Saturday, December 8, 2007

SIAKAP SENOHONG GELAMA IKAN DURI (3)

Salah satu usaha untuk meperbetulkan dakwaan, fitnah, tuduhan atau tohmahan ialah membuat aduan polis atau menyaman pihak yang membuat tohmahan.

Pihak yang merasakan mereka "difitnah" atau "ditohmah" akan mengambil dua tindakan itu untuk membersihkan nama mereka.

Walaupun diri mereka "dimalukan" atau nama mereka terjejas, setidak-tidaknya tindakan menyaman akan memberhentikan perkara itu diulang atau disebarkan. Apatah lagi, jika fitnah itu "berbahaya" dan berbaur perkauman.

Mengapa RTM membuat aduan polis terhadap Malaysiakini dan dua akhbar berbahasa Tamil? Ikutilah berita di bawah ini
.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah membuat aduan polis terhadap laman web Malaysiakini.com dan dua buah akhbar berbahasa Tamil kerana didakwa menyiarkan laporan yang tidak benar dan berunsur fitnah berhubung tindakan RTM tidak menyambung kontrak dua deejay stesen radio berbahasa Tamil, MINNALfm, baru-baru ini.

Laporan polis tersebut dibuat oleh Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abdul Rahman Hamid membuat laporan itu di Balai Polis Brickfields,Kuala Lumpur, pada jam 9.16 Khamis malam.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Penerangan Datuk Azmi Ali ketika memaklumkan perkara itu berkata, laporan polis itu dibuat terhadap Malaysiakini.com, serta akhbar Malaysian Nanban dan Makkal Osai, yang melaporkan kononnya kakitangan stesen itu dipecat dan digantung kerana dikatakan terbabit dalam perhimpunan haram Hindraf pada 25 Nov lepas.

"Apa yang berlaku ialah hanya dua orang juruhebah yang tidak disambungkan kontrak dan bukan dipecat," katanya pada sidang akhbar hari Jumaat.

Pada 3 Dis lepas, Malaysiakini dan dua akhbar itu menyiarkan laporan bahawa dua deejay stesen itu diberhentikan kerja dan lima lagi digantung kerja kerana pembabitan dalam perhimpunan itu.

Abdul Rahman, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata, keputusan tidak melanjutkan kontrak kedua-dua deejay itu tiada kena mengena dengan Hindraf kerana ia dibuat pada 29 Okt lepas sedangkan perhimpunan haram itu berlangsung pada 25 Nov.

Katanya, lima lagi kakitangan stesen itu "direhatkan daripada tugas-tugas konti" dan bukannya digantung, dan ia adalah langkah penyusunan semula tugas konti di MINNALfm.

Beliau berkata, kelima-lima mereka telah diberikan tugas membantu penerbit eksekutif rancangan radio stesen itu seperti membuat penyelidikan, penyediaan skrip dan pemilihan lagu.

"Proses penyusunan semula program-program di MINNALfm belum lagi dimuktamadkan. Ini adalah proses lazim yang dilaksanakan oleh semua stesen RTM dari semasa ke semasa," kata Abdul Rahman.

Pengawal stesen itu M. Rajasekaran, yang juga hadir pada sidang akhbar itu, menolak dakwaan kononnya tindakan pihak pengurusan stesen terhadap kedua-dua deejay itu disebabkan unsur dendam.

"MINNALfm hanya membuat perakuan (mengenai tindakan terhadap petugas yang mempunyai masalah disiplin) kepada kementerian, dan kementerian yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan," katanya. - AGENDADAILY.

No comments: