Thursday, December 13, 2007

KELINTUNG BERBUNYI, KERBAU TINGGAL DIAM

Kewujudan media baru termasuk blog persendirian dan news portal seperti Malaysiakini, Agenda Daily, KLPos dan MalaysiaToday semakin dirasai kepentingannya sejak kebelakangan ini terutama dengan peristiwa terbaru di negara ini termasuk perhimpunan Bersih dan Hindraf, yang menarik minat ramai pihak.

Dalam beberapa minit saja, pembaca boleh melayari media siber ini untuk mengetahui perkembangan terbaru di Malaysia dan di seluruh dunia. Rakyat Malaysia di seluruh dunia pula boleh mendapat tahu apa yang berlaku di Dataran Merdeka jika ada sesuatu perhimpunan atau demonstrasi. Ini kerana ramai pihak terutama news portal dan pengendali blog yang berusaha untuk menyiarkan peristiwa bergambar dan berita mengenai peristiwa berkenaan. Malah berita itu dikemaskini dari semasa ke semasa.

Dalam berita Malaysiakini semalam, seorang pakar media baru Dan Gillmor menegaskan kewujudan media baru dan citizen journalist membuatkan institusi dan individu yang sering menjadi bahan berita kini sukar untuk menyimpan rahsia mereka. Beliau berkata demikian dalam satu forum antarabangsa di Kuala Lumpur.

Sejak dulu lagi, saya mengesyorkan agensi kerajaan menggunakan sepenuhnya media baru untuk memberikan pandangan dan jawapan mereka selain yang disiarkan dalam media perdana. Agensi kerajaan perlu menyediakan jawapan kepada tuduhan atau dakwaan pihak tertentu bagi memastikan rakyat memahami apa yang dilaksanakan selama ini.

Mengetepikan media baru bukanlah satu langkah bijak kerana jika dakwaan dalam media baru itu tidak dijawab, masyarakat akan menganggap ia suatu yang benar. Apatah lagi ditulis oleh citizen journalist yang veteran dan berwibawa. Ini disertakan fakta dan maklumat untuk menyokong dakwaan mereka. Adakalanya perspektif yang diberikan itu membuat pembaca memahami apa yang sebenarnya berlaku di sebalik peristiwa tertentu.

Oleh itu, saya berpendapat langkah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, mendekati pemilik dan pengendali news portal yang bertanggungjawab pada Selasa lalu adalah langkah bijak untuk mendekati media baru ini. Setidak-tidaknya, Dr Khir boleh memahami dasar dan matlamat news portal berkenaan.

Dalam pertemuan itu itu, Agenda Daily diwakili oleh Ketua Pengarangnya, Rosli Ismail; KLPos oleh pemiliknya, Helmi Mohd; Malaysiakini oleh Nasharuldin Abd Rahman dan Syed Hussein Al-Attas. Wakil news portal lain dijemput tetapi mereka mempunyai urusan tertentu. Laporan pertemuan itu kini disiarkan dalam Agenda Daily dan KLPos.

(Renungan Rimau : Dr Khir sentiasa berusaha untuk memastikan Selangor menjadi negeri terbaik ibarat peribahasa Melayu, DI MANA KELINTUNG BERBUNYI, DI SITU KERBAU TINGGAL DIAM, yang membawa maksud, "di mana perintah yang baik, di situ rakyat hidup rukun dan damai; negeri yang aman, ramai penduduknya.")

No comments: