Tuesday, May 1, 2007

TOLONG BERADAB DI RESTORAN

Jika ke restoran, saya selalu memastikan tidak duduk berdekatan dengan tempat membasuh tangan atau sinki. Banyak alasannya. Tetapi yang paling utama ialah mengelakkan melihat dan mendengar "kejadian yang tidak diingini". Ini kerana ada pengunjung restoran yang "tidak pergi ke sekolah adab sopan" dan bertindak semacam "budak cacat akal". Mereka ini ada otak tetapi baha dot dot dot. Yang hairannya mereka yang melakukannya adalah golongan berusia dan ada yang nampak macho.

Pertama "budak cacat akal" ini akan menghembuskan hidungnya untuk mengeluarkan segala benda dalam hidung mereka. Sudahlah tindakan itu amat menjijikkan ditambah pula dengan bunyi yang "amat dahsyat" sehingga pengunjung restoran lain terhenti seketika. Tidakkah tindakan "pembersihan" itu boleh dilakukan di rumah? Tidakkah pembersihan itu boleh dilakukan seratus kali di rumah tanpa menyakitkan hati orang?

Kedua, "budak cacat akal" ini akan mengeluarkan kahak mereka untuk membolehkan saluran tekak menjadi kosong dan "clear". Namun, tindakan mereka itu sudah tentu "mematikan" semangat orang lain untuk makan. Ketika saya muda dulu (sekarang muda lebih sikit) saya akan menjerit sekuat hati apabila ada "budak cacat akal" yang berbuat demikian. Macam rimau katakan. Tetapi sekarang hanya berdiam diri dan merenung tajam kepada mereka. Takut juga..orang gila menyerang kita.

Kedua-dua tindakan tidak senonoh itu dilakukan ke dalam sinki. Sudah pasti pengunjung restoran hanya memerhati saja tindakan "budak cacat akal" itu. Kalau ada yang berani pun, hanya berdiam diri saja apatah lagi "budak cacat akal" itu berbadan besar dan usaha menegurnya sudah pasti membawa padah.

Adalah dinasihatkan pemilik restoran membuat tanda larangan bagi mereka yang ingin melakukan dua perbuatan yang tidak senonoh itu. Bagi yang berani, tolong tegur sikit tindakan "budak cacat akal" itu agar dia tidak melakukannya lagi.

No comments: