Ramai beruk sudah berkumpul di depan rumahku. Mereka ingin tahu sama ada berita mengenai Tok G mati jatuh daripada pokok itu benar atau sebaliknya. Aku sudah beritahu mereka berita itu tidak benar. Tetapi tidak seekor pun mahu berganjak. Mereka mahu kepastian. Mereka tidak mahu aku menceritakan apa yang tidak benar. Mereka mahu melihat sendiri Tok G hidup dan sihat. Jika Tok G tiada masalah mengapa berita itu disebarkan. Ibarat api marak ketika kebakaran musim panas.
Sebenarnya aku sudah menghantar rakan untuk mendapatkan berita mengenai Tok G. Cuma yang dia tidak buat ialah pergi ke rumah Tok G. Umbun hanya pergi setengah jalan. Lepas itu dia balik. Ini kerana Umbun sudah mendapat kepastian daripada Daun yang ditemui di pertengahan jalan bahawa Tok G tidak apa-apa. Daun memberitahu Umbun, Tok G hanya tergelincir saja dan sempat berpaut kepada beberapa dahan dan ke tanah. Tok G tidak jauh ke tanah. Setelah mendapat penjelasan itu, Umbun pun balik memberitahu aku dan beruk lain. Tetapi mereka tidak puas hati dan mahu Umbun pergi semula ke rumah Tok G. Mereka mahu Umbun menemui Tok G. Mereka akan berada di depan rumahku sehinggalah Umbun balik membawa berita sebenarnya.
Aku terpaksa menyediakan makanan untuk mereka. Jinnah pun ada bersama anaknya, Jibam. Anaknya diserahkan semula oleh manusia sehari selepas Jibam hilang bersama lori sampah. Bukan main gembira lagi hati si Jinnah. Kepulangan anaknya itu disambut meriah di mana Jinnah memberi makanan kepada jiran-jirannya. Dalam pertemuan itu, Jinnah menasihatkan ibu-ibu beruk supaya menjaga anak mereka baik-baik. Ibu bapa beruk jangan lalai menjaga anak-anak hingga menyebabkan mereka hilang. Janganlah sibuk memetik buah-buahan sehingga meninggalkan anak mereka. Janganlah sibuk makan di atas pokok sehingga anak di pangkal pokok dibiarkan berseekoran. Silap-silap menjadi habuan si ular sawa. Apatah lagi anjing liar yang kelaparan.
Menjelang tengahari, Umbun pun pulang. Dia membawa berita gembira bahawa Tok G masih hidup dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Maka legalah beruk di kawasan penjagaanku. Mereka mula beredar selepas mendengar cerita daripada Umbun itu. Umbun turut memberitahu beruk-beruk di situ bahawa Tok G menasihatkan mereka agar jangan mendengar khabar-khabar angin yang disebarkan oleh beruk-beruk yang tidak bertanggungjawab.
Namun, beberapa beruk yang hadir di rumahku berpendapat bahawa jika tidak ada angin takkan pokok akan bergoyang. Oleh itu, mereka kata adalah lebih baik mengetahui yang sebenar daripada pihak-pihak rasmi yang boleh dipertanggungjawabkan. Umpamanya seperti aku, wakil beruk yang boleh memberi pengesahan mengenai sesuatu khabar angin. Wakil rasmi perlu segera menjalankan tugas mereka. Jangan biarkan berita itu tersebar tanpa sebarang pengesahan atau pembetulan daripada pihak rasmi seperti wakil beruk. Aku pun turut bersetuju mengenai perkara itu.
Memanglah selalunya perkara-perkara yang sensitif itu akan dibesar-besarkan. Namun, kesihatan Tok G memanglah menjadi perhatian beruk-beruk di Bukit Putra kerana ketika ini dia ialah pemimpin perwakilan beruk. Tok G batukpun perlu dipastikan ia bukan batuk kering. Tok G perlu sihat. Sebarang kejadian yang tidak diingini perlu ditangani dengan baik agar Bukit Putra diuruskan dengan baik.
Kini yang tinggal di rumahku ialah Jinnah, Jibam dan Ekson.
Aku terus membawa setandan pisang untuk mereka nikmati. Jinnah bercerita mengenai kejadian minggu lalu di mana seekor beruk yang dihormati di bahagian utara bukit hampir menemui maut akibat terbau bahan toksid yang dibuang oleh manusia keparat. Manusia ini membuang toksid di Bukit Putra tanpa mengira nasib penghuninya. Manusia keparat itu mahu keuntungan saja. Dengan mencampakkan bahan toksid itu ke dalam hutan, mereka tidak perlu belanja banyak. Ketika kejadian itu, Jidul sedang melalui kawasan berkenaan dan tiba-tiba dia terus pitam. Nasib baik, beberapa beruk yang mengutip biji getah menemui Jidul sedang terbaring. Mereka terus membawa Jidul ke rumah anaknya, Badak yang kemudiannya mendapat rawatan dukun di kawasan itu.
Sebagai membalas dendam kepada tindakan manusia keparat itu, Badak dan dua puluh rakannya telah merosakkan tanaman manusia di kampung sebelah utara itu. Beruk-beruk jantan itu telah mematah-matahkan dahan pokok buah-buahan dan juga mencabut sayur-sayuran yang ditanam. Penduduk kampung yang berang dengan tindakan beruk itu membaling kayu dan ada antaranya menembak menggunakan senapang patah. Nasib baik tiada beruk yang terkorban dalam tragedi yang diberikan nama "Badak Berendam". Ini mengambil sempena kejadian Badak yang terjatuh ke dalam kolam ikan penduduk berkenaan ketika cuba melarikan diri. Mereka bertempiaran apabila mendengar tembakan. Nasib baik, Badak diselamatkan oleh beberapa rakannya.
Wednesday, May 16, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment