Tuesday, October 13, 2009

MENGGALAS TUNTUTAN PERUBAHAN

INTIPATI UCAPAN TS MUHYIDDIN YASSIN

Posting Ketiga - 10.15 malam

Kunci kepada khidmat bakti yang menyentuh hati rakyat ialah keikhlasan. Curahan bakti yang dilakukan dengan penuh kesungguhan atas rasa kasih sesama insan akan memancarkan rasa ikhlas di hati sanubari kita. Sesungguhnya, masyarakat boleh menilai setiap khidmat atau sumbangan yang disampaikan. Walau sekecil mana pun sumbangan itu, sekiranya dilakukan dengan niat yang suci, pasti akan dihargai. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya amal perbuatan itu tergantung kepada niatnya, dan seseorang akan memperoleh apa yang diniatkannya”

Kesatuan Amal (Wahdatul Amal)

Dengan memperteguh kesatuan amal, kita rangka dan laksanakan pendekatan yang lebih mesra rakyat untuk memenangi hati dan perasaan mereka, terutama sekali golongan muda. Kita tampilkan wahana komunikasi politik yang lebih berkesan untuk mendekati rakyat. Wahana baru yang telahpun kita gunakan ialah media baru dan asas rangkaian sosial yang bersifat interaktif. Kita manfaatkan wahana ini bukan sahaja untuk berinteraksi tetapi untuk menampilkan idealisme, pemikiran, nilai, budaya dan jiwa UMNO yang baru.

Program mendekati masyarakat mesti diperhebatkan supaya kita benar-benar dapat merasai denyut nadi mereka. Jadilah mata, telinga dan suara hati masyarakat. Fahami permasalahan masyarakat dan bantulah mereka mencari jalan penyelesaian. Sentiasalah turun padang agar kehadiran kita dirasai, diri kita mudah didekati. Sentiasalah berada bersama masyarakat dan bersedia untuk membantu mereka. Ini adalah terjemahan tradisi perjuangan kita membela rakyat.

Untuk itu, kita mesti perkukuhkan asas kekuatan UMNO iaitu ahli dan organisasinya. Kedua-dua modal politik ini mesti terus diperkasa dan disiapsiagakan untuk menggalas perjuangan parti. Kita persiapkan ahli-ahli UMNO dengan ilmu dan kemahiran politik yang mantap melalui program pendidikan dan latihan sepanjang hayat. Dengan melaksanakan program tarbiah siasah ini kita pastikan ahli-ahli UMNO menghayati erti perjuangan UMNO dan erti menjadi pejuang UMNO yang sejati.

Kita persiapkan organisasi UMNO untuk memacu gelombang perubahan. Pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan esok bakal membuka jalan kepada proses transformasi sistem politik UMNO yang lebih demokratik dan inklusif. Peremajaan parti menerusi penyertaan pimpinan muda dan wanita yang lebih ramai di semua peringkat akan menyuntik semangat perjuangan yang lebih bertenaga dan segar. UMNO adalah sebuah parti dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

Kesatuan Matlamat (Wahdatul Hadaf)

Dengan membulatkan kesatuan matlamat, kita jayakan hijrah jiwa dan sikap. Kita lahirkan para pejuang UMNO yang kukuh imannya kepada Allah s.w.t, yang utuh nilai moral dan etikanya, yang mengutamakan hubungan sesama manusia dan yang memahami realiti semasa. InsyaAllah, dengan melakukan hijrah jiwa ini, yang akan terpancar daripada diri peribadi para pejuang UMNO ialah sifat-sifat terpuji seperti yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Para pejuang kita akan sentiasa berani menyatakan kebenaran (siddīq), bukan dusta, sentiasa amanah (amānah), bukan curang, sentiasa menyampaikan seruan kebenaran (tablīgh), bukan menyembunyikannya, dan sentiasa berfikiran cerdas (fatānah), bukan dungu.

Sebaiknya kita melakukan hijrah jiwa dan sikap dengan menghayati semangat hijrah Rasulullah s.a.w. Baginda Rasulullah s.a.w berhadapan dengan suasana yang amat getir sebelum berhijrah ke kota Madinah. Baginda dicaci, dihina, dicerca, diherdik malah disakiti oleh para musyrikin dan pemuka Arab jahiliyyah. Namun kecekalan baginda mengharungi keperitan perjuangan berbekalkan kekuatan iman melakar titik perubahan besar dalam sejarah kebangkitan Islam. Islam yang mulanya sukar diterima oleh masyarakat Arab jahiliyyah, telah bertapak di bumi Madinah dan kemudiannya tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Saya ingin mengajak seluruh warga UMNO untuk merencana hala tuju perubahan dengan wahdatul fikr; menjiwai keikhlasan perjuangan dengan wahdatul qalb; mendekati rakyat dengan wahdatul amal; dan bergerak sederap selangkah untuk mencapai kegemilangan UMNO dengan wahdatul hadaf. Sekiranya kita dapat menghayati dan melaksanakan keempat-empat rukun ini, kita pasti akan melahirkan generasi pemimpin Ulul Albab yang teguh imannya, tajam ilmunya dan berkat perjuangannya.

Peranan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri

Saya amat bertuah kerana berpeluang untuk bersama dengan saudara saudari hari ini. Saya yakin di hadapan saya adalah wira dan wirawati UMNO yang akan menyusuri arus perubahan. Ketiga-tiga sayap ini merupakan wadah penting untuk melahirkan pemimpin Melayu yang kental, tangkas, berani dan berjiwa besar dalam menggerak panji-panji perjuangan agama, bangsa dan negara.

Pergerakan Wanita sentiasa berdiri kukuh dalam setiap episod perjuangan parti. Ahli-ahli Pergerakan Wanita merupakan penggerak parti yang sentiasa setia dengan perjuangan dan bersedia untuk berada di lapangan pada setiap waktu ketika tenaga dan bakti mereka diperlukan. Syabas saya ucapkan kepada Pergerakan Wanita.

Kita berharap agar Pergerakan Wanita di bawah kepimpinan YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan terus perkasa dan menjadi cerminan kepada usaha kita untuk mengangkat martabat kaum wanita di negara ini. Justeru, menjadi harapan kita agar lebih ramai pemimpin Pergerakan Wanita terlibat secara aktif dalam proses membuat keputusan parti, samada melalui Pergerakan Wanita atau Majlis Tertinggi. Biarlah parti kita menjadi contoh teladan sebagai sebuah institusi yang benar-benar serius dalam menghargai dan mengiktiraf sumbangan golongan wanita kepada pembangunan bangsa dan negara.

Begitu juga dengan Pergerakan Pemuda. Semangat daya juang tinggi yang dizahirkan semasa siri-siri pilihanraya kecil membuktikan jiwa Pemuda UMNO masih kuat mendaulatkan perjuangan parti. Syabas Pergerakan Pemuda. Manakala Puteri UMNO pula tetap setia berada di mana jua meskipun di tengah-tengah cabaran pembangkang. Syabas Puteri UMNO.

Kedua-dua sayap UMNO ini —Pemuda dan Puteri--- berada di barisan hadapan perjuangan parti dan menjadi cerminan kepada citra politik masa depan. Amanah besar yang digalas oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri di bawah kepimpinan YB Sdr. Khairy Jamaluddin dan YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ialah untuk meraih semula sokongan generasi muda melalui pemugaran idealisme perjuangan parti.

Generasi muda pada hari ini adalah generasi yang mengutamakan cetusan akal, bukan letusan emosi. Justeru, tidak ada jalan pintas bagi kita untuk menyantuni generasi muda melainkan kita dapat meyakinkan mereka dengan asas-asas perjuangan kita secara tuntas dan rasional. Untuk itu, Pergerakan Pemuda dan Puteri perlu bangkit sebagai satu wadah pemimpin muda Melayu yang petah dan tangkas untuk mengenengahkan citra perjuangan UMNO.

Hari ini meskipun kita mulai menyaksikan kebangkitan semangat Wanita, Pemuda dan Puteri untuk memperkasa perjuangan parti, namun semangat ini perlu dikentalkan lagi. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri mesti mara ke hadapan sebagai satu pasukan yang mantap dan padu untuk memikul amanah perjuangan. Setialah kepada prinsip, satukanlah hati-hati, bulatkanlah tekad, bergeraklah dalam satu wadah menuju satu matlamat. Hindarilah kemilau harta dan permata yang melemahkan daya juang, jauhkanlah diri daripada perebutan kuasa yang membinasa, jadilah juru bicara hati nurani rakyat yang berkat.

Saudara dan saudari telah menyumbang bakti kepada parti dan orang Melayu, sentiasa berada di barisan hadapan mengarak panji-panji parti. Semua ini masih belum memadai sekiranya rakyat belum merasai. Pilihanraya ke 12 yang lalu menjadi bukti generasi muda yang masih belum menghayati perjuangan UMNO sepenuhnya. Manakala UMNO pula tidak dilihat memenuhi aspirasi generasi baru dengan pemikiran yang segar. UMNO dilihat sebagai parti eksklusif yang semakin renggang daripada massa. Gerak kerja parti dalam hal penambahan ahli dan pengundi baru pula kelihatan lesu. Inilah antara contoh-contoh cabaran yang belum ditangani.

Penunjuk Prestasi Utama Politik

Walaupun begitu, saya yakin kepimpinan ketiga-tiga sayap yang ada pada hari ini mampu untuk mendepani cabaran. Maka garaplah segala potensi, gilaplah kerohanian diri, tingkatkanlah ilmu, kuasailah kemahiran, manfaatkanlah kecerdasan minda dan perkukuhkanlah kualiti kepimpinan supaya UMNO kembali menjadi wadah perjuangan orang Melayu yang memberi harapan kepada segenap lapisan rakyat jelata. Bagi memastikan agar UMNO kembali menjadi parti yang memberi harapan baru, saya ingin mengajak ketiga-tiga sayap untuk menetapkan Penunjuk Prestasi Utama Politik, atau Political Key Performance Indicator iaitu menambah ahli baru, mendaftar pengundi baru dan membentuk jaringan dengan pertubuhan bukan kerajaan. Saya memberi tempoh masa dua tahun untuk saudara saudari mencapai sasaran. Kita sudah tidak ada masa. Gerakan ini mesti bermula sekarang.

Memacu Perubahan

UMNO di bawah teraju YAB Presiden sudah memulakan langkah tegas untuk memacu perubahan, sekaligus memenangi semula hati dan jiwa rakyat. Kita sudah mengambil langkah untuk melakukan proses penilaian semula secara serius tentang cara dan kaedah mendepani rakyat. Kita juga sudah menjadikan kehendak, aspirasi dan keperluan rakyat sebagai teras komitmen kita. Kita mengutamakan rakyat. Rakyat kita dahulukan.

Maka itu semangat dan hala tuju baru ini mesti segera digarap dan digembeleng agar menjadi arus dan gelombang yang lebih besar, yang nantinya akan melonjakkan perjuangan parti kita ke mercu kejayaan dan kegemilangan. Namun begitu, saya ingin tegaskan bukan UMNO sahaja yang perlu berubah. Parti-parti komponen Barisan Nasional juga perlu berubah. Kita perlu bersedia untuk melakukan transformasi yang lebih mendalam termasuk mencapai muafakat baru dalam hubungan antara parti-parti Barisan Nasional. Muafakat baru ini mestilah berlandaskan kepada semangat penerimaan antara kaum dan penyanjungan terhadap kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kita sebagaimana yang telah digariskan oleh YAB Presiden dalam gagasan 1Malaysia.


Gema seruan perubahan dan pembaharuan ini mesti segera disahut dengan hati yang cekal dan dada yang terisi dengan obor perjuangan. Jadilah pendokong parti yang bersatu, bersetia dan berkhidmat.

Jadilah pemimpin sejati yang tinggi akal budi, suci jiwa rohani, berani menghadapi cabaran dan cekal memacu perubahan sepertimana yang digambarkan dalam ungkapan Melayu ini.

Memakai syarak lahir dan batin

Imannya tebal adat pun kental

Takwanya nampak ilmu pun banyak

Berdada lapang berfikiran panjang

Bermuka jernih berlidah fasih

Berpendirian kukuh berakal senonoh

Berpijak tidak berkisar

Bercakap tidak beralih

Beraninya menahan uji

Setianya tahan dicuba

Taatnya tahan dilipat

Hayatilah firman Allah s.w.t. mengenai kecekalan iman para pemuda al-Kahfi yang oleh kerana keimanannya itu, mereka ditambahi petunjuk oleh Allah s.w.t.

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat petunjuk

Penghargaan Kepada YAB Presiden

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya yang setulusnya kepada YAB Presiden yang kita hormati dan sanjungi, di atas sokongan dan kepercayaan beliau kepada saya untuk menjalankan tugas dan kewajipan sebagai Timbalan Presiden. Iltizam saya ialah untuk membantu YAB Presiden dalam menyusuri haluan perubahan yang telah digariskan.

Presiden sebenarnya telah meletakkan penanda aras yang tinggi ketika beliau menyandang jawatan Timbalan Presiden. Justeru, bukan mudah bagi saya untuk mencapai penanda aras itu tanpa sokongan YAB Presiden dan saudara-saudari sekelian.YAB Presiden kita juga telah memacu perubahan dan pembaharuan di peringkat kerajaan, yang kini Alhamdulillah telah diterima baik oleh rakyat. Bukti terjemahan sokongan rakyat kepada UMNO ialah kemenangan besar kita dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang. Sebagai ahli UMNO, kita semua mesti menyambut semangat perubahan yang telah dimulakan oleh YAB Presiden di peringkat kerajaan sambil memacu gelombang perubahan di dalam parti.

Yakinlah, perubahan pucuk pimpinan parti, kesediaan untuk meminda perlembagaan dan semangat kental pimpinan baru ketiga-tiga sayap, adalah petanda bahawa UMNO sedang menuju ke ufuk kegemilangannya semula. Dari wajah saudara-saudari yang berada dalam dewan perhimpunan malam ini terpancar sebuah harapan baru bahawa UMNO akan bangun semula dengan lebih bersiap-siaga, lebih perkasa.

Marilah kita mempertautkan hati, memperkukuhkan tekad, memperteguhkan itizam untuk menyemarakkan terus api perjuangan parti. Marilah kita rapatkan saf, gerakkan kesatuan minda, pertautkan kesatuan hati, dan laksanakan kesatuan amal bagi mencapai kesatuan matlamat. Ayuh kita jayakan cita-cita wahdah ini. Sesungguhnya masa depan agama, bangsa, dan negara tercinta ini berada dalam genggaman tangan kita sekalian. Maka laksanakanlah semua ini dengan satu tekad perubahan agar UMNO tetap relevan sepanjang zaman. Marilah kita menggalas tuntutan perubahan.

Posting Kedua - 9.50 malam

Perubahan dan Relevan -- kedua-duanya saling berkaitan, ibarat ruh dan jasad, ibarat aur dan tebing, yang satu menyokong yang lain, yang satu memperkuat yang lain. Tidak ada ertinya sekiranya kita hanya mampu berubah tetapi tidak menjadikan UMNO releven dengan putaran masa. Justeru, UMNO perlu menjadi releven memahami suara, bahasa, gaya dan nuansa politik baru. UMNO perlu menjadi releven dalam dunia terbuka tanpa sempadan dan di tengah-tengah ledakan maklumat dan ilmu. UMNO perlu terus menjadi releven dengan mewakili suara orang Melayu, Bumiputera dan rakyat keseluruhannya.

Mendepani Cabaran


Parti kita pada saat ini sedang diuji dengan cabaran dan tantangan yang getir. Apa yang dikatakan tsunami politik sewaktu Pilihan Raya Umum 2008 bagai menghasilkan musibah berupa trauma yang masih terbekas di sanubari kita. Bagi kebanyakan orang, trauma ini masih belum kebah.

Dalam suasana segetir ini, kita seolah-olahnya sedang berada di pinggiran tebing yang curam. Di hadapan kita lurah yang dalam, sementara di belakang kita gunung-ganang dan cenuram yang tinggi. Dalam keadaan sedemikian, kita sebenarnya tiada pilihan. Jika kita terus berarak ke tebing, kita akan tersungkur ke lurah dan rebah buat selama-lamanya. Kita berada di persimpangan bagaikan dalam nestapa zaman gila seperti yang disebut oleh pujangga Ronggowarsito dalam syairnya “Jaman Edan” atau Zaman Gila.

Gambaran zaman edan turut dapat dirasakan hari ini apabila rakyat dihidangkan dengan fitnah dan pembohongan sehingga kekeliruan dan kepalsuan menjadi kebiasaan. Khabar angin, provokasi, cerita palsu dan berita sensasi sengaja direka untuk membangkitkan rasa benci terhadap musuh. Masyarakat sukar untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, antara kebaikan dan kemungkaran. Akhirnya, yang benar menjadi palsu, yang palsu menjadi benar. Yang ma’ruf menjadi mungkar, yang mungkar menjadi ma’ruf. Yang adil menjadi zalim, yang zalim menjadi adil. Yang hak menjadi batil, yang batil menjadi hak. Ini adalah hasil tangan-tangan mereka yang melakukan kerosakan atas nama kebebasan, kesaksamaan, keadilan dan juga atas nama agama. Matlamat menghalalkan cara, walaupun taruhannya sebuah bangsa dan negara. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 11-12:

Yang bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”.

Golongan yang membuat bencana dan kerosakan ini menjadi angkuh dan sombong ketika tuhan menguji mereka dengan sedikit kuasa. Lalu mereka berarak di jalan-jalan raya konon menunjuk jaguh kuasa, mereka menentang suara demokrasi konon kuasa rakyat bersama mereka, mereka mengherdik kehakiman Negara konon dikasi oleh adikuasa, mereka membentak polis konon dikawal kuasa mereka, malah mereka menyanggah Suruhanjaya Pilihanraya bila keputusan-keputusan tidak berpihak pada mereka. Mereka alpa dengan peringatan Allah agar tidak memecah belahkan umat, agar tidak menabur fitnah, agar tidak menghina dan mencaci sesama manusia. Mereka berasa tidak berdosa ketika kononnya bercakap tentang keadilan dan keIslaman, tetapi terus menggugat dan meruntuhkan nilai keIslaman mereka.


Oleh yang demikian, hayatilah peringatan sejarawan Islam Ibn Khaldun dalam karyanya Muqaddimah. Dalam kitaran sejarah, kejatuhan sesuatu bangsa itu bermula dengan menularnya sikap mementingkan diri serta lunturnya semangat kesepaduan di kalangan generasi terkemudian. Mereka lupa bahawa kemakmuran yang mereka kecapi adalah hasil daripada perjuangan, pengorbanan dan kesatuan hati generasi terdahulu dalam membangun jiwa dan mengangkat maruah bangsanya. Pertelagahan dan perbalahan sesama sendiri menjadi lumrah apabila nafsu serakah terhadap kuasa dan harta bermaharajalela. Apabila sikap ini sudah menular dan tidak dapat dibendung lagi, bangsa ini akan rebah.

Melihat ke dalam masalah ini, kita mesti berfikir sejenak, bermuhasabah diri, membetulkan langkah, membulatkan tekad, mempertautkan hati dan bersama-sama mara mendaki ke puncak. Kita mesti belajar dari pengalaman lalu dan memperbetulkan diri. Dengan berbekalkan sejarah dan tradisi kita memperkukuhkan keyakinan, dengan berbekalkan semangat dan iltizam kita melangkah ke hadapan, dengan berbekalkan sumpah keramat penubuhan parti, kita membela agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya, masa berlalu dan pemimpin silih berganti. Namun persetiaan untuk menggalas perjuangan luhur UMNO membela agama, bangsa dan tanah air demi kesejahteraan rakyat mesti ditunaikan.

Tradisi perjuangan kita membela bangsa tidak pernah padam meskipun terpaksa berhempas pulas dalam gelombang sistem politik demokrasi. Kita sedar demokrasi tidak mengenal rekod pencapaian dan sejarah perjuangan silam. Sebuah parti yang banyak berjasa dan gah berkuasa sekalipun boleh rebah sekiranya tidak lagi diterima oleh rakyat.

Sejarah parti-parti kemerdekaan di Negara-negara serantau banyak memberi pengajaran dan keinsafan. Parti Golkar di Indonesia tidak lagi sekental dulu. Parti Nacionalista di Filipina telah lama tumpas. Yang paling mutakhir tumbang ialah Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun yang telah banyak berjasa membangunkan semula negara Jepun selepas Perang Dunia Kedua.

Apakah yang menyebabkan parti-parti ini kecundang? Apakah jasa dan bakti parti-parti ini kepada pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negara masing-masing tidak lagi dikenang oleh rakyat? Apakah rakyat mempunyai kehendak dan aspirasi yang berbeza daripada apa yang mampu ditawarkan oleh parti-parti ini? Atau apakah parti-parti ini menjadi angkuh dan pemimpinnya tamak oleh kerana terlalu lama berkuasa?

Posting Pertama - 9.41 malam

Jiwa Baru UMNO

Pertemuan kita kali ini membawa pengertian besar bagi parti UMNO yang sedang menakhoda zaman. UMNO baru sahaja melalui perubahan besar dalam sejarah kepimpinannya. Untuk sekian kalinya kita menyaksikan kepimpinan baru pada semua peringkat – dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri. Tahniah saya ucapkan kepada barisan kepimpinan UMNO yang baru, khususnya kepimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang berada di sini pada malam ini.

Apa yang menarik ialah YAB Presiden dan saya sendiri lahir dari madrasah pemuda UMNO. Ketiga-tiga Naib Presiden juga lahir daripada madrasah yang sama. Ketua Wanita lahir dari proses kematangan dan kepimpinan dalaman wanita. Demikianlah juga ketua pemuda dan ketua puteri lahir daripada tarbiah kepimpinan pemuda dan Puteri. Saya amat berbangga bahawa di hadapan saya pada malam ini adalah terdiri dari barisan kepimpinan masa depan UMNO yang di dalam genggaman tangan saudara saudari sekelian yang akan mencorak nasib dan masa depan agama, bangsa dan tanahair.

Saudara saudarilah yang sebenarnya mewakili jiwa baru UMNO bagi menggalas cabaran dan tuntutan perubahan di tengah-tengah landskap politik negara yang baru. Jiwa baru yang mewakili setiap suara orang Melayu, bumiputera dan rakyat Malaysia. Jiwa baru yang dibina dengan idealisme perjuangan dan setia menjadi ahli parti. Jiwa baru yang bersedia dan berani melakukan perubahan. Inilah gelombang perubahan UMNO.

Saya yakin UMNO mahu berubah. UMNO telah mula berubah. Dan UMNO akan terus membuat perubahan untuk kebaikan. Sebagai sebuah parti yang lahir dari suara Melayu dan yang mendapat dokongan rakyat, UMNO pasti akan melakukan perubahan untuk mencapai kebaikan. UMNO tidak tertegak sebagai parti yang statik, jumud dan beku ketika zaman sedang berubah dengan pantas. Sejarah membuktikan UMNO adalah parti yang sentiasa menjana kekuatan, melakukan penyesuaian dan sentiasa membentuk kepemimpinan pelapis sebagai sebahagian daripada proses perubahan. Yang patah pasti tumbuh, yang hilang akan berganti.

Inilah sebenarnya yang menjadikan UMNO parti yang dinamis, berubah mengikut masa, dan membuat penyesuaian mengikut keperluan dan tuntutan zaman. Kita sedar tanpa kesediaan untuk berubah, UMNO akan diubah. UMNO mengambil serius tuntutan ke arah perubahan ini kerana proses pembugaran semula adalah kunci kekuatan UMNO masa kini bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Maka haluan besar tuntutan untuk semua warga UMNO adalah untuk membuktikan bahawa kita bersedia melakukan perubahan dan memastikan UMNO tetap relevan.

7 comments:

Nurul Shaza said...

Common errors during reengineering/Rekayasa

1.Trying to fix a process instead of changing it

2.Trying to make reengineering happen from the bottom up

3.Skimping on assigned resources

4.Trying to make reengineering happen without making anybody unhappy

5.Neglecting people’s values and beliefs

6.Being willing to settle for minor result

(Reengineering the Corporation, Michael Hammer)

Frodo Baggins said...

TSMYA 4ever!!!


orang2 UMNO okcok2 mokcik2 akak2 abg2 sila berubah ~ low profile sikit!


xoxoxooxoxo


>>____<<


((sorry, wa sesat ...))

Anonymous said...

1.UMNO mempunyai ramai PAHLAWAN Bahasa tetapi kurang PAHLAWAN Bangsa.

2 Ulangan prosa ibarat surat khabar lama. Peperangan yg sebenar nya UMNO & 1Malaysia adalah Keselamatan & Ekonomi.

3. Kita kerap mensasarkan peperangan dimedan yang salah (seperti, ragut,jenayah, Kenaikan harga barangan asas, kemiskinan bandar dan bermacam lagi) dan selalu diakhiri finger pointing diantara kerajaan, ahli politik , peniaga dan penguna.

4. Kita gagal melihat isu kenaikan barangan, jenayah adalah akibat kekurangan pendapatan.

5. Contoh gaji Executive lepasan Universiti adalah sekitar RM2k lebih. Gaji Pengurus sekitar RM 4 ~ RM5klebih. Scale gaji ini adalah 15 tahun dahulu tetapi masih dan tidak berubah.

6. Kekuatan mata wang adalah penting untuk mengimbang kenaikan barangan.

7. Contoh gaji Security di Singapore SD1.5 ~2.5k. Nasi ayam masih dijual sekitar SD1.5 ~ SD2.5dollar. Dan masih ada makanan untuk lunch SD2 dijual dikebanyakan foodcourt.

8. Di Malaysia security sekitar RM1k ~ RM2k. Nasi ayam RM4.5 ~ RM5.

9. Kita membuat perbandingan dollar to dollar dengan kadar 1:1 bagi mengira pendapatan dan perbelanjaan keperluan.

10. Penguna di Singapore, berbelanja lebih dari penguna Malaysia dan masih bolih menabung.

11. Penguna melayu Malaysia banyak menabung dizaman TDM tetapi amat kurang dizaman ini.

11. Penguna Malaysia berjuang untuk hidup akibat kenaikan material dan berlaku dgn banyak nya jenayah mahupun rasuah samada swasta atau kerajaan.

10. Tetapi sayang, Pemimpin pilihan kita kerap mengatakan ' Harga kita yg paling terendah didunia'.

11. Ada baik nya UMNO berperang dan berjuang kearah ini dan bukan melaungkan iklan NEP & nasib melayu.

-JantanGiler-

the indie story said...

SYABASSS DAN TAHNIAH KEPADA NAJIB TUN RAZAK. Syabas kerana berani menjadi pemimpin yang handal, tidak takut kepada persaingan jawatan Presiden UMNO. Tahniah kerana berani membawa halatuju UMNO kearah Perubahan Besar. Baca lain...

Ekoran pemansuhan sistem kuota pencalonan untuk jawatan parti , termasuk Presiden dan Timbalan Presiden. Bukan senang hendak melaksanakan tindakan nekad sebegini. Baca lagi...

Dengan pemansuhan tersebut setidak-tidaknya Najib telah mendedahkan dirinya kepada satu kedudukan yang teramat-amat bahaya.

1) Kemungkinan besar beliau akan dicabar dimasa-masa hadapan tanpa ada lagi ‘Perlindungan Sakti’. Tangkal kebal Najib sudah dilucutkan. Sudah dibaling jauh-jauh. Berkemungkinan juga Najib takut mendatangkan syirik Kubra... heh!

2) Beliau akan dikenang dan diangka sebagai seorang Presiden UMNO yang berjiwa besar yang sanggup meletakkan kepentingan Demokrasi Parti daripada kepentaingan sendiri. Dengan ini sekurang-kurangnya imej hitam yang terpalit semenjak Kest Altantuya akan dilunturkan sedikit demi sedikit. Walauapaun Keberanian Najib masuk Gelangan Pertarungan telah membuktikan beliau sebagai Berpantang Maut Sebelum Ajal.

3) Masih ada Harapan untuk membersihkan amalan RASUAH didalam UMNO, yang mengikut prosedur parti. Sperti yang cuba dibuat oleh Anwar Ibrahim satu masa dahulu. (kononnya)

Sila baca selebihnya di:

theindiestory.blogspot.com/

Mohd Nadzri Kamsin said...

Dunia Tiger, tak ada ulasan ker?

NGINAP SRENGENGE @ SRENGENGE said...

orang melayu ni bila bercakap cukup hebat , tapi kerja buat paling leceh.

ibrahim yahaya said...

Sdr Nadzri dan Nginap,

Saya berdoa agar ahli UMNO berubah apabila balik ke akar umbi kerana mereka tidak ada masa lagi untuk 'berpoya-poya' dan 'beristirehat'. Dah dekat dah PRU 13. Kena kerja kuat dan ubahlah fiil yang merugikan parti dan negara.