Sunday, October 23, 2011

MURTAD : BUKAN JUALAN LANGSUNG

JIKA kita selalu menghadiri program ceramah besar-besaran PAS, kita akan dapati cara kerjanya (SOP) sama dengan Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang diadakan di Stadium Shah Alam petang Sabtu.

Baik dari segi kedudukan petugas yang menyambut orang ramai, susun atur program, ungkapan takbir setiap kali habis ucapan, bentuk dan design banting yang tergantung di sekeliling stadium, dan paling terang sekali, sebelum penceramah terakhir berucap, keluar karung khas kutip derma, memang sah DNA PAS.

Bagi wartawan yang biasa liputi program UMNO dan PAS, sebahagian besar daripada 10,000 hadirin itu adalah aktivis-aktivis Islam yang sinonim dengan PAS bukannya UMNO.

Deretan belia dan beliawanis, berkopiah dan bertudung litup, duduk tertib dari awal hingga akhir majlis, jarang bertepuk tangan, memang sinonim dengan gerakan Islam di manapun.

"Mereka ini aktivis Islam yang selama ini menyokong PAS dan mula kecewa dengan Pakatan Rakyat," kata seorang bekas pemimpin PKR pusat ketika kami terserempak di majlis tersebut.

Menurut beliau, majoriti yang hadir itu adalah golongan yang kecewa dengan pengaruh kumpulan Erdogan dalam parti Islam tersebut.

"Mereka merasakan PAS di era Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang ini terlalu berkompromi dengan isu-isu Islam seperti murtad yang sudah lama menjadi retorik dalam ceramah-ceramah PAS.

"Tapi mereka juga bukan penyokong apatah lagi pengundi UMNO, jadi HIMPUN menjadi medan mereka untuk menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap PAS Baru yang lari dari asas perjuangan dan retorik tradisi mereka," katanya.

PAS dalam muktamar terakhirnya Jun lalu bahkan menukar konsep Negara Islam kepada Negara Kebajikan bagi menarik sokongan bukan Islam kepada parti itu.

Penganjur bersama HIMPUN, Dr Yusri Mohamad memberitahu Agendadaily, beliau teruja melihat kehadiran ramai orang muda dalam majlis tersebut.

"Kami hanya mengharapkan NGO-NGO yang menyertai HIMPUN agar memobilisasi ahli mereka," katanya ketika ditanya cara penganjur kumpul peserta program tersebut.



Ada yang kata angka 10,000 itu tanda kegagalan penganjur kumpul satu juta tapi kalau kita lihat dari sudut lain, angka 10,000 adalah angka kehadiran biasa bagi program-program besar PAS di Lembah Klang.

"Sebut apa saja program besar PAS samada di Stadium Melawati atau Taman Melewar, kehadiran mesti kurang atau lebih 10,000, sebab apa, sebab itulah akar umbi mereka," kata bekas pemimpin PKR yang biasa dengan kerja-kerja mobilisasi penyokong PAS apabila program melibatkan Anwar Ibrahim.

"Jika di Kelantan atau Kedah mungkin boleh dakwa sehingga 50,000 tapi kalau di Lembah Klang, 10,000 itu angka sebenarnya," katanya penuh yakin.

Jika ditolak satu pertiga daripada 10,000 itu untuk penyokong Perkasa, UMNO, dan NGO seperti PPIM dan PEMIMPIN yang dilihat condong kepada kerajaan, yang lain itu memang dikenali berat belah pembangkang.

Dalam bahasa mudahnya, perhimpunan petang Sabtu itu adalah manifestasi kekecewaan kelompok gerakan Islam kepada PAS Baru.

Mereka kecewa melihat PAS yang tunduk kepada Anwar, yang tunduk kepada DAP sehingga hilang jati diri parti itu.

Sehingga mereka sendiri (ketua-ketua NGO Islam) perlu 'turun padang' menjadi satu kumpulan pendesak baru tanpa lagi bergantung harap kepada PAS yang kini dilihat banyak berkompromi asas perjuangannya untuk meraih undi bukan Islam.

Soal kehadiran bukan isu besar, bagi mereka yang duduk dan menyaksikan betapa bersemangatnya kumpulan HIMPUN ini, pasti sedar tapak sokongan PAS sudah bergoyang.

Apatah lagi bila ada cadangan dari wakil-wakil NGO yang berucap, mahu  menjelajah setiap negeri dengan HIMPUN dan disambut dengan laungan 'allahuakbar' yang gegak gempita.

PAS sehari dua lagi, akan merasai kesannya dan jangan terkejut sekali lagi parti menggunakan nama Islam itu menukar retoriknya seperti kes hudud baru-baru ini.



Selepas melihat PAS semakin hilang sokongan Melayu terutama di Kelantan, Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat tiba-tiba membangkitkan semula soal pelaksanaan hudud yang PAS sudah tidak bincang sekian lama.

Hujah PAS kepada DAP dan Anwar mudah, orang Kelantan mengundi PAS sebab nak laksana hudud.

Di Shah Alam petang Sabtu, kisah Datuk Dr Hasan Ali yang hadir dan berdoa menutup majlis bukan sebagai pemimpin atau ahli PAS tetapi sebagai umat Islam (seperti kata pengerusi majlis) pasti menjadi bualan dikalangan gerakan Islam.

Terutama ratusan wakil NGO, yang khuyuk mengaminkan tatkala Hasan Ali dengan mata berair berdoa "Ya Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati. Kekalkan kami di atas landasan Islam,".

Stadium yang boleh memuatkan 100,000 pengunjung itu mungkin terlalu besar untuk 10,000 yang hadir, tapi gema doa munajat yang dibaca Hasan Ali, pasti berbekas di hati mereka yang mengaminkannya dan berkembang kepada yang lain juga.

Kita sama-sama lihat nanti.-22\10\2011- OLEH HELME HANAFI

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sekalipun hadir sebagai Umat Islam…kemunculan Hasan Ali mengejutkan

Walaupun Pakatan Pembangkang sudah mengumumkan keputusan sebulat suara menegah ahli-ahli mereka menyertai Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) di Stadium Shah Alam, Sabtu, Exco Hal Ehwal Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali  tetap muncul.

Beliau yang juga ADUN PAS bagi Gombak Setia, tidak berucap, tetapi sekadar memimpin bacaan doa penutup perhimpunan. Begitupun kehadirannya tetap menarik perhatian. Hasan Ali enggan ditemuramah oleh media selepas perhimpunan berkenaan.

Sebelum Hasan Ali, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamada sudahpun membuat kejutan terlebih dahulu apabila dia tampil berucap.

Kehadiran Hasan Ali, walaupun tidak berucap dan tindakan Kamaruzzaman secara tidak langsung memberi tamparan hebat kepada Pakatan Pembangkang khasnya dan PAS amnya yang sebelum ini menuduh UMNO mendalangi penganjuran HIMPUN.

Polis menganggarkan kehadiran penonton 10,000, tetapi macam biasalah, media pembangkang hanya melaporkan 5,000.

Perhimpunan dimulakan dengan ucapan pengerusi bersama HIMPUN, Mohd Yusro Mohamad, diikuti penulis novel Natrah, Fatini Yaacob, pendakwah dari Sabah, Farhan Abdullah, wakil NGO Belia FELDA, Abdullah Abu Bakar, bekas timbalan naib canselor UiTM, Datuk Ibrahim Abu Shah, wakil Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Mohamad Hasan dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Pengerusi bersama HIMPUN yang juga pengerusi Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid muncul penceramah terakhir dan mengumumkan 10 resolusi HIMPUN.

Pada sidang media selepas itu, Azmi berkata walaupun kehadiran penonton tidak seperti diharapkan, penganjur tetap menganggapnya satu kejayaan. Katanya, apa yang penting, perhimpunan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau juga menjelaskan kehadiran Hasan Ali adalah sebagai individu beragama Islam dan bukan sebagai wakil PAS atau kerajaan negeri. – 22/10/11-OLEH NOOR HASILAH ISMAIL


BERITA AWAL- Walau kehadiran tak capai sasaran.. Himpunan Sejuta Umat berlangsung penuh semangat


Kalau nak diukur dari segi jumlah yang hadir di Stadium Shah Alam  yang boleh mengisi 100,000 orang memang ia gagal capai sasaran yang diharapkan. Namun Himpunan Sejuta Umat terus berlangsung penuh semangat.

Antara yang mengejutkan ialah kehadiran Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali dari PAS sendiri di majlis itu. Ini mengenangkan secara rasmi membuat keputusan tidak hadir.

Hadir sama di Majlis itu ialah Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang memberi ucap utama di majlis itu. Turut sama ialah Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Selain Harussani yang berucap menjelang hujung majlis,sebilangan pimpinnan NGO lain turut berucap.

Dr Hasan tidak berucap di majlis itu namun telah mengetuai bacaan doa dan munajat di akhir majlis itu pada jam 6 petang.

Sementara itu pengerusi jawatankuasa bersama penganjur Mohd Azmi Abdul Hamid dalam ucapan penutupnya antara lain membidas sikap ' lidah bercabang' pihak tertentu yang disebutnya cuba menakutkan dan memperlekehkan perhimpunan itu.

Katanya mereka bercakap tentang demokrasi tetapi tunjuk sikap seolah hanya perhimpunan anjuran mereka saja boleh tetapi perhimpunan ini ( Himpunan Sejuta Umat) . - AgendaDaily.

(Renungan Rimau : semoga perhimpunan ini mendapat berkat Allah SWT. Yang berita-iya hendak memurtadkan orang Islam tu, jangan cuba jolok sarang tebuan. Bahaya kerana jika tebuan sudah menyerang, bengkak seluruh badan nanti. Yang murtad, baliklah ke pangkal jalan dan jangan pula beriya-iya hendak membantu memurtadkan orang Islam. Ini bukan jualan langsung atau MLM yang dapat bonus jika dapat memurtadkan orang Islam. Sedarlah).

No comments: