Monday, December 17, 2007

BERDOSA TIDAK UNDI PAS?

Dua faktor yang selalu menentukan kedudukan politik Kelantan ialah personaliti dan perpecahan.

Dalam ertikata lain dua faktor itu akan menentukan sama ada UMNO dapat memerintah Kelantan yang sudah 17 tahun diterajui oleh PAS. Jika ada personaliti hebat untuk memimpin UMNO dan tiada perpecahan dalam parti itu, maka sudah pasti Kelantan akan beralih ke tangan UMNO.

Ketika ini, ramai pihak yang berpendapat Datuk Seri Annuar Musa telah berjaya mengemudikan UMNO Kelantan walaupun tidak semua yang dilakukannya disukai atau mendapat sokongan. Tetapi setidak-tidaknya beliau memikul tanggungjawab yang diberikan pucuk pimpinan UMNO dengan baik dan seterusnya menerajui parti serta barisan calon BN ke arah kemenangan pada PRU 12.

Selama empat penggal Kelantan dipegang oleh PAS kerana faktor personaliti dan perpecahan dalam UMNO termasuklah pada 1999 berikutan pemecatan Timbalan Presiden UMNO. Begitu juga sewaktu Tengku Razaleigh Hamzah membantu memenangkan PAS ketika memimpin Semangat 46.

Kali ini, suasana sudah berbeza dan semakin ramai yang menjangkakan UMNO mampu berbuat sesuatu kepada negeri itu. Pelancaran ECER memberi harapan baru kepada penduduk agar BULAN yang selama ini tergantung di langit akan digantikan dengan DACING BIRU agar boleh turun ke riba untuk memberikan nikmat kepada rakyat Kelantan.

Dalam pada itu, seorang pemimpin Umno Kelantan dalam berita Malaysiakini hari ini meramalkan parti itu akan memenangi 25 hingga 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu dalam pilihanraya umum akan datang.

Ketua Umno bahagian Pasir Putih, Datuk Kamaruddin Mohd Noor, menegaskan parti itu mampu menang lebih banyak lagi kerusi jika orang Melayu di negeri itu tidak takut untuk mengundi Umno.

"Masih ada pengundi Melayu yang tidak mengundi calon Umno kerana takut berdosa dan akibatnya mereka mengundi PAS, walaupun mereka tahu parti itu tidak mampu memerintah Kelantan," kata Kamaruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerak

"Ia adalah sentimen yang dimainkan oleh pemimpin PAS dalam setiap pilihanraya bagi menghalang orang Melayu daripada mengundi calon Umno," katanya.

(Renungan Rimau : Ada juga orang takut berdosa jika tidak mengundi PAS. Semoga pemikiran mereka bertukar apabila merasai bahawa apa yang dilakukan selama ini menimbulkan kerumitan atau kesuitan dalam kehidupan mereka. Namun, rakyat Kelantan biasanya tidak kisah dengan kehidupan mereka dan sanggup memberikan undi kepada parti yang mereka amat taksub dengannya.)

No comments: