('Orang Bujang' yang tidak pernah berpaling tadah kepada parti. Juga tidak pernah menjadi pengkhianat kepada negara)
Oleh Roslan Bian (AgendaDaily)
Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dicalonkan BN bertanding di Bagan Pinang sebagai ‘local hero’.
Gelaran itu diungkapkannya ketika berucap di majlis pengumuman calon PAS, Zulkifli Mohd Omar yang akan menentang mantan Menteri Besar Negeri Sembilan dalam PRK -pada 11Oktober depan, malam Selasa.
Mungkin pemimpin veteran DAP itu berniat menyindir Isa tetapi hakikatnya Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu memang ‘hero’ yang cukup dikenali hati budinya oleh rakyat Negeri Sembilan khususnya di Teluk Kemang.
Berdepan ‘hero’ bertubuh kerdil ini, nyata membuat pembangkang berasa cukup goyah.
Sebab itu, belumpun tempoh berkempen bermula, pemimpin pembangkang sudah menyerang Isa dengan isu politik wang – senjata yang memang diduga akan digunakan lawan selain isu undi pos dalam pilihan raya kecil itu.
Kit Siang dan juga Naib Presiden PKR, Azmin Ali menjadikan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah yang lantang mengkritik Isa dan UMNO apabila nama bekas Naib Presiden UMNO itu diuar-uar akan bertanding.
Ini adalah helah yang kerap digunakan pembangkang bagi menarik simpati dengan menunjukkan pemimpin UMNO sendiri ada yang tidak setuju parti itu mencalonkan pemimpin yang disabitkan dengan politik wang.
Pemimpin DAP itu membayangkan Tun tidak dapat tidur manakala Ku Li akan lebih sakit hati apabila nama Isa diumumkan untuk bertanding oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang Selasa.
Namun begitu, baginya, pertandingan Isa dengan Zulkifli adalah ibarat pertembungan ‘masa lampau dengan masa depan’ apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwanya terdesak memilih Isa.
Azmin yang turut berucap di majlis itu menyifatkan BN cuba memperbodohkan pengundi di Bagan Pinang dengan meletakkan calon yang korup.
Sebenarnya, pengundi Bagan Pinang bukanlah bodoh untuk menerima bulat-bulat apa diluahkan pemimpin pembangkang terhadap Isa.
Rakyat Negeri Sembilan sudah cukup tahu jasa-jasa Isa menjadi Menteri Besar selama 22 tahun dan kes politik wang bukanlah satu alasan kukuh untuk mereka menolak bulat-bulat Isa mewakili DUN Bagan Pinang.
Disebalik cuba menggambarkan Isa seorang yang rasuah dan bersalah, pembangkang harus ingat dan jangan lupa, ada kalangan pemimpin mereka juga bersalah, di penjara tetapi kini ada bergelar wakil rakyat dan Ketua Menteri.
Seperti dijelaskan Isa berhubung isu itu, beliau berkata, "Malah kes-kes jenayah pun orang boleh terima, ada yang dah jadi Ketua Menteri, ada dah jadi Menteri dan ada yang bercita-cita nak jadi Perdana Menteri lagi, semua ada, jadi apa masalah dengan saya?" .
Sebelum menunding jadi, Kit Siang patutnya sedar anaknya, Lim Guan Eng pernah dihukum penjara selama 18 bulan di bawah dua Akta, iaitu Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, menjalani hukuman dan akhirnya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
Azmin pula patut sedar, boss beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara selama enam tahun atas kesalahan salah guna kuasa.
Begitu juga dengan hukuman liwat walaupun dibebaskan kerana Mahkamah Persekutuan mendapati bukti-bukti yang dikemukakan tidak cukup kukuh untuk mensabitkan kesalahan tetapi hakim-hakim percaya wujud kejadian itu dan mahkamah sebelumnya telah mensabitkan kesalahan ke atasnya.
Hari ini Anwar jadi ahli parlimen Permatang Pauh dan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen serta masih bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri.
Mengapa mereka biarpun sudah didapati bersalah oleh Mahkamah dan menjalani hukumannya masih menang dalam pilihan raya?
Jawapannya tentulah kerana rakyat di kawasannya mahukan beliau menjadi wakil mereka. Biar apa pun pandangan undang-undang dan masyarakat terhadap mereka namun mereka tetap menjadi pilihan rakyat di kawasan mereka.
Dalam PAS pula ada pemimpinnya ditangkap berkhalwat dengan isteri orang kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah atas sebab teknikal dan masih menang pilihan raya.
Ku Li pula pernah dituduh terbabit skandal BMF, bertanding atas tiket S46, masih menang di Gua Musang.
Ini mengambarkan rakyat mahupun pengundi bijak menentukan siapa mereka mahu sebagai wakil rakyat mereka tambahan pula jika calon yang bertanding sudah terbukti berkhidmat dan disenangi mereka.
Cukuplah pembangkang menjual isu politik wang untuk membunuh karektor Isa dalam pilihan raya kecil ini.
Janganlah mereka meludah kelangit kerana nanti ludah tertimpa muka sendiri.
Pencalonan Isa sudah mengambil kira semua pertimbangan ini termasuk suara akar umbi sehingga parti masih meletakkan amanah dan kepercayaan untuknya bertanding.
Lagipun, Isa bukan melakukan jenayah sebaliknya pelanggaran kod etika pemilihan dan telah menjalani hukuman pengantungan selama tiga tahun.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas Azman Mohd Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), di sini awal bulan lalu.
Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan selepas memperoleh 6,430 undi, menewaskan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.-30/9/2009
(Renungan Rimau : Ketika ramai yang tersilap teka, ramai juga yang menyatakan 'realisme' mengatasi segala-galanya termasuk 'idealisme' yang semakin memuncak atau masih tersemat dalam sanubari ramai pemimpin di negara ini. Hakikatnya, 'realisme' itu mengatasi 'idealisme' dalam pertarungan 'tempatan' bukannya peringkat nasional yang sudah pasti penumpuan terhadap 'idealisme' akan diberikan perhatian seratus peratus. Namun, umum tahu bahawa jika 'idealisme' yang menjadi keutamaan dalam pertarungan 'tempatan' ini maka jika ketakutan untuk mengakui 'realisme' ini sebenarnya mungkin boleh mencacatkan strategi keseluruhan. Nasib baiklah ada juga kegeligaan otak untuk memberi tumpuan kepada 'realisme' dalam menghadapi pertarungan yang ramai sudah tahu apakah kesudahannya).
Thursday, October 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
para logikal nya..peluang Ts Isa Samad serta pengaruhnya masih ada...tetapi seperti yg selalu saya war warkan...jentera Umno dan B.N di Bagan Pinang yg utama perlu mengembeling tenaga untuk kerjaya Ts Isa..pakat-pakat kita buat keja untuk kita MENANG BESAR...jangan ia jadi slogan tapi kerja tak jalan..jangan harap tenaga luar nak pi kempen kawasan anda sendiri
assalamualaikum Tok tiger
dari segi sokongan rasanya di bagan pinang BN tiada masalah, dan saya juga percaya yang TSI masih mahu terus menyumbang khidmat kepada masyarakat disana.
pembangkang hanya boleh menjadi hero dengan memperlekehkan orang lain. yang jelas mereka
tiada kebijaksanaan dalam melaksanakan apa apa pun kecuali melaksanakan kempen memburuk2 kan orang lain.
http://art-harun.blogspot.com/2009/10/civil-service-and-politics_07.html
Post a Comment