Saturday, August 21, 2010

NAK MENANG, JANGAN GADUH

KANGAR 20 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kata dua kepada kepimpinan UMNO Kedah dan Perlis supaya menamatkan segala bentuk persengketaan dalaman jika mahu membina jentera yang benar-benar kuat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO menegaskan, kepimpinan kedua-dua negeri tersebut tidak mempunyai pilihan selain memastikan kepimpinan UMNO di setiap peringkat mempunyai kesepakatan dan perpaduan atau berdepan kemungkinan tumbang pada pilihan raya kelak.

"Dalam konteks Perlis dan Kedah, saya nak ingatkan bahawa kita mesti berpakat dan berpadu seperti dulu, tolong lakukan perkara ini untuk kita kembalikan kekuatan," katanya.
Beliau berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kerajaan negeri Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Hadir sama para pemimpin UMNO dari kedua-dua negeri itu termasuk bekas Menteri Besar Perlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid.

Najib menegaskan, tiada gunanya jika kepimpinan negara di peringkat nasional melaksanakan pelbagai dasar dan polisi demi kemakmuran ekonomi dan sosial rakyat sekiranya kepimpinan di peringkat negeri tidak berkongsi aspirasi yang sama.

"Kalau kita buat pelbagai dasar terbaik serta wawasan yang hebat-hebat tetapi kita di cawangan porak peranda, maka kita tidak akan menang dan kita tidak akan ke mana-mana.
"Ingat, kita hanya akan kuat jika masalah dalaman ini dapat kita selesaikan, carilah apa ramuan atau formulanya asalkan kita kembali bersatu dan merapatkan semula barisan," tambahnya.

Perdana Menteri menarik perhatian, kekuatan UMNO juga boleh diperkukuhkan sekiranya teraju kepimpinan di setiap peringkat mencari produk kepimpinan yang mampu melakukan perubahan dan transformasi terhadap perjuangan parti.

Dalam hubungan itu katanya, pemimpin perlu berpegang pada prinsip bertanggungjawab, tidak sombong, rendah diri, mengambil berat dan menunaikan janji supaya dihargai rakyat.
Sempena majlis itu, Perdana Menteri serta isteri menyampaikan bantuan zakat termasuk anak yatim dan ibu tunggal miskin.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Alor Setar kira-kira pukul 4.40 petang sebelum ke Istana Arau untuk menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. DS Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit menghadap Tuanku Syed Sirajuddin.

Selepas berbuka puasa, Perdana Menteri bersama isteri serta tetamu jemputan menunaikan solat maghrib, solat isyak dan sunat tarawih sebelum mendengar tazkirah oleh Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Sepatutnya PM tidak payah memberi ingatan seperti itu. Tetapi beliau tentulah merasakan ada keperluan untuk menyuarakannya. Ini kerana kedegilan sesetengah pihak. Sendiri mau ingatlah. Gaduh-gaduh apa guna. Yang rugi ialah penyokong parti dan mereka yang menaruh harapan kepada UMNO. Bertaubat politiklah).

3 comments:

adila said...

Salam DIY,

Cek kesian kat PM kita sampai bersusah payah mintak pemimpin-pemimpim UMNO sepakat. Setakat kat Perlis dan Kedah tu cek kira dah terlambat dah. Masa PRU 12 dulu..terang-terang pemimpin UMNO tak kira bahagian ka cawangan ka pakat sabotaj mana-mana calon yang MT hantaq. Duit pulak tak sampai kat akaq-umbi yang bekerja bagai nak gila tu..depa kapoq sebab nak standby pemilihan Bahagian. Sabit tu Kedah kena tawan. Nampaknya bila Tun Che Det kata "UMNO has rotten to the core", memang jadi payah la kerja Tok Jib nak perbetuikan UMNO.

nazari said...

Assalamualaikum Datuk,

Mungkin sebab-sebab di bawah ni menyebabkan pemimpin-pemimpin UMNO jadi tak sebetui antara satu sama lain-

1. Hati deme tu tak ikhlas masa mole-mole masuk UMNO;

2. Orang-orang kuat deme sumuenya hampeh,jenih makan keliling dan paling pandai melagakan orang;

3. Berlumba sesama sendiri untuk tarik perhatian bos-bos supaya dapat apa-apa jawatan yang patut;

4. Main bomoh supaya saingan jadi lemah bile rase saingan makin rapat dengan bos;

5. Berebut projek atau betine;

6. Saje cari salah saingan walaupun belum sahih terus sebarkan kepada orang lain dgn yakin dan bangganye;

7. Beli kerete/rumah mewah untuk tujuan eksyen dan pelecehkan saingan di mata pengikut;

8. Berebut dapatkan kerusi bersebelah dengan bos/VVIP atau berasak-asak untuk bergambar masa sidang media bos supaya dilihat relevan dan macam org kuat bos;

9. Perasan layak untuk pegang jawatan penting dalam kerajaan bila dipuji sikit oleh bos;

10. Berlumbe-lumbe jadi elitis supaya boleh diterima di peringkat pusat dan ade can utk pegang jawatan di pusat.

Kalau betui gini cara deme..buang ayor lior je PM bagi ingatan kat deme tu.

Anonymous said...

Ramai dari kalangan orang UMNO memang suka buat perangai karut marut. Mereka ini, kalau boleh mahu semuanya berlegar disekitar kepentingan diri dan puak mereka sahaja.

PRU12 membuktikan hukuman rakyat amnya dan orang Melayu khasnya kepada sikap jijik yang mendominasi diri mereka. Akhirnya UMNO yang mendapat bencana.