Saturday, October 31, 2009

MATAHARI TERBIT DI SUNGAI MEKONG

Keindahan matahari terbit di Sungai Mekong, Laos. Sungguh indah. Mengingatkan saya ketika berada di Lake District, UK. Jika kita lihat pemandangan di Lake District, seperti memasuki Muzium Dunia yang memaparkan keindahan 'lukisan ajaib dunia'.

KEKASIH AWAL DAN AKHIR DI RTM

Oleh Norliza Mohamad Zakaria

Buat pertama kalinya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal membawakan program yang menekankan aspek pencegahan tingkahlaku, penyelewengan serta penyalahgunaan dalam Kekasih Awal..Akhir, Kenali Anak kita.

Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali akan merasmikan program yang diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur malam esok. Serentak itu, RTM akan berlintas langsung dari Padang Semarak, Kuala Lumpur bagi membolehkan penonton RTM melihat konsert untuk generasi muda, Gegar Generasiku.

KAAKAK adalah program kerjasama RTM denganPersatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), itu turut disiarkan secara langsung di TV2 pada pukul 8.30 malam.

Presiden Pengasih, Mohd. Yunus Pathi pada sesi temu bual yang diadakan di Wisma TV, Angkasapuri baru-baru ini berkata, program itu adalah antara 20 siri penganjuran yang dilakukan selama dua tahun bermula Mei lalu.

"Setakat ini kita baru jalankan sebanyak lima siri di sekitar ibu kota yang merangkumi forum dan bual bicara. Ternyata apabila didedahkan kepada umum, maklum balas yang diterima daripada golongan ibu bapa begitu memberangsangkan.

"Selain Wilayah Persekutuan, kita juga bakal ke Perak, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan sebagainya untuk menjalankan program ini sepanjang dua tahun.

"Apa yang kita lihat, isu dadah ini telah diperkatakan sejak berdekad lamanya. Dan apa yang membimbangkan kebanyakannya melibatkan anak-anak dan generasi muda.

"Lebih malang lagi, kebanyakan ibu bapa tidak perasan yang anak mereka terpengaruh dengan najis dadah sehinggalah keadaan menjadi bertambah teruk.

"Jadi program sebegini membantu memberi kesedaran kepada ibu bapa khususnya menilai serta membuat andaian setiap gerak geri anak-anak mereka yang dilihat berpotensi terjerumus kearah itu," katanya.

Selain bual bicara, antara pengisian yang bakal melatari program itu pada malam tersebut di Auditorium Perdana ialah, sketsa berkaitan isu penyalahgunaan dadah dari para pelajar Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara), serta persembahan barisan artis terkenal seperti Jamal Abdillah, Misha Omar, Mila, Bob dan Ernie.

Di Padang Semarak pula, penonton bakal dihiburkan oleh Aizat dan Estranged secara terbuka.

Sementara itu, Pengarah Penerbitan TV, Rokiah Norma Ramli pada sesi temu bual yang sama memberitahu, penyelitan sketsa dan hiburan seperti nyanyian secara kreatif dari segi penerbitan mampu menarik minat penonton untuk mendengar dan menonton program tersebut.

"Untuk sketsa pula, kita akan paparkan kisah kehidupan beberapa remaja yang menceritakan tentang masalah mereka sehingga terjerumus dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah," katanya.

Kata Rokiah, konsert yang bakal dipaparkan menerusi lintas langsung dari Padang Semarak adalah bertujuan memberi peluang kepada generasi muda khususnya golongan remaja untuk berhibur dalam keadaan terkawal sambil menyokong memerangi dadah. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Inilah usaha RTM untuk mendekati generasi muda agar mereka membabitkan diri dalam kegiatan lebih berfaedah seperti permainan futsal, mengikuti pameran motokar dan motosikal berkuasa tinggi. Mereka boleh beriadah dan berhibur daripada menghabiskan masa merempit di jalan raya. Selamat menonton dan berhibur).

Wednesday, October 28, 2009

KONSERT BAND INDIE RTM AHAD INI

Bagi generasi muda terutama peminat band indie, jangan lepaskan peluang untuk menikmati persembahan band indie terkemuka tempatan dalam persembahan di Padang Semarak RTM jam 9 malam, Ahad ini.

Program Gegar Generasiku yang bermula jam 9 pagi akan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk tarian shuffle, pertunjukan membabitkan motosikal dan kereta, pertandingan tarik tali serta futsal antara kumpulan.

Bagi mereka yang ingin menyertai pertandingan yang diadakan boleh mendaftar segera di kaunter pendaftaran bersebelahan surau lama bagi membolehkan mereka menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah menarik.

Apa yang menarik mereka juga boleh menggunakan kemudahan untuk bersolat kerana Masjid Angkasapuri yang berdekatan membolehkan mereka menunaikan ibadat sambil berekreasi.

Mereka juga boleh berhibur selepas waktu Isyak di Konsert Band Indie yang diadakan di pentas yang dibina di Padang Semarak.

Selamat berekreasi.

PEMBANGKANG BUAT AKSI SARKAS


Sorong peralatan dan perkakas
Bawa bersama pergi ke Pekan
Tolong berhentikan aksi sarkas
Wahai wakil pembangkang sekelian

Pergi ke Pekan temui pendeta
Dapatkan restu dan rahmat
Lupakan beda dan sengketa
Bekerjalah untuk sekelian rakyat.

Monday, October 26, 2009

TERBELAH DUA......AMACAM?

HUA HIN, Thailand 25 Okt. - Percanggahan di kalangan barisan kepimpinan Pas sampai ke kemuncaknya apabila Mursyidul Am parti itu mengeluarkan kenyataan supaya diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi membersihkan pemimpinnya daripada golongan prokerajaan perpaduan.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, perkembangan terbaru itu juga membuktikan wujud perpecahan serius di dalam Pas sehingga kemuncaknya mendorong Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu EGM diadakan, biar pun akan menyebabkan parti berusia 58 tahun itu berpecah.

Perdana Menteri berkata, pemimpin-pemimpin Pas kini 'terbelah' - satu kumpulan mahu mencari pendekatan yang boleh membawa kepada perpaduan ummah, manakala sekelompok lagi tidak mahu perubahan dan jauh sekali ingin menuju penyatuan ummah.

''Ada pihak yang lebih mementingkan politik daripada ummah. Kita hargai pihak yang melihat UMNO sebagai mewakili orang Melayu, berjasa dalam perjuangan ummah dan menjaga kepentingan kaum-kaum lain.

''Secara prinsipnya satu kumpulan mahu bergerak atas konsep perpaduan ummah. Apa bentuknya belum diketahui lagi, mereka ini tidak mahu perpecahan," katanya kepada pemberita pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-15 di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kemelut dalam Pas yang membawa kepada cadangan diadakan EGM yang kemudian ditukar nama kepada mesyuarat khas bagi 'membersihkan' barisan pemimpin parti itu daripada gerakan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.

Perdana Menteri juga melihat ada kelompok di dalam parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu lebih mengutamakan kepentingan politik sehingga sanggup menolak agenda perpaduan ummah.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) menghargai pandangan kumpulan yang ikhlas demi perpaduan terhadap UMNO sebagai parti yang banyak berjasa menegakkan Islam di Malaysia.

Ditanya sama ada perpecahan di kalangan pemimpin Pas itu membuka ruang perbincangan dengan UMNO, Perdana Menteri berkata, selagi tiada kata sepakat di kalangan mereka, adalah sukar untuk dilangsungkan perbincangan secara formal.

''Jadi kita kita tunggu dan lihat perkembangan dalam Pas. Selagi Pas tidak dapat selesaikan masalah tersebut atas prinsip, kita tidak boleh buat apa-apa," katanya.

Perbincangan secara tidak formal, menurut Najib, tidak akan membuahkan hasil melainkan pemimpin Pas secara keseluruhannya bersetuju untuk berbincang dengan UMNO ke arah kerajaan perpaduan.

Sementara itu, ditanya mengenai kemelut dalaman MCA yang masih belum selesai, Perdana Menteri berkata, beliau telah cuba menasihatkan pemimpin utama dan naib presiden parti komponen BN itu supaya disegerakan jalan penyelesaian.

Katanya, masalah tersebut terpaksa diselesaikan berasaskan kepada pemuafakatan dua kumpulan kerana tidak ada satu kumpulan mendapat majoriti semasa EGM dilangsungkan baru-baru ini.

''Mereka terpaksa akur dan terima hakikat kalau bercantum barulah boleh mewakili keseluruhan MCA," katanya. - UTUSAN


(Renungan Rimau : Sebagai umat Islam kita perlu menyokong pihak yang menganjurkan usaha merapatkan barisan Melayu dan Islam. Bukan ada sesetengah pemimpin PAS yang mahu melihat Melayu dan Islam berpecah. Mahu melihat Melayu dan Islam lemah dan boleh dipijak orang. Politik, politik juga tetapi jika Melayu dan Islam tidak dihormati lagi, apalah gunanya. Apa punya pemimpin yang mengaku ulama tetapi tidak mahu bersatu dan mengeluarkan pelbagai fatwa. Halo...jangan mengelirukan minda oranglah. Apalah kau labu...)

DAULAT TUANKU DAULAT TUANKU

(DYMM Sultan Pahang bersama Sultanah Hajjah Kalsom memotong kek Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Konsert Diraja malam tadi. Gambar Utusan.)

Bagi pihak RTM, patik merafak sembah menjunjung kasih kepada ke bawah Dulia Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom berangkat Bercemar Duli bagi menyaksikan persembahan Konsert Diraja Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Persembahan Konsert DiRaja di Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang Darul Makmur malam tadi adalah manifestasi kegembiraan rakyat sempena Sambutan Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Tuanku.

Okestra RTM di bawah pimpinan Dato' Mokhzani telah mempamerkan persembahan yang menarik mengiringi penyanyi berbakat dan tersohor tempatan seperti Dato' Yusni Hamid, R Ismail, Nurfaizah, Farawahida, Azharina Azhar, Aizat, Anis Salwa dan Musly Ramlee.

Turut serta dalam Konsert DiRaja itu ialah Razak Rahman, Lim (pipa), Lim Soo Lay (Er Hu) dan Keiko Nakagawa.

Pengacara Konsert DiRaja ialah Fathil Hidayat Ghazali (penyampai dan wartawan RTM) dan Hazleen Abdul Aziz (pengacara Bisnes Malaysia RTM).

Friday, October 23, 2009

BAJET 2010 MENDAHULUKAN RAKYAT

Posting Keempat - 9.05 malam

Kerajaan akan menggubal Whistle Blower Act bagi menggalakkan pemberi maklumat untuk tampil membuat pendedahan jenayah rasuah dan salah laku yang lain.

Akta ini akan memberi kekebalan kepada pemberi maklumat dari diambil tindakan sivil atau jenayah akibat pendedahan yang dilakukan. Akta ini akan diperkenalkan pada 2010.

Duniatiger pernah mencadangkan mengenai perkara ini.


Posting Ketiga - 8.30 malam

Industri kreatif turut diberi perhatian dalam pengumuman bajet kali ini.

Dasar Industri Kreatif yang komprehensif akan digubal sebagai asas kepada industri kreatif negara.

Kerajaan turut memperuntukkan dana kepada industri ini sebanyak RM200 juta bagi membiayai aktiviti seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan.

Dana berbentuk pinjaman dengan kadar faedah rendah akan dikendalikan oleh BSN.

Penggiat seni juga tidak diabaikan.

Tabung Kebajikan Penggiat Seni akan ditubuhkan bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian.

RM 3 juta diperuntukkan sebagai geran pelancaran.


Posting Kedua -
6 petang

Bajet 2010 - RM 191.5 bilion

Belanja Mengurus - RM 138.3 bilion

Belanja Pembangunan - RM 53.2 bilion

Posting Asal - 5.54 petang

Mendahulukan kesejahteraan Rakyat.

Dengan tema 1Malaysia, Kemakmuran Bersama, bajet tahun depan tertumpu kepada tiga strategi utama.

1. Memacukan Negara ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi.

2. Memastikan Pembangunan Holistik dan Mapan, dan

3. Mengutamakan Kesejahteraan Rakyat.

Selaras Gagasan Satu Malaysia, Bajet pertama kali dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan ternyata menyeluruh dalam pelbagai aspek.

Sekalipun Bajet 2010 adalah bajet terakhir untuk tempoh Rancangan Malaysia Ke-9, tetapi ia penting sebagai asas pembentukan model ekonomi baru dan pembuka tirai RMK 10.

Wednesday, October 21, 2009

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2009









KARISMA BANTU JAYAKAN IMALAYSIA

Malam tadi, saya menghadiri Pelancaran Karisma di Universiti Malaya. Karisma ialah Kumpulan Rakan Siswa JASA yang dianggotai mahasiswa institusi pengajian tinggi awam. Ada 20 IPTA di negara ini. Ia dilancarkan oleh Menteri KPKK, Dato Seri Utama Dr Rais Yatim.

Dalam majlis itu, saya dapati mahasiswa yang menganggotai Karisma begitu semangat sekali terutama ketika berteriak mengenai 1Malaysia dan menyanyikan lagu 1Malaysia yang dihasilkan oleh Limkokwing University. Mereka bertepuk tangan dan melaungkan lagu tema pasukan masing-masing. Sungguh gamat dan menyegarkan.

Mereka juga berikrar untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan cemerlang di samping menghormati ayah ibu dan yang paling penting mempertahankan agama, bangsa dan negara selagi hayat di kandung badan. Sungguh bersemangat dan menyakinkan.

Mahasiswa itu juga berjanji untuk memastikan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kepentingan negara tercinta. Bagi mereka memastikan negara sentiasa aman dan harmoni adalah perkara yang utama.

Ini adalah usaha kedua KPKK di bawah Dr Rais untuk mendekatkan diri dengan golongan mahasiswa yang menjadi pemimpin negara. Selasa lalu, program Rentas Kampus RTM dilancarkan oleh Dr Rais di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Empat universiti yang mengambil bahagian peringkat pertama dalam Rentas Kampus RTM ialah UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Mahasiswa mempersembahkan seni budaya termasuk nyanyian dan tarian yang secara tidak langsung memaparkan bakat terpendam mereka.

Mereka juga bersempatan untuk melihat pameran mengenai tugas dan tanggungjawab agensi di bawah KPKK termasuklah Jabatan Penerangan, Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Filem Negara serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Turut mengambil bahagian ialah Program Kad Sahabat 1Malaysia.

Tuesday, October 20, 2009

TUKANG MUDAH KERJA.....TUKANG CACI

Hari ini, saya didatangi oleh seorang peminat RTM. Lelaki berasal dari Raub menyatakan dirinya amat meminati RTM sejak 35 tahun lalu. Beliau mengenali saya dan menyebut nama dengan betul termasuk ejaan bapa iaitu Yahaya yang selalu silap dieja dengan Yahya. Beliau memberitahu PA ingin bertemu saya untuk meminta bantuan menyelesaikan masalah tunggakan sewa rumah.

Katanya, sayalah orang terakhir yang mahu diminta tolong kerana saya adalah orang yang selalu menolong orang susah. (Daripada mana beliau tahu...tak tahulah). Setelah dibenarkan masuk beliau terus menyatakan kemahuan untuk mendapat bantuan membayar tunggakan sewa rumahnya. (sebulan RM250 dan tunggakannya ialah tiga bulan).

Saya meminta beliau memberi telefon nombor tuan rumah tetapi beliau menyatakan pemilik itu tidak mempunyai nombor telefon. Perrrrgggh. Oleh itu saya meminta agar beliau meminta tuan rumah itu menelefon saya menggunakan telefon awam. Katanya, rumahnya dalam kawasan ladang dan tiada telefon. Saya bertanya adakah beliau mempunyai telefon bimbit dan beliau kata ada dan bersetuju untuk meminta tuan rumah yang berusia 80 tahun untuk menghubungi saya.

Dalam pada itu, ketika perbualan awal, beliau menyatakan tidak ada masalah untuk balik ke Raub kerana mempunyai wang tetapi hanya meminta saya menyelesaikan masalah tunggakan sewa rumah saja. Apabila saya meminta beliau balik untuk membolehkan tuan rumah menelefon saya, ketika itulah beliau meminta wang untuk balik ke Raub. Perrrgggh.

Bagi saya, ada juga orang macam ini yang sanggup datang bertemu KP untuk meminta tolong. Dengan hanya menjual nama bahawa beliau meminati RTM dan menjadi pengikut setia stesen, pengawal membenarkan beliau menemui KP. Apa punya pengawal dah....

Isu lain. Dalam banyak agensi dalam KPKK, RTM sering mendapat perhatian pihak atasan kementerian. Apakan tidaknya kerana RTM sebagai agensi yang terbabit secara langsung dengan rakyat, ia sentiasa diperhatikan oleh kawan dan lawan. Ia juga sentiasa menjadi kritikan pihak luar termasuk mereka yang menyebarkan fitnah dan surat layang. Hanya memerlukan satu SM, e-mail atau panggilan telefon. Macam-macam ada.

Apapun, saya teringat pesan DSU Dr Rais Yatim iaitu mengenai kerja yang paling mudah di dunia iaitu menjadi tukang caci. Buka mulut dan hambur. Atau buka laptop dan tulis macam-macam. Dalam lain perkataan tukang paling mudah di dunia ini ialah tukang caci. Baik jadi pencuci tandas daripada jadi tukang caci. Bertaubatlah.

Dalam pada itu, saya mendapat komen daripada seorang yang mengaku bekas petugas RTM yang mengemukakan beberapa soalan dan 'teguran' kepada saya.

"Salam 1 msia Bro.. (agak2 lebih mesra dari dato kot)

MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI

Bro asyik citer umno dan Bn aje... takda idea nak majukan RTM ke....

jenguk2 kan le.. blog ni patut lebih beri ruang untuk majukan RTM

Soalnya boleh ke RTM maju di bawah bro....

soalnya apa beza RTM zaman bro dengan kp - kp yang terdahulu, zaman jaffar kamin, ali musa dan rahman hamid.... ada beza ke @ masih saperti sedia kala .. azalinya.. tak kira sape kp

Bro cuba lihat adakah rating semakin meningkat @ lebih kureng dolu2 gak dan duit masyuk ke RTM berlipat kali ganda @ menyusut dengan hebat... (citer2 di kopitiam... rTM dah abis duit... nak bayar gaji pekerja sementara pon kena cari merata)

Apa yang berlaku bro, no idea kot..@ tak mampu nak handle RTM..

Orang RTM kata kat kopitiam, rating dan iklan (duit oooo) tak brape penting, janji mesej sampai dan big boss appy... loh camna nak sampai mesej kalu olang tak tengok bro....

Sebagai KP yang diberi kepercayaan bagi memajukan RTM dan di beri kontrak plak 2 tahun, rasa2 le patut Bro memikirkan soal majukan RTM dan jaga kebajikan pengemudi RTM, bukan nya nak melobi orang politik agar kontrak di sambung lagi.. amanah di pertanggungjawapkan untuk kemajuan jabatan k'jaan paling glamor bukan untuk pastikan survival diri

Opppp lari dari tajuk... naib presiden ABU... boleh masuk sulatkaba... hehehe , tapi kena ingat ABU bagi RTM post tu ada maknanya.... sape sanggup bagi kemudahan kpd ABU termasuk ruang pejabat yang di sewakan secara borong... kalu kat stesen lain kena caj ikut pasaran semasa... RTM je sanggup , tak naik2kan sewanya, pastu pelbagai kemudahan lain di beri... alasan nya nak jadi centre broadcasting, pada hal NGO tu nak senong aje dia beroperasi...bagi aje post tu...
Ibarat kata kalu RTM antar kambing pon ABU bagi post tu, ni kan pulak Tiger yang pi.. aje bergurau, tak leh gurau gi surau hehehe

Bro soalnya di sini, jangan bangga sangat dgn post yang ABU bagi.. setakat sukahati tu ok gak, tapi kalu nak hebahkan seluruh kampung jadinya MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI... al maklum lah ABU ada udang sebalik mee mamak....

akhir kalam... Bro kena bertindak sebagai KP RTM, bukan sebagai KP yang nak cari glamor di RTM

wassalam dari

Use 2 be RTM... dolu2, lani pakcik tengok2 aje kat luar angkasapuri"

Tuesday, October 13, 2009

MENGGALAS TUNTUTAN PERUBAHAN

INTIPATI UCAPAN TS MUHYIDDIN YASSIN

Posting Ketiga - 10.15 malam

Kunci kepada khidmat bakti yang menyentuh hati rakyat ialah keikhlasan. Curahan bakti yang dilakukan dengan penuh kesungguhan atas rasa kasih sesama insan akan memancarkan rasa ikhlas di hati sanubari kita. Sesungguhnya, masyarakat boleh menilai setiap khidmat atau sumbangan yang disampaikan. Walau sekecil mana pun sumbangan itu, sekiranya dilakukan dengan niat yang suci, pasti akan dihargai. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya amal perbuatan itu tergantung kepada niatnya, dan seseorang akan memperoleh apa yang diniatkannya”

Kesatuan Amal (Wahdatul Amal)

Dengan memperteguh kesatuan amal, kita rangka dan laksanakan pendekatan yang lebih mesra rakyat untuk memenangi hati dan perasaan mereka, terutama sekali golongan muda. Kita tampilkan wahana komunikasi politik yang lebih berkesan untuk mendekati rakyat. Wahana baru yang telahpun kita gunakan ialah media baru dan asas rangkaian sosial yang bersifat interaktif. Kita manfaatkan wahana ini bukan sahaja untuk berinteraksi tetapi untuk menampilkan idealisme, pemikiran, nilai, budaya dan jiwa UMNO yang baru.

Program mendekati masyarakat mesti diperhebatkan supaya kita benar-benar dapat merasai denyut nadi mereka. Jadilah mata, telinga dan suara hati masyarakat. Fahami permasalahan masyarakat dan bantulah mereka mencari jalan penyelesaian. Sentiasalah turun padang agar kehadiran kita dirasai, diri kita mudah didekati. Sentiasalah berada bersama masyarakat dan bersedia untuk membantu mereka. Ini adalah terjemahan tradisi perjuangan kita membela rakyat.

Untuk itu, kita mesti perkukuhkan asas kekuatan UMNO iaitu ahli dan organisasinya. Kedua-dua modal politik ini mesti terus diperkasa dan disiapsiagakan untuk menggalas perjuangan parti. Kita persiapkan ahli-ahli UMNO dengan ilmu dan kemahiran politik yang mantap melalui program pendidikan dan latihan sepanjang hayat. Dengan melaksanakan program tarbiah siasah ini kita pastikan ahli-ahli UMNO menghayati erti perjuangan UMNO dan erti menjadi pejuang UMNO yang sejati.

Kita persiapkan organisasi UMNO untuk memacu gelombang perubahan. Pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan esok bakal membuka jalan kepada proses transformasi sistem politik UMNO yang lebih demokratik dan inklusif. Peremajaan parti menerusi penyertaan pimpinan muda dan wanita yang lebih ramai di semua peringkat akan menyuntik semangat perjuangan yang lebih bertenaga dan segar. UMNO adalah sebuah parti dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

Kesatuan Matlamat (Wahdatul Hadaf)

Dengan membulatkan kesatuan matlamat, kita jayakan hijrah jiwa dan sikap. Kita lahirkan para pejuang UMNO yang kukuh imannya kepada Allah s.w.t, yang utuh nilai moral dan etikanya, yang mengutamakan hubungan sesama manusia dan yang memahami realiti semasa. InsyaAllah, dengan melakukan hijrah jiwa ini, yang akan terpancar daripada diri peribadi para pejuang UMNO ialah sifat-sifat terpuji seperti yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Para pejuang kita akan sentiasa berani menyatakan kebenaran (siddīq), bukan dusta, sentiasa amanah (amānah), bukan curang, sentiasa menyampaikan seruan kebenaran (tablīgh), bukan menyembunyikannya, dan sentiasa berfikiran cerdas (fatānah), bukan dungu.

Sebaiknya kita melakukan hijrah jiwa dan sikap dengan menghayati semangat hijrah Rasulullah s.a.w. Baginda Rasulullah s.a.w berhadapan dengan suasana yang amat getir sebelum berhijrah ke kota Madinah. Baginda dicaci, dihina, dicerca, diherdik malah disakiti oleh para musyrikin dan pemuka Arab jahiliyyah. Namun kecekalan baginda mengharungi keperitan perjuangan berbekalkan kekuatan iman melakar titik perubahan besar dalam sejarah kebangkitan Islam. Islam yang mulanya sukar diterima oleh masyarakat Arab jahiliyyah, telah bertapak di bumi Madinah dan kemudiannya tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Saya ingin mengajak seluruh warga UMNO untuk merencana hala tuju perubahan dengan wahdatul fikr; menjiwai keikhlasan perjuangan dengan wahdatul qalb; mendekati rakyat dengan wahdatul amal; dan bergerak sederap selangkah untuk mencapai kegemilangan UMNO dengan wahdatul hadaf. Sekiranya kita dapat menghayati dan melaksanakan keempat-empat rukun ini, kita pasti akan melahirkan generasi pemimpin Ulul Albab yang teguh imannya, tajam ilmunya dan berkat perjuangannya.

Peranan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri

Saya amat bertuah kerana berpeluang untuk bersama dengan saudara saudari hari ini. Saya yakin di hadapan saya adalah wira dan wirawati UMNO yang akan menyusuri arus perubahan. Ketiga-tiga sayap ini merupakan wadah penting untuk melahirkan pemimpin Melayu yang kental, tangkas, berani dan berjiwa besar dalam menggerak panji-panji perjuangan agama, bangsa dan negara.

Pergerakan Wanita sentiasa berdiri kukuh dalam setiap episod perjuangan parti. Ahli-ahli Pergerakan Wanita merupakan penggerak parti yang sentiasa setia dengan perjuangan dan bersedia untuk berada di lapangan pada setiap waktu ketika tenaga dan bakti mereka diperlukan. Syabas saya ucapkan kepada Pergerakan Wanita.

Kita berharap agar Pergerakan Wanita di bawah kepimpinan YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan terus perkasa dan menjadi cerminan kepada usaha kita untuk mengangkat martabat kaum wanita di negara ini. Justeru, menjadi harapan kita agar lebih ramai pemimpin Pergerakan Wanita terlibat secara aktif dalam proses membuat keputusan parti, samada melalui Pergerakan Wanita atau Majlis Tertinggi. Biarlah parti kita menjadi contoh teladan sebagai sebuah institusi yang benar-benar serius dalam menghargai dan mengiktiraf sumbangan golongan wanita kepada pembangunan bangsa dan negara.

Begitu juga dengan Pergerakan Pemuda. Semangat daya juang tinggi yang dizahirkan semasa siri-siri pilihanraya kecil membuktikan jiwa Pemuda UMNO masih kuat mendaulatkan perjuangan parti. Syabas Pergerakan Pemuda. Manakala Puteri UMNO pula tetap setia berada di mana jua meskipun di tengah-tengah cabaran pembangkang. Syabas Puteri UMNO.

Kedua-dua sayap UMNO ini —Pemuda dan Puteri--- berada di barisan hadapan perjuangan parti dan menjadi cerminan kepada citra politik masa depan. Amanah besar yang digalas oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri di bawah kepimpinan YB Sdr. Khairy Jamaluddin dan YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ialah untuk meraih semula sokongan generasi muda melalui pemugaran idealisme perjuangan parti.

Generasi muda pada hari ini adalah generasi yang mengutamakan cetusan akal, bukan letusan emosi. Justeru, tidak ada jalan pintas bagi kita untuk menyantuni generasi muda melainkan kita dapat meyakinkan mereka dengan asas-asas perjuangan kita secara tuntas dan rasional. Untuk itu, Pergerakan Pemuda dan Puteri perlu bangkit sebagai satu wadah pemimpin muda Melayu yang petah dan tangkas untuk mengenengahkan citra perjuangan UMNO.

Hari ini meskipun kita mulai menyaksikan kebangkitan semangat Wanita, Pemuda dan Puteri untuk memperkasa perjuangan parti, namun semangat ini perlu dikentalkan lagi. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri mesti mara ke hadapan sebagai satu pasukan yang mantap dan padu untuk memikul amanah perjuangan. Setialah kepada prinsip, satukanlah hati-hati, bulatkanlah tekad, bergeraklah dalam satu wadah menuju satu matlamat. Hindarilah kemilau harta dan permata yang melemahkan daya juang, jauhkanlah diri daripada perebutan kuasa yang membinasa, jadilah juru bicara hati nurani rakyat yang berkat.

Saudara dan saudari telah menyumbang bakti kepada parti dan orang Melayu, sentiasa berada di barisan hadapan mengarak panji-panji parti. Semua ini masih belum memadai sekiranya rakyat belum merasai. Pilihanraya ke 12 yang lalu menjadi bukti generasi muda yang masih belum menghayati perjuangan UMNO sepenuhnya. Manakala UMNO pula tidak dilihat memenuhi aspirasi generasi baru dengan pemikiran yang segar. UMNO dilihat sebagai parti eksklusif yang semakin renggang daripada massa. Gerak kerja parti dalam hal penambahan ahli dan pengundi baru pula kelihatan lesu. Inilah antara contoh-contoh cabaran yang belum ditangani.

Penunjuk Prestasi Utama Politik

Walaupun begitu, saya yakin kepimpinan ketiga-tiga sayap yang ada pada hari ini mampu untuk mendepani cabaran. Maka garaplah segala potensi, gilaplah kerohanian diri, tingkatkanlah ilmu, kuasailah kemahiran, manfaatkanlah kecerdasan minda dan perkukuhkanlah kualiti kepimpinan supaya UMNO kembali menjadi wadah perjuangan orang Melayu yang memberi harapan kepada segenap lapisan rakyat jelata. Bagi memastikan agar UMNO kembali menjadi parti yang memberi harapan baru, saya ingin mengajak ketiga-tiga sayap untuk menetapkan Penunjuk Prestasi Utama Politik, atau Political Key Performance Indicator iaitu menambah ahli baru, mendaftar pengundi baru dan membentuk jaringan dengan pertubuhan bukan kerajaan. Saya memberi tempoh masa dua tahun untuk saudara saudari mencapai sasaran. Kita sudah tidak ada masa. Gerakan ini mesti bermula sekarang.

Memacu Perubahan

UMNO di bawah teraju YAB Presiden sudah memulakan langkah tegas untuk memacu perubahan, sekaligus memenangi semula hati dan jiwa rakyat. Kita sudah mengambil langkah untuk melakukan proses penilaian semula secara serius tentang cara dan kaedah mendepani rakyat. Kita juga sudah menjadikan kehendak, aspirasi dan keperluan rakyat sebagai teras komitmen kita. Kita mengutamakan rakyat. Rakyat kita dahulukan.

Maka itu semangat dan hala tuju baru ini mesti segera digarap dan digembeleng agar menjadi arus dan gelombang yang lebih besar, yang nantinya akan melonjakkan perjuangan parti kita ke mercu kejayaan dan kegemilangan. Namun begitu, saya ingin tegaskan bukan UMNO sahaja yang perlu berubah. Parti-parti komponen Barisan Nasional juga perlu berubah. Kita perlu bersedia untuk melakukan transformasi yang lebih mendalam termasuk mencapai muafakat baru dalam hubungan antara parti-parti Barisan Nasional. Muafakat baru ini mestilah berlandaskan kepada semangat penerimaan antara kaum dan penyanjungan terhadap kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kita sebagaimana yang telah digariskan oleh YAB Presiden dalam gagasan 1Malaysia.


Gema seruan perubahan dan pembaharuan ini mesti segera disahut dengan hati yang cekal dan dada yang terisi dengan obor perjuangan. Jadilah pendokong parti yang bersatu, bersetia dan berkhidmat.

Jadilah pemimpin sejati yang tinggi akal budi, suci jiwa rohani, berani menghadapi cabaran dan cekal memacu perubahan sepertimana yang digambarkan dalam ungkapan Melayu ini.

Memakai syarak lahir dan batin

Imannya tebal adat pun kental

Takwanya nampak ilmu pun banyak

Berdada lapang berfikiran panjang

Bermuka jernih berlidah fasih

Berpendirian kukuh berakal senonoh

Berpijak tidak berkisar

Bercakap tidak beralih

Beraninya menahan uji

Setianya tahan dicuba

Taatnya tahan dilipat

Hayatilah firman Allah s.w.t. mengenai kecekalan iman para pemuda al-Kahfi yang oleh kerana keimanannya itu, mereka ditambahi petunjuk oleh Allah s.w.t.

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat petunjuk

Penghargaan Kepada YAB Presiden

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya yang setulusnya kepada YAB Presiden yang kita hormati dan sanjungi, di atas sokongan dan kepercayaan beliau kepada saya untuk menjalankan tugas dan kewajipan sebagai Timbalan Presiden. Iltizam saya ialah untuk membantu YAB Presiden dalam menyusuri haluan perubahan yang telah digariskan.

Presiden sebenarnya telah meletakkan penanda aras yang tinggi ketika beliau menyandang jawatan Timbalan Presiden. Justeru, bukan mudah bagi saya untuk mencapai penanda aras itu tanpa sokongan YAB Presiden dan saudara-saudari sekelian.YAB Presiden kita juga telah memacu perubahan dan pembaharuan di peringkat kerajaan, yang kini Alhamdulillah telah diterima baik oleh rakyat. Bukti terjemahan sokongan rakyat kepada UMNO ialah kemenangan besar kita dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang. Sebagai ahli UMNO, kita semua mesti menyambut semangat perubahan yang telah dimulakan oleh YAB Presiden di peringkat kerajaan sambil memacu gelombang perubahan di dalam parti.

Yakinlah, perubahan pucuk pimpinan parti, kesediaan untuk meminda perlembagaan dan semangat kental pimpinan baru ketiga-tiga sayap, adalah petanda bahawa UMNO sedang menuju ke ufuk kegemilangannya semula. Dari wajah saudara-saudari yang berada dalam dewan perhimpunan malam ini terpancar sebuah harapan baru bahawa UMNO akan bangun semula dengan lebih bersiap-siaga, lebih perkasa.

Marilah kita mempertautkan hati, memperkukuhkan tekad, memperteguhkan itizam untuk menyemarakkan terus api perjuangan parti. Marilah kita rapatkan saf, gerakkan kesatuan minda, pertautkan kesatuan hati, dan laksanakan kesatuan amal bagi mencapai kesatuan matlamat. Ayuh kita jayakan cita-cita wahdah ini. Sesungguhnya masa depan agama, bangsa, dan negara tercinta ini berada dalam genggaman tangan kita sekalian. Maka laksanakanlah semua ini dengan satu tekad perubahan agar UMNO tetap relevan sepanjang zaman. Marilah kita menggalas tuntutan perubahan.

Posting Kedua - 9.50 malam

Perubahan dan Relevan -- kedua-duanya saling berkaitan, ibarat ruh dan jasad, ibarat aur dan tebing, yang satu menyokong yang lain, yang satu memperkuat yang lain. Tidak ada ertinya sekiranya kita hanya mampu berubah tetapi tidak menjadikan UMNO releven dengan putaran masa. Justeru, UMNO perlu menjadi releven memahami suara, bahasa, gaya dan nuansa politik baru. UMNO perlu menjadi releven dalam dunia terbuka tanpa sempadan dan di tengah-tengah ledakan maklumat dan ilmu. UMNO perlu terus menjadi releven dengan mewakili suara orang Melayu, Bumiputera dan rakyat keseluruhannya.

Mendepani Cabaran


Parti kita pada saat ini sedang diuji dengan cabaran dan tantangan yang getir. Apa yang dikatakan tsunami politik sewaktu Pilihan Raya Umum 2008 bagai menghasilkan musibah berupa trauma yang masih terbekas di sanubari kita. Bagi kebanyakan orang, trauma ini masih belum kebah.

Dalam suasana segetir ini, kita seolah-olahnya sedang berada di pinggiran tebing yang curam. Di hadapan kita lurah yang dalam, sementara di belakang kita gunung-ganang dan cenuram yang tinggi. Dalam keadaan sedemikian, kita sebenarnya tiada pilihan. Jika kita terus berarak ke tebing, kita akan tersungkur ke lurah dan rebah buat selama-lamanya. Kita berada di persimpangan bagaikan dalam nestapa zaman gila seperti yang disebut oleh pujangga Ronggowarsito dalam syairnya “Jaman Edan” atau Zaman Gila.

Gambaran zaman edan turut dapat dirasakan hari ini apabila rakyat dihidangkan dengan fitnah dan pembohongan sehingga kekeliruan dan kepalsuan menjadi kebiasaan. Khabar angin, provokasi, cerita palsu dan berita sensasi sengaja direka untuk membangkitkan rasa benci terhadap musuh. Masyarakat sukar untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, antara kebaikan dan kemungkaran. Akhirnya, yang benar menjadi palsu, yang palsu menjadi benar. Yang ma’ruf menjadi mungkar, yang mungkar menjadi ma’ruf. Yang adil menjadi zalim, yang zalim menjadi adil. Yang hak menjadi batil, yang batil menjadi hak. Ini adalah hasil tangan-tangan mereka yang melakukan kerosakan atas nama kebebasan, kesaksamaan, keadilan dan juga atas nama agama. Matlamat menghalalkan cara, walaupun taruhannya sebuah bangsa dan negara. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 11-12:

Yang bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”.

Golongan yang membuat bencana dan kerosakan ini menjadi angkuh dan sombong ketika tuhan menguji mereka dengan sedikit kuasa. Lalu mereka berarak di jalan-jalan raya konon menunjuk jaguh kuasa, mereka menentang suara demokrasi konon kuasa rakyat bersama mereka, mereka mengherdik kehakiman Negara konon dikasi oleh adikuasa, mereka membentak polis konon dikawal kuasa mereka, malah mereka menyanggah Suruhanjaya Pilihanraya bila keputusan-keputusan tidak berpihak pada mereka. Mereka alpa dengan peringatan Allah agar tidak memecah belahkan umat, agar tidak menabur fitnah, agar tidak menghina dan mencaci sesama manusia. Mereka berasa tidak berdosa ketika kononnya bercakap tentang keadilan dan keIslaman, tetapi terus menggugat dan meruntuhkan nilai keIslaman mereka.


Oleh yang demikian, hayatilah peringatan sejarawan Islam Ibn Khaldun dalam karyanya Muqaddimah. Dalam kitaran sejarah, kejatuhan sesuatu bangsa itu bermula dengan menularnya sikap mementingkan diri serta lunturnya semangat kesepaduan di kalangan generasi terkemudian. Mereka lupa bahawa kemakmuran yang mereka kecapi adalah hasil daripada perjuangan, pengorbanan dan kesatuan hati generasi terdahulu dalam membangun jiwa dan mengangkat maruah bangsanya. Pertelagahan dan perbalahan sesama sendiri menjadi lumrah apabila nafsu serakah terhadap kuasa dan harta bermaharajalela. Apabila sikap ini sudah menular dan tidak dapat dibendung lagi, bangsa ini akan rebah.

Melihat ke dalam masalah ini, kita mesti berfikir sejenak, bermuhasabah diri, membetulkan langkah, membulatkan tekad, mempertautkan hati dan bersama-sama mara mendaki ke puncak. Kita mesti belajar dari pengalaman lalu dan memperbetulkan diri. Dengan berbekalkan sejarah dan tradisi kita memperkukuhkan keyakinan, dengan berbekalkan semangat dan iltizam kita melangkah ke hadapan, dengan berbekalkan sumpah keramat penubuhan parti, kita membela agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya, masa berlalu dan pemimpin silih berganti. Namun persetiaan untuk menggalas perjuangan luhur UMNO membela agama, bangsa dan tanah air demi kesejahteraan rakyat mesti ditunaikan.

Tradisi perjuangan kita membela bangsa tidak pernah padam meskipun terpaksa berhempas pulas dalam gelombang sistem politik demokrasi. Kita sedar demokrasi tidak mengenal rekod pencapaian dan sejarah perjuangan silam. Sebuah parti yang banyak berjasa dan gah berkuasa sekalipun boleh rebah sekiranya tidak lagi diterima oleh rakyat.

Sejarah parti-parti kemerdekaan di Negara-negara serantau banyak memberi pengajaran dan keinsafan. Parti Golkar di Indonesia tidak lagi sekental dulu. Parti Nacionalista di Filipina telah lama tumpas. Yang paling mutakhir tumbang ialah Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun yang telah banyak berjasa membangunkan semula negara Jepun selepas Perang Dunia Kedua.

Apakah yang menyebabkan parti-parti ini kecundang? Apakah jasa dan bakti parti-parti ini kepada pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negara masing-masing tidak lagi dikenang oleh rakyat? Apakah rakyat mempunyai kehendak dan aspirasi yang berbeza daripada apa yang mampu ditawarkan oleh parti-parti ini? Atau apakah parti-parti ini menjadi angkuh dan pemimpinnya tamak oleh kerana terlalu lama berkuasa?

Posting Pertama - 9.41 malam

Jiwa Baru UMNO

Pertemuan kita kali ini membawa pengertian besar bagi parti UMNO yang sedang menakhoda zaman. UMNO baru sahaja melalui perubahan besar dalam sejarah kepimpinannya. Untuk sekian kalinya kita menyaksikan kepimpinan baru pada semua peringkat – dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri. Tahniah saya ucapkan kepada barisan kepimpinan UMNO yang baru, khususnya kepimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang berada di sini pada malam ini.

Apa yang menarik ialah YAB Presiden dan saya sendiri lahir dari madrasah pemuda UMNO. Ketiga-tiga Naib Presiden juga lahir daripada madrasah yang sama. Ketua Wanita lahir dari proses kematangan dan kepimpinan dalaman wanita. Demikianlah juga ketua pemuda dan ketua puteri lahir daripada tarbiah kepimpinan pemuda dan Puteri. Saya amat berbangga bahawa di hadapan saya pada malam ini adalah terdiri dari barisan kepimpinan masa depan UMNO yang di dalam genggaman tangan saudara saudari sekelian yang akan mencorak nasib dan masa depan agama, bangsa dan tanahair.

Saudara saudarilah yang sebenarnya mewakili jiwa baru UMNO bagi menggalas cabaran dan tuntutan perubahan di tengah-tengah landskap politik negara yang baru. Jiwa baru yang mewakili setiap suara orang Melayu, bumiputera dan rakyat Malaysia. Jiwa baru yang dibina dengan idealisme perjuangan dan setia menjadi ahli parti. Jiwa baru yang bersedia dan berani melakukan perubahan. Inilah gelombang perubahan UMNO.

Saya yakin UMNO mahu berubah. UMNO telah mula berubah. Dan UMNO akan terus membuat perubahan untuk kebaikan. Sebagai sebuah parti yang lahir dari suara Melayu dan yang mendapat dokongan rakyat, UMNO pasti akan melakukan perubahan untuk mencapai kebaikan. UMNO tidak tertegak sebagai parti yang statik, jumud dan beku ketika zaman sedang berubah dengan pantas. Sejarah membuktikan UMNO adalah parti yang sentiasa menjana kekuatan, melakukan penyesuaian dan sentiasa membentuk kepemimpinan pelapis sebagai sebahagian daripada proses perubahan. Yang patah pasti tumbuh, yang hilang akan berganti.

Inilah sebenarnya yang menjadikan UMNO parti yang dinamis, berubah mengikut masa, dan membuat penyesuaian mengikut keperluan dan tuntutan zaman. Kita sedar tanpa kesediaan untuk berubah, UMNO akan diubah. UMNO mengambil serius tuntutan ke arah perubahan ini kerana proses pembugaran semula adalah kunci kekuatan UMNO masa kini bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Maka haluan besar tuntutan untuk semua warga UMNO adalah untuk membuktikan bahawa kita bersedia melakukan perubahan dan memastikan UMNO tetap relevan.

Sunday, October 11, 2009

BN MENANG DI BAGAN PINANG

Keputusan Pilihanraya N 31

Tan Sri Mohd Isa Samad BN 8013

Zulkifli Mohd Omar PAS 2578

Majoriti 5435

Jumlah Mengundi 11170

Peratus 82%

Undi Rosak 223

SIAPA AKAN MAKAN PINANG (4)?

'Comel macam saya'.

FAKTOR KEMENANGAN TS MOHD ISA SAMAD

1. Banyak menabur jasa kepada penduduk Bagan Pinang.
2. Pemimpin yang mengotakan apa yang dikatakan.
3. Pemimpin yang mesra dan mudah ditemui oleh rakyat.
4. Pemimpin yang tidak mengata orang lain tanpa sebarang sebab atau suka berbohong.
5. Pemimpin yang sentiasa membantu orang susah.
6. Tidak membuat dakwaan palsu.
7. Tidak menyiarkan gambar kononnya ahli parti beliau ditetak orang.
8. Tidak menghantar SMS yang mampu mencetuskan pergaduhan.
9. Tidak menabur fitnah. Fitnah itu ibarat makan daging busuk saudara sendiri.
10. Tidak menyuruh pengikut membuat gerai di tepi jalan sehingga menyebabkan kesesakan dan menyusahkan pengguna jalanraya.
11. Tidak menyuruh pengikut memukul tuan rumah yang meminta pengikutnya mengalihkan kereta kerana menghalang keluar masuk kenderaan di rumah itu.
12. Tidak bermain daripada belakang kerana mengetahui tindakan itu salah dan berdosa.
14. Tidak mengeluarkan fatwa yang boleh memesongkan umat Islam.
15. Tidak memainkan sentimen politik sempit dan meloyakan.
16. Pemimpin yang setia kepada parti sepanjang masa.
17. Pemimpin yang tidak keluar parti semata-mata untuk menjadi pemimpin.
18. Pemimpin yang selalu tersenyum dan suka membuat jenaka.
19. Pemimpin yang tidak mempunyai skandal seks sehingga menjadi perbualan ramai.
20. Tidak menyalahkan SPR semata-mata untuk menggalakkan rakyat membenci SPR.
21. Pemimpin yang berjiwa besar.

Saturday, October 10, 2009

SIAPA AKAN MAKAN PINANG (3)?

Tiada yang mahu kalah. Semua mahu menang. Oleh itu, pelbagai pendekatan, kaedah dan strategi untuk menang. Tiada yang menggunakan strategi untuk kalah. Melainkan dalam perlawanan tertentu seperti bolasepak di mana pasukan mahu kalah supaya menjadi Naib Johan untuk bertemu Johan dalam kumpulan yang lain. Ini kerana Naib Johan mungkin lebih kuat dan bertenaga.

Yang bertanding di Bagan Pinang pun sama. Semua mahu menang. Ramalan setakat ini ialah BN akan terus mempertahankan kawasan itu kerana mempunyai calon yang 'berjasa'. Walaupun, calon ini dicincang lumat oleh parti lawan, namun beliau tetap mendapat tempat dalam hati penduduk di situ kerana pelbagai jasa sejak menjadi MB.

Sudah tentu dalam banyak hal terutama ahli politik mereka mempunyai minyak dan mempunyai tahi. Ada ahli politik yang mempunyai banyak tahi tetapi sedikit minyak. Ada yang banyak minyak tetapi hanya sedikit tahi. Dalam kes ini, TS Mohd Isa Samad lebih banyak minyak daripada tahinya. Tidak hairanlah orang melihat minyaknya.

Oleh kerana mahu menang, parti pembangkang yang menyokong PAS telah menyusun pelbagai helah dan tindak-tanduk untuk mengeruhkan keadaan. Antaranya ialah penghantaran SMS yang jahat dan membuat 'hikayat pembohongan' menerusi media baru. Matlamatnya untuk mengajak rakyat dan pengundi membenci BN.

Cukuplah taktik kotor yang dibuat selama ini dan jadilah 'anak jantan' dengan bermain bersih dan menyerahkan kepada pengundi menentukannya. Sudah dibilang agar tidak perlu 'merayu undi' kepada pengundi, pembangkang tetap berbuat demikian ketika urusan pengundian pos dengan pelbagai rayuan bodoh dibuat. Bagi BN, ada beberapa kerat orang yang datang dengan mengibarkan bendera parti.

Pengundi Bagan Pinang, janganlah tertipu dengan taktik kotor yang dimainkan itu dan berilah undi kepada calon yang akan dapat membantu mereka pada masa akan datang.

Monday, October 5, 2009

GA ABU TERIMA DEKLARASI ULAANBAATAR

Oleh Ibrahim Yahaya
ULAANBAATAR, Mongolia (Isnin) : Perhimpunan Agung ABU ke 46 petang ini mengeluarkan deklarasi lapan perkara mengenai perubahan iklim dikenali Deklarasi Ulaanbaatar Mengenai Perubahan Iklim.

Deklarasi itu menekankan komitmen tinggi di kalangan ahli ABU di rantau yang menjangkau Timur Tengah ke Oceania yang mempunyai penduduk empat bilion memainkan peranan penting menyedarkan kepentingan memelihara alam sekitar dan iklim dunia.

Ini termasuk memperkembangkan pengetahuan dan pemahaman umum mengenai perubahan iklim dan kaedah penyelesaiannya.

Ahli ABU juga diminta memperhebatkan usaha menentang kegiatan yang boleh mendatangkan perubahan iklim dengan memastikan mereka memahami kepentingan perubahan iklim seperti keutamaan pembangunan.

Perhimpunan Agung yang diadakan di Parlimen Mongolia itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Mongolia, Sanja Bayar.

Deklarasi itu juga mengisytiharkan bahawa ahli ABU mengutamakan usaha mengintegrasikan mesej dan maklumat mengenai perubahan iklim dalam semua program radio, televisyen dan semua medium media baru.

Ahli ABU juga perlu memperuntukkan ruang yang berpatutan di radio dan televisyen serta menggunakan media baru untuk program dan penyiaran perubahan iklim.

Deklarasi yang diterima sebulat suara itu juga mahu ahli ABU menggalak dan membangunkan mutu industri penyiaran dalam pengurusan alam sekitar serta membentuk matlamat tertentu dalam pengurangan perubahan iklim di tempat mereka.

Sunday, October 4, 2009

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN ABU KE 46

Menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan ABU ke 46 di Ulaanbaatar, Mongolia. Cuaca sejuk walaupun matahari bersinar terang sejak pagi. Namun, atas nasihat kenkawan, saya sudah bersedia kecuali kasut kerja yang tidak sesuai untuk retreat hari ini.

Retreat hari ini dikatakan akan membawa peserta melawat Taman Negara Mongolia. Ada 'kejutan' yang akan berlaku bagi peserta. Ejen kenit memberitahu DuniaTiger, ada kemungkinan peserta akan memasuki 'suasana zaman dulu' yang mungkin memberikan pengalaman baru kepada mereka. Tiada elektrik dan peralatan terkini.

Mereka akan ditempatkan di bawah satu khemah besar seperti khemah sarkas dan mengikuti persembahan nyanyian dan tarian tradisional Mongolia. Perrrrggggh. Apa sajalah labu. Satu pengalaman baru untuk kami.

Apapun, Mesyuarat Majlis Eksekutif ABU semalam berjalan lancar yang dipengerusikan oleh Imai (NHK) dan dibantu oleh Manual (TDM-Macau) dan seorang lagi Naib Presiden ABU dari IRIB. AGM kali ini akan mengeluarkan satu Deklarasi Ulaanbaatar Mengenai Perubahan Iklim.

Seperti biasa pertemuan seperti ini dapat membantu mempertingkatkan dan memperbaiki 'networking' jika kita pandai mengambil kesempatan bertemu dengan semua pemain utama industri dari negara-negara Asia Pasifik. Ini termasuk ABC, NHK dan KBS.

Sebagai KP RTM, saya diminta untuk mempengerusikan salah satu Forum Profesional pada 6 Oktober ini. Doakan semoga saya dapat menjalankan tugas dengan baik.

Friday, October 2, 2009

SAMSUNG ADALAH KEMEGAHAN KOREA

Ketika berada di Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan, pagi ini salah satu produk yang boleh dilihat di mana-mana ialah samsung. Jika anda di lounge atau kafe maya, produk samsung 'berada' di mana saja. Sama dijadikan sebagai saluran melihat program televisyen bagi penggemar telemovie atau pemasaran pelbagai produk antarabangsa.

Di lounge Korean Airlines keberadaan produk samsung terpancar dengan maklumat terkini mengenai perjalanan kapalterbang ke seluruh negara. Itulah kehebatan yang sering dikaitkan dengan Korea.

Di Malaysia, samsung rancak menjalankan pemasaran termasuk sedia bekerjasama dengan RTM dalam pelbagai bidang yang membuahkan suasana 'menang menang' bagi kedua-dua pihak. Jangan terkejut samsung akan menjadi rakan baik RTM. Sesekali kenalah promosikan rakan baik RTM. Yang lain, bagaimana? Datanglah segera ke RTM.

Oleh itu, sudah sampai masanya Malaysia memperhebatkan keluaran elektrik dan elektroniknya supaya keberadaannya nampak jelas di seluruh negara terutama di pintu masuk dan keluar Malaysia seperti di KLIA.

Apa yang diharapkan bukan menjadi pengeluar terbesar barangan orang lain tetapi jenama Malaysia sendiri seperti dalam makanan kita mempunyai Sate Kajang, Mary Brown, Appetton, pakaian seperti Bonia bahan kecantikan yang semakin melambak dengan pelbagai nama artis atau 'wanita cantik'.

Tidak boleh kita lupa iaitu Proton, jenama yang senonim dengan Malaysia. Berada di seluruh dunia termasuk digunakan sebagai teksi. Takpelah. Itu dulu.

Tetapi ada pihak pula ingin memperlekehkan barangan Malaysia seperti Proton Perdana satu ketika dulu. Apa punya orang dah....

Satu lagi, orang Korea memang rajin. Lantai lounge dilap hampir setiap 10 minit. Perrrggghh. Di Malaysia, seminggu sekali. Dua kali perrrgggggh.

Thursday, October 1, 2009

REALISME VS IDEALISME : SIAPA MENANG?

('Orang Bujang' yang tidak pernah berpaling tadah kepada parti. Juga tidak pernah menjadi pengkhianat kepada negara)

Oleh Roslan Bian (AgendaDaily)

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dicalonkan BN bertanding di Bagan Pinang sebagai ‘local hero’.

Gelaran itu diungkapkannya ketika berucap di majlis pengumuman calon PAS, Zulkifli Mohd Omar yang akan menentang mantan Menteri Besar Negeri Sembilan dalam PRK -pada 11Oktober depan, malam Selasa.

Mungkin pemimpin veteran DAP itu berniat menyindir Isa tetapi hakikatnya Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu memang ‘hero’ yang cukup dikenali hati budinya oleh rakyat Negeri Sembilan khususnya di Teluk Kemang.

Berdepan ‘hero’ bertubuh kerdil ini, nyata membuat pembangkang berasa cukup goyah.

Sebab itu, belumpun tempoh berkempen bermula, pemimpin pembangkang sudah menyerang Isa dengan isu politik wang – senjata yang memang diduga akan digunakan lawan selain isu undi pos dalam pilihan raya kecil itu.

Kit Siang dan juga Naib Presiden PKR, Azmin Ali menjadikan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah yang lantang mengkritik Isa dan UMNO apabila nama bekas Naib Presiden UMNO itu diuar-uar akan bertanding.

Ini adalah helah yang kerap digunakan pembangkang bagi menarik simpati dengan menunjukkan pemimpin UMNO sendiri ada yang tidak setuju parti itu mencalonkan pemimpin yang disabitkan dengan politik wang.

Pemimpin DAP itu membayangkan Tun tidak dapat tidur manakala Ku Li akan lebih sakit hati apabila nama Isa diumumkan untuk bertanding oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang Selasa.

Namun begitu, baginya, pertandingan Isa dengan Zulkifli adalah ibarat pertembungan ‘masa lampau dengan masa depan’ apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwanya terdesak memilih Isa.

Azmin yang turut berucap di majlis itu menyifatkan BN cuba memperbodohkan pengundi di Bagan Pinang dengan meletakkan calon yang korup.

Sebenarnya, pengundi Bagan Pinang bukanlah bodoh untuk menerima bulat-bulat apa diluahkan pemimpin pembangkang terhadap Isa.

Rakyat Negeri Sembilan sudah cukup tahu jasa-jasa Isa menjadi Menteri Besar selama 22 tahun dan kes politik wang bukanlah satu alasan kukuh untuk mereka menolak bulat-bulat Isa mewakili DUN Bagan Pinang.

Disebalik cuba menggambarkan Isa seorang yang rasuah dan bersalah, pembangkang harus ingat dan jangan lupa, ada kalangan pemimpin mereka juga bersalah, di penjara tetapi kini ada bergelar wakil rakyat dan Ketua Menteri.

Seperti dijelaskan Isa berhubung isu itu, beliau berkata, "Malah kes-kes jenayah pun orang boleh terima, ada yang dah jadi Ketua Menteri, ada dah jadi Menteri dan ada yang bercita-cita nak jadi Perdana Menteri lagi, semua ada, jadi apa masalah dengan saya?" .

Sebelum menunding jadi, Kit Siang patutnya sedar anaknya, Lim Guan Eng pernah dihukum penjara selama 18 bulan di bawah dua Akta, iaitu Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, menjalani hukuman dan akhirnya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Azmin pula patut sedar, boss beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara selama enam tahun atas kesalahan salah guna kuasa.

Begitu juga dengan hukuman liwat walaupun dibebaskan kerana Mahkamah Persekutuan mendapati bukti-bukti yang dikemukakan tidak cukup kukuh untuk mensabitkan kesalahan tetapi hakim-hakim percaya wujud kejadian itu dan mahkamah sebelumnya telah mensabitkan kesalahan ke atasnya.

Hari ini Anwar jadi ahli parlimen Permatang Pauh dan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen serta masih bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri.

Mengapa mereka biarpun sudah didapati bersalah oleh Mahkamah dan menjalani hukumannya masih menang dalam pilihan raya?

Jawapannya tentulah kerana rakyat di kawasannya mahukan beliau menjadi wakil mereka. Biar apa pun pandangan undang-undang dan masyarakat terhadap mereka namun mereka tetap menjadi pilihan rakyat di kawasan mereka.

Dalam PAS pula ada pemimpinnya ditangkap berkhalwat dengan isteri orang kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah atas sebab teknikal dan masih menang pilihan raya.

Ku Li pula pernah dituduh terbabit skandal BMF, bertanding atas tiket S46, masih menang di Gua Musang.

Ini mengambarkan rakyat mahupun pengundi bijak menentukan siapa mereka mahu sebagai wakil rakyat mereka tambahan pula jika calon yang bertanding sudah terbukti berkhidmat dan disenangi mereka.

Cukuplah pembangkang menjual isu politik wang untuk membunuh karektor Isa dalam pilihan raya kecil ini.

Janganlah mereka meludah kelangit kerana nanti ludah tertimpa muka sendiri.

Pencalonan Isa sudah mengambil kira semua pertimbangan ini termasuk suara akar umbi sehingga parti masih meletakkan amanah dan kepercayaan untuknya bertanding.

Lagipun, Isa bukan melakukan jenayah sebaliknya pelanggaran kod etika pemilihan dan telah menjalani hukuman pengantungan selama tiga tahun.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas Azman Mohd Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), di sini awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan selepas memperoleh 6,430 undi, menewaskan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.-30/9/2009

(Renungan Rimau : Ketika ramai yang tersilap teka, ramai juga yang menyatakan 'realisme' mengatasi segala-galanya termasuk 'idealisme' yang semakin memuncak atau masih tersemat dalam sanubari ramai pemimpin di negara ini. Hakikatnya, 'realisme' itu mengatasi 'idealisme' dalam pertarungan 'tempatan' bukannya peringkat nasional yang sudah pasti penumpuan terhadap 'idealisme' akan diberikan perhatian seratus peratus. Namun, umum tahu bahawa jika 'idealisme' yang menjadi keutamaan dalam pertarungan 'tempatan' ini maka jika ketakutan untuk mengakui 'realisme' ini sebenarnya mungkin boleh mencacatkan strategi keseluruhan. Nasib baiklah ada juga kegeligaan otak untuk memberi tumpuan kepada 'realisme' dalam menghadapi pertarungan yang ramai sudah tahu apakah kesudahannya).