JAKARTA 17 Okt. - Seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Drs. Ramadhan Pohan hari ini melabelkan pihak yang membuat dakwaan kurang berasas ekoran kononnya Malaysia menceroboh wilayah Indonesia itu sebagai sedang berhalusinasi.
Ramadhan yang juga anggota Jawatankuasa Kerja Sempadan, Suruhanjaya II DPR menyelar tindakan pihak yang sengaja mencetus provokasi tidak berasas itu.
Menurut Penolong Setiausaha Agung Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono itu, adalah tidak bertanggungjawab bagi seorang ahli politik menyampaikan maklumat tidak tepat kepada rakyat.
Lebih memalukan, Ramadhan menolak dakwaan kononnya wilayah Camar Bulan milik Indonesia dan kini dikawal oleh 3,000 anggota Pasukan Gerak Am (PGA) Malaysia.
"Tidak ada 3,000 anggota PGA yang mengawal wilayah kita (Indonesia). Yang ada cuma pokok-pokok. Tidak timbul isu tersebut. Yang membuat dakwaan kononnya ada askar Malaysia (anggota PGA) mungkin sedang berhalusinasi," katanya menyindir pada sidang media di sini, hari ini.
Isu wilayah perbatasan Malaysia-Indonesia ditimbulkan oleh Timbalan Ketua Suruhanjaya I DPR, TB Hasanuddin dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang mendakwa kononnya wilayah Camar Bulan seluas hampir 1,500 hektar dan wilayah Tanjung Datu seluas 800 meter garis pantai telah diambil oleh Malaysia secara haram.
Dakwaan sedemikian bagaimanapun dinafikan secara konsisten oleh kerajaan Indonesia melalui empat menteri kabinetnya dan juga oleh Panglima Tentera Nasional Indonesia, Laksamana Agus Suhartono.
Pada sidang media yang dibuat secara bersama dengan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini, Ramadhan turut mendedahkan beberapa foto yang dirakamkan beliau menerusi telefon bimbit ketika mengadakan kunjungan ke dua daerah berkenaan hujung minggu lalu.
Kata Ramadhan, beliau berkunjung ke wilayah Camar Bulan dan Tanjung Datu, Kalimantan Barat bersama empat anggota DPR pada Jumaat lalu untuk melihat sendiri suasana di sana.
Berdasarkan tinjauan yang dibuat, Ramadhan mendapati tidak ada sejengkal pun tanah Indonesia yang dirampas Malaysia.
Beliau pada masa sama yakin Hasanuddin tidak pernah berkunjung ke wilayah Camar Bulan atau Tanjung Datu untuk melihat keadaan sebenar tetapi berani membuat kenyataan yang tidak berasas itu.
Berikutan kenyataan provokasi berkenaan, beberapa pertubuhan bukan kerajaan Indonesia mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Kedutaan Besar Malaysia.
Minggu lalu, selama dua hari berturut-turut demonstrasi diadakan oleh pertubuhan Forum Betawi Rempug (FBR) dan Laskar Merah Putih (LMP).
Hari ini pula, satu lagi kumpulan yang terdiri daripada 20 penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di sini. - Utusan
(Renungan Rimau : Masalah dengan golongan yang mahu mencetuskan pertelingkahan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia ialah satu - sakit mental. Jika di negara ini perlu dihantar ke Tampoi atau Tanjung Rambutan untuk diubati. Mereka perlu diubati kerana mereka akan sentiasa mencari benda-benda pelik untuk 'dibuat main'. Macam-macam budak-budak semuanya dibuat main termasuklah api sehingga boleh membakar rumah ibu bapanya. Isu benci-membenci ini tidak seharusnya dimainkan kecualilah kita dibayar untuk memainkan isu tersebut. Ingatlah tiada siapa yang akan menang jika isu ini berlarutan kerana yang kalah jadi abu dan yang menang jadi arang).
Tuesday, October 18, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Sejak zaman konfrontasi pernahkah kita terfikir Indonesia, walaupun kononnya kita bersudara dari satu rumpun yang sama, ikhlas dan jujur membuat kenyataan. Kalau tak ada unsur politik diselitkan dalam apa jua pernyataan, ia tidak dianggap sah. Mentaliti Indonesia abang, Malaysia adik sudah tertancap sejak itu dan sampai kapan-kapan. Semuanya atas nama "political mileage".
Tuan, Selaku orang yang dekat dgn kerajaan, apasal Proton Edar berkempen 'Malaysian First" dan diiklankan ke seluruh radio-radio?
Bukan ke 'Malaysian First' tu propaganda DAP?
Tak paham betul.
Mana pergi orang kerajaan ni? semua dah kena beli ke?
Nak hilang undi melayu lagi ni nampaknya.
Post a Comment