Wednesday, October 21, 2009

KARISMA BANTU JAYAKAN IMALAYSIA

Malam tadi, saya menghadiri Pelancaran Karisma di Universiti Malaya. Karisma ialah Kumpulan Rakan Siswa JASA yang dianggotai mahasiswa institusi pengajian tinggi awam. Ada 20 IPTA di negara ini. Ia dilancarkan oleh Menteri KPKK, Dato Seri Utama Dr Rais Yatim.

Dalam majlis itu, saya dapati mahasiswa yang menganggotai Karisma begitu semangat sekali terutama ketika berteriak mengenai 1Malaysia dan menyanyikan lagu 1Malaysia yang dihasilkan oleh Limkokwing University. Mereka bertepuk tangan dan melaungkan lagu tema pasukan masing-masing. Sungguh gamat dan menyegarkan.

Mereka juga berikrar untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan cemerlang di samping menghormati ayah ibu dan yang paling penting mempertahankan agama, bangsa dan negara selagi hayat di kandung badan. Sungguh bersemangat dan menyakinkan.

Mahasiswa itu juga berjanji untuk memastikan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kepentingan negara tercinta. Bagi mereka memastikan negara sentiasa aman dan harmoni adalah perkara yang utama.

Ini adalah usaha kedua KPKK di bawah Dr Rais untuk mendekatkan diri dengan golongan mahasiswa yang menjadi pemimpin negara. Selasa lalu, program Rentas Kampus RTM dilancarkan oleh Dr Rais di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Empat universiti yang mengambil bahagian peringkat pertama dalam Rentas Kampus RTM ialah UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Mahasiswa mempersembahkan seni budaya termasuk nyanyian dan tarian yang secara tidak langsung memaparkan bakat terpendam mereka.

Mereka juga bersempatan untuk melihat pameran mengenai tugas dan tanggungjawab agensi di bawah KPKK termasuklah Jabatan Penerangan, Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Filem Negara serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Turut mengambil bahagian ialah Program Kad Sahabat 1Malaysia.

1 comment:

Anonymous said...

Salam..Ybhg Datuk,

Ucapan Penghargaan & Terima Kasih dari kami Sekretariat Rakan Siswa JASA kerana memberikan semangat kepada Team KARISMA. Semoga usaha membina generasi muda yang dapat berkongsi visi & misi kerajaan akan dapat terus dilaksanakan.

Us. Adenan Hj. Othman
Ketua Cawangan Mahasiswa & Pelajar
Jabatan Hal Ehwal Khas.