Tuesday, May 1, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (17)

Aku dan Tiban segera bergegas ke tempat kejadian. Ketika itu, banyak beruk lain sudah mengerumuninya. Ular sawa itu tidak bergerak. Ini kerana ia kekenyangan. Ular sawa itu menelan Mata Senget. Ramai yang menyaksikan kejadian itu. Tetapi mereka tidak dapat menolongnya. Ular sawa itu terlalu kuat hingga berjaya mematahkan tulang-tulang Mata Senget. Ditelannya perlahan-lahan. Ular sawa itu menelan kepala Mata Senget, diikuti badan dan kakinya. Beruk lain yang melihat hanya mampu mengalirkan air mata. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa.

Inilah ular sawa yang telah banyak membaham anak-anak beruk di Bukit Putra. Kejadian sebelum ini berlaku di waktu malam, tanpa disedari oleh ibu bapa. Setelah membahamnya, ular sawa itu terus hilang. Mengikut cerita ia terus ke gua di atas bukit dan hanya keluar mencari makan selepas perutnya kosong.

Kejadian kali ini berlaku di waktu siang. Mungkin ular sawa itu sudah terdesak. Kelaparan. Beberapa ekor beruk yang melihatnya tergamam dan lari lintang pukang. Mereka kembali melihat ular sawa itu menyerang Mata Senget yang tidur di pangkal pokok. Mata Senget keletihan selepas menyiapkan beberapa lukisan sempena menyambut Hari Beruk Sedunia yang diadakan di kawasan Tok G. Mata Senget tidak melawan kerana ular sawa itu terus membelitnya sehingga tidak boleh bernafas.

Apabila Tok G datang, dia mengarahkan Rambut Panjang memotong perut ular sawa itu. Maka terkeluarlah mayat Mata Senget dipenuhi dengan lendir perut ular sawa itu. Malah mata mangsa terbuka luas. Tok G mengarahkan mayat Mata Senget diturunkan ke gaung berdekatan dengan lebuhraya buatan manusia. Ramai yang mengalirkan air mata melihat mayat Mata Senget. Bukit Putra kehilangan seekor beruk yang kreatif. Beruk yang banyak idea terbaik. Pandai membuat lukisan dan hasil kraftangan.

Kepandaian Mata Senget ini bermula apabila ia memperolehi beberapa buah buku lukisan dan kraftangan yang ditemui di bawah bukit. Buku-buku itu mungkin terjatuh daripada manusia yang menunggang motorsikal. Sejak penemuan buku itu, Mata Senget melihat gambar dan mula mencubanya. Lama-kelamaan Mata Senget menjadi pandai. Seterusnya, Mata Senget mengajar ramai beruk di Bukit Putra dengan teknik membuat kraftangan yang baik. Banyak bahan-bahan terbuang seperti rotan dan daun kering di Bukit Putra digunakan untuk membuat bakul dan penghias di pokok.

Mata Senget juga mengajar beruk melukis potrait. Mata Senget banyak melukis potrait beruk-beruk di Bukit Putra. Bagi beruk yang tidak disukainya, dibuatlah lukisan yang amat hodoh dan melucukan. Ada beruk yang dibuat mempunyai muka manusia yang hodoh. Ada beruk yang menyerupai muka ular sawa. Mungkin kali ini, Mata Senget terkena kenan ular sawa itu.

Ramai anak murid Mata Senget menangis dan meraung ketika mayat Mata Senget diturunkan secara perlahan-lahan ke dalam gaung. Mereka begitu hiba dengan perpisahan berkenaan. Hanya tuhan saja yang tahu isi hati mereka. Ada anak murid yang melemparkan lukisan dan kraftangan yang dihasilkan ke dalam gaung ketika mayat Mata Senget diturunkan. Ini sebagai tanda penghargaan dan penghormatan.

Malam itu, ramai yang berkumpul di rumah Tok G untuk mengenang kembali jasa-jasa Mata Senget.

Pemergiannya itu amat menyedihkan. Namun, Bukit Putra perlu mencari seorang guru lukisan dan kraftangan untuk mendidik anak-anak beruk. Tok G meminta anak murid terkanan Mata Senget, Sayur untuk memulakan kelas lukisan dan kraftangan. Ini penting untuk memastikan beruk-beruk di Bukit Putra terus mempunyai pakar dalam bidang lukisan dan kraftangan. Ini penting untuk menanam sifat-sifat kesenian dalam diri beruk pada tahun-tahun mendatang.

No comments: