utusan Malaysia, Sry Angreni Mohd. Zet (gambar) meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di kepala selepas terjatuh ketika menghadiri mesyuarat di pejabat Amanah Raya Berhad, di sini petang semalam. Allahyarham yang berusia 42 tahun dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 3 petang dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 7 petang.
Menurut rakannya, Norzie Mohd. Khasbie, Allahyarham yang bertugas sebagai pegawai perhubungan awam di syarikat Amanah Raya Berhad menghadiri mesyuarat di pejabatnya kira-kira jam 2 petang sebelum dia tiba-tiba terjatuh.
"Dia kemudian dikejarkan ke HKL. Pihak perubatan berusaha memberi rawatan pernafasan, namun pendarahan dalaman di kepalanya yang didapati telah lama berlaku menyebabkan Allahyarham tidak dapat diselamatkan.
"Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar keluarga Utusan Malaysia. Allahyarham seorang yang sangat aktif berpersatuan dan pernah menjadi Exco Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)," katanya ketika menziarahi jenazah Allahyarham di HKL malam semalam.
Allahyarham meninggalkan seorang suami dan tiga orang cahaya mata.
Menurut Norzie, Allahyarham yang menetap di Puchong akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gombak tengah hari ini.
(Renungan Rimau : Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Al-fatihah)
Thursday, August 19, 2010
KIBARKAN JALUR GEMILANG (2)
Sejak tiga minggu lalu, RTM telah melancarkan usaha menggalakkan rakyat negara ini mengibarkan jalur gemilang. Ini dilakukan dalam pelbagai publisiti dan promo di TV1, TV2, Muzik Aktif (180) dan radio di seluruh negara. Malah penyampai RTM turut meminta dan merayu rakyat negara ini mengibarkan JG sebagai tanda hormat kepada bendera keramat itu sempena menyambut Hari Kemerdekaan. Malah kawasan ANGKASAPURI dihiasi dengan Jalur Gemilang.Usaha ini disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat dengan tindakan mereka mengibarkan bendera sama ada di rumah atau di premis tertentu. Namun, banyak juga bangunan besar terutama di bandar-bandar besar termasuk Kuala Lumpur yang masih tidak kelihatan bendera keramat itu. Apa sudah jadi? Tidak cukup duit ke hendak membeli bendera? Kalau tidak cukup duit mintalah ke bank-bank di negara ini agar mereka boleh memberi pinjaman. Kalau tidak mahu buat yang besar-besar, yang sederhana pun cukuplah.
Ikutlah contoh pelbagai syarikat yang sudah siang-siang lagi memasang bendera besar di bangunan mereka seperti Pos Malaysia dan MRCB. Apakah peneraju utama syarikat-syarikat seperti ini mempunyai semangat cintakan negara lebih membara daripada pemimpin syarikat yang malas untuk memasang bendera? Atau pun pemimpin syarikat yang malas itu tidak peduli dengan kemerdekaaan negara? Marilah kita kenalpasti pemimpin syarikat yang masih malas dan berdegil untuk mengibarkan bendera di bangunan mereka. Siapa mereka? Bangunan mana?
Wednesday, August 18, 2010
JANGAN MABUK KETIKA BERBUKA
Hotel terbabit yang tidak memiliki sijil halal telah mencampurkan alkohol dalam masakan untuk penyediaan bufet Ramadan.
Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, penemuan itu hasil pemeriksaan oleh 20 penguat kuasa pasukan jabatan itu.
Menurutnya, berikutan itu pihaknya mengarahkan hotel terbabit dengan serta-merta tidak menggunakan alkohol agar tidak mengelirukan pengguna Islam yang menikmati juadah berbuka puasa di situ.
"Kita melakukan pemeriksaan setiap hari dan meningkatkan pemantauan mulai 1 Ramadan lalu di semua hotel di sekitar Lembah Klang dan didapati kebanyakan hotel gemar mencampurkan arak dalam masakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jakim baru-baru ini mengeluarkan amaran kepada pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal supaya tidak menyalahgunakan terma bufet Ramadan atau berdepan risiko diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dilaporkan berkata, bufet Ramadan merupakan perbahasaan halal dan mereka yang menyalahgunakan terma ini boleh dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
"Pihak kami juga menasihati mereka supaya segera memohon sijil halal daripada Jakim memandangkan mereka memberi alasan tidak tahu bagaimana untuk membuat permohonan," katanya. Dalam pada itu, Mohd. Amri menggalakkan umat Islam berbuka puasa atau menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel yang disahkan halal oleh Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri.
"Saya harap masyarakat Islam negara ini tidak memilih hotel yang tidak memiliki sijil halal kerana mencari yang halal adalah wajib dan jauhilah perkara yang meragukan," katanya sambil memberi amaran akan terus memantau hotel-hotel yang mencurigakan. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Berhati-hati ketika berbuka di mana ada berada.)
Tuesday, August 17, 2010
BIAR KURANG MAKAN JANGAN KURANG AJAR (2)
Menjadi rahsia terbuka bahawa bangsa Melayu memegang kuasa politik menerusi perkongsiannya dalam Barisan Nasional manakala kaum Cina memiliki kuasa ekonomi. Bagi kaum India, mereka juga terbabit dalam bidang ekonomi dan profesional malah antara individu yang paling kaya di negara ini ialah Ananda Krishnan.
Baru-baru ini, ada pihak di kalangan kaum Cina yang merungut mereka tidak dilayan dengan adil oleh kerajaan. Siapa yang tidak layan mereka secara adil selama ini? Apakah rungutan ini rentetan pelbagai perkara yang ditimbulkan oleh golongan tertentu seperti titah Sultan Azlan Shah tempoh hari. Hakikatnya walaupun rungutan dan pelbagai permintaan dewasa ini, adanya yang dilihat melampau, umum tahu bahawa yang paling berkuasa dalam ekonomi ialah kaum Cina. Tiada keraguan kenyataan itu walaupun ada rungutan mengenai ketidakadilan.
Pemaju hartanah utama Tan Sri Liew Kee Sin, baru-baru ini dilaporkan oleh media mempersoalkan kewajaran rungutan masyarakat Cina bahawa mereka tidak dilayan adil oleh kerajaan, sambil menekankan kaum itu telah menikmati kedudukan baik di sebalik persekitaran dasar pro-Bumiputera.
Apakah kenyataan seorang usahawan Cina ini akan disangkal oleh pemimpin Cina yang lain? Sebenarnya inilah yang dilakukan oleh Si Kitol dengan gengnya untuk mengajak kaum Cina mempersoalkan isu-isu sebegini bagi menimbulkan rasa kebencian kepada kerajaan. Si Kitol mahu melukis gambaran bahawa kaum Cina ditindas dalam bidang ekonomi dan marilah menjatuhkan UMNO bagi memastikan parti lain mengambilalih dan menaburkan pelbagai janji.
Ini amat menyedihkan. Tambahan pula ada yang berani memperkatakan Perlembagaan baru yang sudah pasti tindakan yang biadab dan puak-puak ini perlu diseret ke muka pengadilan agar mereka tahu mengenai sejarah negara ini.
Cuma ingin mengingatkan bahawa satu lagi kuasa yang paling penting ialah kuasa media. Walaupun beberapa media arus perdana diketahui umum ada kaitannya dengan UMNO namun media ketika ini dikuasai oleh golongan bukan Bumiputera. Lihatlah betapa banyaknya saluran yang dimiliki oleh Ananda. Lebih 100 saluran Astro yang boleh menayangkan apa saja termasuk bahan-bahan dari luar negara. Akhbar Cina pula yang begitu banyak tersebar luas dan dibaca oleh masyarkat Cina, antaranya yang sering membangkitkan isu sensitif seperti kaum dan agama. Ada juga mengaitkan isu Raja-raja Melayu. Portal berita online juga meneruskan tindakan kurang ajar dengan membangkitkan rasa marah terhadap institusi yang mempunyai roh Melayu. Mereka tidak akan berhenti.
Bagi DIY, negara ini dirahmati kerana orang Melayu tidak pandai berbahasa Cina. Jika mereka boleh membaca Mandarin, sudah tentu mereka akan 'naik angin' atau 'menjadi gila' apabila membaca pelbagai berita dan artikel yang sensitif. Ada yang mula mempersoalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan.
Biar kurang makan tetapi jangan kurang ajar.
Monday, August 16, 2010
TAHNIAH SPRM. TERUSKAN USAHA MURNI
PUTRAJAYA 15 Ogos – Di saat rakyat Malaysia memandang jijik perlakuan rasuah, namun sebahagiannya dilihat cuba memperlekehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengemukakan aduan ‘sampah’ iaitu tidak disertakan dengan maklumat berasas.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kira-kira separuh iaitu 3,293 daripada 6,793 aduan yang diterima SPRM boleh dikategorikan sebagai aduan ‘sampah’.
Ini bermakna, 48.5 peratus daripada laporan yang diterima SPRM pada tahun ini terpaksa ‘diketepikan’ kerana pelbagai faktor termasuk mengandungi maklumat palsu, tidak berasas dan tidak lengkap.
Cuma 3,500 daripada keseluruhan aduan itu adalah berasas dan benar-benar mempunyai unsur rasuah. Daripada jumlah itu, SPRM telah membuka 675 kertas siasatan manakala selebihnya masih dalam peringkat analisis.
Timbul persoalan mungkinkah ia disengajakan atas kepentingan tertentu atau pengadu benar-benar ikhlas mahukan rasuah yang diketahuinya dibanteras? - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Kena tabik usaha yang dilakukan oleh SPRM bagi membanteras rasuah. Bukan mudah untuk 'menangkap' seseorang kerana sebelum individu itu mahu 'melakukannya' sudah pasti mereka sudah membuat perancangan terperinci. Dalam ertikata lain 'tidak meninggalkan kesan' dan kelihatan bersih. Oleh itu, jika ada pengadu yang tahu dengan sesuatu kegiatan kotor itu pasti sukar untuk dibuktikan di mahkamah jika 'semuanya kelihatan bersih' atau 'mengikut buku'. Dalam pada itu, mereka yang suka menghantar aduan kepada SPR perlulah membuat penyelidikan lagi untuk menyakinkan pihak berkuasa bahawa ada perkara yang tidak betul dalam sesuatu organisasi tertentu. Tahniah sekali lagi kepada SPRM.)

