Friday, December 7, 2007

TAHNIAH ROSLI NORDIN

Roslin Mohd Nordin, bukanlah satu nama baru dalam bidang kewartawanan negara. Walaupun masih muda, beliau telah mendapat beberapa anugerah kewartawanan elektronik termasuk daripada Kementerian Pertahanan.

Wartawan meja berita RTM itu amat gigih dengan tugas yang diberikan dan sentiasa bersedia dihantar ke mana saja termasuk ke kawasan yang dilanda gempabumi di Indonesia dan Pakistan.

Kini, Rosli beralih angin ke sebuah jabatan lain dalam Jabatan Penyiaran. Beliau kini menjadi penerbit dokumentari di Unit Hal Ehwal Awam TV RTM.

Ikutilah berita dalam Mega, Utusan Malaysia hari ini mengenai dokumentari yang dihasilkan oleh Rosli. Ia terpilih mewakili negara dalam Malam Penganugerahan Hari Penyiaran Kanak-kanak Antarabangsa di International Emmy Awards Gala, New York, Amerika Syarikat. Tahniah Rosli.

**************************************************

Dokumentari RTM wakil negara ke New York

REALITI kehidupan keluarga Asli Semai ini akan dipaparkan hari ini pukul 4.30 petang di saluran TV2.
--------------------------------------------------------------------------------
Sempena sambutan Hari Penyiaran Kanak-kanak Antarabangsa yang akan disambut pada setiap 9 Disember, satu dokumentari yang menerapkan elemen realiti kanak-kanak akan disiarkan hari ini (7 Disember) pada pukul 4.30 petang di saluran TV2.

Dokumentari yang diberi judul Dehlah Sinuien, Zara Gadis Semai ini diterbitkan atas kerjasama antara RTM dengan Tabung Kanak-kanak Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, UNICEF.

Dokumentari berdurasi 30 minit ini memaparkan kisah kehidupan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli Semai, iaitu Norzara a/p Niskala yang berusia 11 tahun. Norzara atau panggilan manjanya Zara berkongsi cerita mengenai rutin hariannya. Selain menyimpan angan-angan ingin menjadi seorang doktor, gadis manis berwajah eksotik ini juga mahu membela nasib keluarganya dan komuniti Orang Asli Semai di Kampung Kuala Koyan, Raub Pahang yang rata-ratanya berada di bawah paras kemiskinan.

Zara bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuala Koyan dalam darjah 5, mempunyai lima adik-beradik dan sering mendapat tempat pertama pada setiap kali peperiksaan akhir tahun. Bapa Zara, Niskala a/l Awang merupakan penoreh getah dan ibunya, Hasimah a/p Yai pula surirumah, menyimpan harapan agar kesemua anak-anak mereka terutamanya Zara berjaya dalam bidang akademik bagi membantu kehidupan mereka sekeluarga.

Menurut penerbit dokumentari ini, Rosli Mohd. Nordin, subjek kanak-kanak Orang Asli (Semai) dipilih kerana paparan mengenainya belum pernah lagi diterbitkan oleh mana-mana produksi.

“Saya menggunakan bahasa Semai, Dehlah Sinuien sebagai judul dokumentari ini yang membawa maksud ‘inilah duniaku’ yang saya rasa amat sesuai dengan kisah yang dipaparkan.

“Saya sukakan subjek ini kerana, kehidupan kaum Semai berlainan dan amat unik. Sememangnya beberapa aspek kehidupan mereka telah pupus dan saya sebagai penerbit merasa terpanggil untuk mendokumentasikan kehidupan mereka untuk dikongsi bersama penonton di kaca televisyen.

“Pengalaman bergelar seorang wartawan penyiaran selama lima tahun banyak membantu saya merangka skrip dan mengolahnya dalam bentuk visual yang mudah difahami setiap lapisan penonton,” kata Rosli.

Kata Rosli, dokumentari karyanya itu akan mewakili negara menyertai Malam Penganugerahan Hari Penyiaran Kanak-kanak Antarabangsa di International Emmy Awards Gala, New York sempena Hari Penyiaran Kanak-kanak Sedunia di New York pada Mac, 2008.

“Saya amat berharap dokumentari ini mampu memberi persaingan di peringkat antarabangsa dalam beberapa festival penyiaran termasuk pada Hari Penyiaran Kanak-Kanak itu,” jelas Rosli yang pernah dipilih menjadi finalis pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIFF 2007 baru-baru ini bagi kategori dokumentari. Daripada 32 penyertaan, dokumentari terbitan beliau bertajuk Memoir of A Tragedy berjaya terpilih antara lima dokumentari terbaik KLIIFF 2007 yang disertai oleh semua penerbit daripada semua benua.

Rosli yang bertugas di Unit Hal Ehwal Awam TV RTM ini menegaskan, jika diberi peluang dia ingin menimba pengalaman dan berkerjasama dengan pasukan National Geographic bagi menerbitkan dokumentari yang berkisar tentang keunikan sesuatu bangsa ataupun etnik yang hampir pupus.

2 comments:

Anonymous said...

tahniah saudara rosli... walaupun belum menang.... ini kerana saudara walaupun dicampak keluar dari bilik berita tv RTM kerana kedengkian beberapa individu, namun saudara masih menyinar di tempat lain.... bak kata orang... permata tetap permata walaupun dicampak ke mana sahaja... ini satu tamparan hebat bagi mereka yang suka berhasad dengki dengan orang lain, dan menggunakan kuasa yang ada untuk mengkhianati orang lain.... sekalung tahniah.

Rosli said...

Terima kasih kepada saudara jonlabu....yang memahami situasi saya. Pada peringkat awal memang bengang dan rasa nak tembak je orang yang sabotaj n kenakan saya tu. tapi buat apa layan orang macam tu....lebih baik kita hasilkan sesuatu yang boleh dinilai orang yang memahami dunia kewartawanan dan penyiaran yang sebenar. Tujuan saya bukan nak rampas jawatan orang, cuma saya ingin berkongsi sedikit kreativiti dan bakat yang di kurniakan tuhan....tapi macam biasalah....mana ada manusia yang suka orang lain berjaya.....jika ada sebarang idea yang sudi dikongsikan emel kepada saya...roslimohdnordin@hotmail.com

Terima kasih sekali lagi kerana menyokong kerjaya saya. Sokongan saudara amat saya hargai.

Sampai bertemu lagi...doakan kejayaan saya. Insyallah...

RMN