Tuesday, August 24, 2010

TELCO PERLU JUJUR DAN TELUS

Industri hiburan dan muzik tanahair semakin malap sekarang. Dengan jualan album baru yang kecil jumlahnya, menyukarkan penyanyi untuk mencari makan. Program persembahan yang ada menjadi rebutan di kalangan penyanyi dan penghibur. Sudah tentulah yang diminati mendapat tempat dan golongan lama terus menderita. Terus dirundung kegelapan. Kais pagi makan pagi, kais petang tiada apa diperolehi.

Apa yang diharapkan ialah penjualan ring tone yang semakin popular di kalangan generasi muda. Ada yang berjaya terjual sehingga melebihi sejuta. Malangnya mereka yang berbakat ini bukanlah penerima sebenarnya. Orang lain makan daging, penggiat seni ini makan tulang. Amat memilukan dan sesuatu perlu dilakukan demi kepentingan masa depan penggiat seni.

Apa yang berlaku sekaranga ialah telco dikatakan mengambil 80 peratus keuntungan daripada jualan manakala golongan seni ini hanyalah menerima bakinya yang terpaksa berkongsi dengan beberapa pihak lain. Ini berbeza dengan Korea dan Jepun di mana telco hanya mengambil 10 hingga 15 peratus. Amat jauh bezanya dan amat menyedihkan apa yang berlaku di negara ini. Sesuatu perlu dilakukan dengan penuh keberanian terutamanya SKMM.

Sudah tiba masanya SKMM bergerak pantas untuk memastikan kedudukan ini diperbaiki agar penggiat seni dapat 'makan daging' hasil titik peluh mereka. Jangan biarkan 'orang tengah' yang dilantik oleh telco mengambil keuntungan berlipat ganda tetapi yang terus menderita ialah golongan penggiat seni. Rahsia terbuka ini perlu diselesaikan segera.

Yang penting ialah ketelusan dan kejujuran. Telus dari segi jumlah kutipan. Jujur dari segi pemberian keuntungan. Telco perlu memperincikan berapa yang banyak ring tone yang berjaya dijual dan pamerkan kepada penggiat seni. Jika hanya menghantar cek kepada penyanyi tidak memadai dan menggembirakan. Mungkin tersenyum seketika. Sebaliknya terangkan secara terperinci jumlah sebenar yang diperolehi. Barulah telus dan jujur.

1 comment:

ayieshahri @ my|bachelorman said...

Hmmm isu yang baharu dan segar.. Yelah DIY, asyik2 isu politik dan dek kelemahan "orang sebelah sana"... Bagi saya harap semua telco ni bagi royalti pada Tabung Kebajikan Penggiat Seni yang ditubuhkan oleh KPKK... Takkan KPKK jer yang "tukang isi" tabung berkenaan... Telco-telco ini buat2 ler zakat sket, lebih2 lagi di bulan Ramadan ni... Sesekali suruh ler Budak Kuning (Digi) tu jenguk sket Tabung yang kita ada... termasuk budak-budak berwarna lain (biru, merah, jingga, kelabu asap dan apa saja)... ikut warna korporat mereka... hehehe