Saturday, August 18, 2007

PAKLAH JANJI TAK HANCURKAN UMNO


(Paklah bertanya khabar dengan Pahlawan Negara, Kanang anak Langkau. Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut mendengar dengan penuh minat. Gambar oleh IY.)

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikritik hebat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu ini. Antara kritikan itu termasuk dakwaan beliau kini membawa parti itu ke arah kehancuran dan UMNO berada dalam keadaan yang paling lemah dengan pelbagai tekanan dari dalam dan luar Barisan Nasional.

Bagaimanapun, Paklah dalam pertemuan dengan Veteran Merdeka termasuk pejuang UMNO di Melaka, semalam, berjanji tidak akan membawa parti itu ke arah kehancuran dan kemusnahan. Janji itu dibuat ketika berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Veteran Merdeka anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di MITC, Melaka yang dihadiri oleh 3,500 pejuang negara.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ai Rustam; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan timbalannya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pengarah JASA, Datuk Mohd Amin Salih dan Pengerusi Veteran UMNO, Tan Sri Tajuddin Ali.

Paklah menegaskan beliau yang dibesarkan dalam keluarga UMNO sentiasa memahami perjuangan parti itu dan tidak sekali-kali melanggar wasiat dan amanah pejuang-pejuang UMNO lalu untuk memastikan parti itu maju dan gemilang bagi membela nasib orang Melayu. Paklah menegaskan nasihat ninda dan ayahandanya sentiasa segar di fikirannya untuk memastikan parti itu terus kukuh dan tidak mudah dipecah-belahkan oleh anasir luar.

Dalam pertemuan itu, Paklah juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada veteran merdeka daripada pelbagai bangsa yang berjuang untuk memastikan kemerdekaan Malaysia. Tanpa mereka, kita tidak akan berdiri di sini. Untuk itu, beliau mahu generasi muda sentiasa mengenang jasa veteran merdeka dan berusaha memastikan kemerdekaan ini terus dipelihara sepanjang masa.

Baca berita [ Utusan Malaysia ] mengenai janji dan usaha Paklah itu.

No comments: