Friday, August 24, 2007

ABE jumpa ABB


(Malaysia dan Jepun. Gambar oleh IY)

PUTRAJAYA, 24 Ogos (Bernama)- Sempena ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik, Malaysia dan Jepun hari ini menandatangani satu kenyataan bersama bagi menyatakan keazaman masing-masing untuk mengukuhkannya lagi bagi sama-sama menghadapi isu serantau dan antarabangsa.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe, menandatangani kenyataan itu di Pejabat Perdana Menteri di sini pada hari kedua lawatan rasmi tiga hari pemimpin Jepun itu ke Malaysia.

Dalam kenyataan itu, Abdullah dan Abe menyatakan keazaman untuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan modal insan dan meluaskan hubungan ekonomi yang menjadi asas kepada hubungan Malaysia-Jepun.

Mereka juga melahirkan hasrat untuk terus bekerjasama dalam lima bidang -- politik dan keselamatan, ekonomi, pembangunan modal insan, alam sekitar dan tenaga, serta arena antarabangsa -- berdasarkan cogan kata "Persahabatan Berkekalan dan Perkongsian Bermakna".

Sebelum itu, Abe diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana sebelum beliau dan Abdullah mengetuai delegasi masing-masing dalam satu mesyuarat.

Dalam kenyataan itu, Abe juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara ini 31 Ogos ini selain melahirkan rasa kagumnya dengan pencapaian Malaysia.

Abdullah pula menyatakan penghargaannya kepada Jepun kerana telah memberikan kerjasama ekonomi kepada Malaysia selama ini.

Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa lawatan itu telah menyuntik satu semangat baru dalam hubungan Malaysia-Jepun.

Abe turut mengundang Abdullah untuk melawat Jepun, dan menurut kenyataan itu, Abdullah menerima jemputan itu dan akan membuat lawatan itu pada satu masa yang sesuai.

Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun, pelbagai acara yang berkaitan diadakan di kedua-dua negara.

No comments: