Thursday, May 17, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (20)

Aku dipanggil oleh Tok G ke rumahnya. Segera bingkas dan terus pergi bersama anaknya, Bunga. Dalam hatiku tertanya-tanya apakah yang menyebabkan Tok G memanggilku. Apa hajatnya? Apa yang ingin diperkatakan? Apa yang telah berlaku sehingga beliau tergesa-gesa memanggilku? Pelbagai perkara di kepalaku.

Mengapa Tok panggil aku? tanyaku kepada Bunga. Tak tahu. Tiba-tiba dia panggil saya dan suruh panggil tuan. Jawab Bunga ringkas dan melemparkan senyum kepadaku. Aku memang ada hati dengan Bunga tetapi malu untuk menyatakannya. Apatah lagi anak Tok G, ketua perwakilan beruk di Bukit Putra. Ada dua ekor beruk betina yang aku teringin untuk dijadikan teman hidup, Bunga dan Ijok. Tapi aku bukan berani sangat. Takut ditolak oleh kedua-dua gadis itu. Meranalah aku. Tapi yang lebih teruk di mana aku hendak letak muka beruk ni. Ah..tak apalah, tapi apa yang Tok G hendakkan ni? berlegar-legar aku memikirkannya menjelang sampai ke rumah Tok G.

Ha...naiklah, kata Tok G menjemputku. Bunga terus berlalu. Sekali lagi melemparkan senyumannya. Aduh betapa manisnya senyuman Bunga. Naiklah..Tok G meninggikan suara. Terasa malu pula diriku. Mungkin Tok G memerhatiku tadi. Tok G tentu perasan aku membalas senyuman anaknya tadi. Ya..Tok, saya naiklah ni.

Terkejut aku melihat emas yang begitu banyak. Satu kotak. Masih bersinar-sinar. Menurut Tok G, emas itu dijumpai oleh Halimunan dan adiknya, Halimun serta Kelibut di tepi gua dekat dengan menara telekomunikasi. Mereka mengangkat kotak emas itu ke rumah Tok G. Darimana datangnya emas ni Tok G? tanyaku. Tak tahulah, mungkin harta karun, jawab Tok G.

Aku balik selepas Tok G memutuskan untuk menyimpan emas itu dirumahnya. Menurut Tok G, dia akan meminta bantuan Jinnah untuk memberitahu Sirimau mengenai penemuan itu. Mungkin Sirimau akan dapat membantu memberikan emas itu kepada tuannya, Tok Yem. Sebagai balasan Tok G mahu Sirimau memberitahu Tok Yem bahawa beruk-beruk di Bukit Putra memerlukan makanan yang baik untuk simpanan. Kelibut, Halimunan dan adiknya diberikan setandan pisang kerana menghargai kejujuran mereka.

Dalam perjalanan itu, aku teringat mengenai Halimunan yang sangat dihormati oleh beruk-beruk di Bukit Putra. Beliau bukan saja hebat dari segi paras rupa tetapi juga amat bijak. Malah beliau ini diibaratkan sebagai saintis agung di Bukit Putra. Halimunan berjaya menggunakan belerang untuk menakutkan anjing liar yang menyerang beruk Bukit Putra satu ketika dulu. Halimunan adalah hero beruk.

Halimunan juga berjaya mengajar beruk-beruk di Bukit Putra mengenai pelbagai perkara baru seperti meletakkan plastik di pokok untuk melindungi mereka daripada panas dan hujan. Idea itu diperolehi dengan membaca buku-buku yang dibuang di bawah bukit. Buku itu dijumpai bersama Mata Senget yang mahir dalam kraftangan dan lukisan. Adik Halimunan juga pandai dalam bidang membabitkan teknologi ini kerana belajar daripada abangnya. Beliau juga mencadangkan beruk menggunakan kertas untuk duduk di tanah.

Begitu juga Kelibut yang kini amat disanjungi oleh beruk-beruk di Bukit Putra. Ini kerana ideanya yang canggih iaitu menyimpan air hujan dengan menggunakan batang buluh yang banyak terdapat di Bukit Putra. Mengikut Sirimau, manusia juga kini diarahkan menyimpan air hujan yang banyak di tempat mereka. Bangunan tertentu diminta menyediakan rekabentuk untuk menyimpan air hujan. Bagiku, perkara ini memang baik tetapi mengapa manusia begitu bodoh selama ini. Mengapa mereka tidak memikirkan perkara itu sebelum ini? Ada ketikanya, kawasan manusia kering-kontang dan tiada bekalan air, sedangkan hujan turun hampir setiap minggu. Nasib baiklah manusia semakin geliga sekarang. Mungkin masalah tiada air akan diatasi.

Apabila sampai di rumah Jinnah, aku terus memintanya memberitahu Sirimau untuk pergi ke rumah Tok G. Jinnah bersetuju berbuat demikian apabila menemui Sirimau nanti. Tapi dia tidak tahu bilakah Sirimau akan muncul. Mungkin esok atau lusa. Aku pun terus pulang ke rumah. Kerana keletihan, aku terus tidur.

No comments: