Thursday, December 20, 2007

BERANI KERANA BENAR

Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sentiasa berusaha memajukan Selangor, negeri maju dengan pelbagai projek perindustrian serta pertanian.

Dalam melaksanakan tugasnya, Menteri Besar Selangor tidak dapat lari daripada kritikan dan tohmahan termasuklah tuduhan beliau menerima rasuah dan mengagih-agihkan tanah negeri itu kepada sahabat dan kroninya.

Dalam pertemuan dengan beberapa wartawan news portal termasuk Nash Rahman dan Beh Lih Yi daripada Malaysiakini, Dr Mohd Khir menafikan segala-galanya.

Baginya yang penting ialah BPR membersihkan nama beliau dan semua calon BN pada Pilihan Raya Umum 11. Begitu juga kali ini. Dr Mohd Khir menganggap tuduhan rasuah terhadapnya tidak berasas.

Menurut Malaysiakini, senarai calon Barisan Nasional (BN) Selangor untuk pilihanraya umum akan datang, termasuk Dr Mohd Khir akan dirujukkan kepada BPR terlebih dahulu bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salahlaku rasuah.

Dr Mohd Khir berkata, perkara yang sama dilakukan dalam pilihanraya umum 2004 dan BPR mendapati beliau tidak terbabit dalam sebarang salahlaku rasuah dan kerana itu beliau boleh bertanding dalam pilihanraya umum lalu.

Katanya, siasatan BPR terhadap semua dakwaan yang dibuat terhadapnya, khususnya oleh PAS, mendapati semuanya tidak berasas.

"Saya rasa semua dakwaan (terhadap saya) telah selesai (disiasat). Tidak ada asas, kerana itulah nama saya bersih."

(Renungan Rimau : Tidak perlu risau lagi Dr Mohd Khir. Janganlah fikirkan sangat tuduhan atau tohmahan itu. Jika kita baik, tuhan akan melindungi kita. Itu je. Buatlah yang terbaik untuk penduduk Selangor. Dua peribahasa yang boleh dipegang oleh Dr Khir ialah, BERANI KERANA BENAR, TAKUT KERANA SALAH, yang membawa maksud ialah "bertindak kerana berada di pihak yang benar" dan BERANI HILANG TAK HILANG, BERANI MATI TAK MATI, yang membawa maksud,"siapa yang berani akhirnya akan menang juga". Jangan pula BERANI SENDUK PENGEDANG, AIR HANGAT DIRENANGINYA, yang membawa maksud "berani dengan membuta tuli". Kalau ada yang tidak betul, nahas kita.)

No comments: