Monday, August 6, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (29)

Aku terpaksa menenangkan Biola. Sejak semalam, beliau menangis apabila mengetahui Radja mati ditembak. Berita itu disiarkan dalam akhbar. Sirimau yang membawa akhbar itu ke Bukit Putra. Semua beruk berkumpul untuk melihat gambar Radja terbongkang dipenuhi darah. Gambar Radja di muka depan akhbar. Kepalanya hampir berkecai manakala kaki kanannya putus. Radja ditembak oleh pengawal keselamatan Pusat Penyelidikan Haiwan Pelik Selangor. Sungguh memilukan.

Mengikut Sirimau daripada berita yang diberitahu oleh Tok Yem, Radja ditembak kerana dia naik angin. Begitu berang raja beruk itu. Semua yang ada berdekatannya diserangnya termasuk ketua penyelidik yang bergelar Tan Sri. Radja merobek seluruh badan Tan Sri itu menyebabkan pengawal keselamatan tidak mempunyai pilihan. Mereka terus menembaknya dari jarak dekat setelah berjaya menariknya daripada Tan Sri.

Radja ditembak bertubi-tubi. Dia rebah setelah kepalanya hampir berkecai. Kesan gigitan Radja berada di seluruh badan Tan Sri itu. Nyawa Tan Sri itu masih panjang. Beliau segera diselamatkan dan kini ditempatkan di Unit Kawalan Rapi (ICU) Hospital Serdang. Bangkai Radja tidak dibuang, sebaliknya diserahkan kepada pusat penyelidikan itu. Mungkin untuk penyelidikan selanjutnya.

Dalam berita itu juga menerangkan punca Radja naik angin kerana seorang penyelidik mencucuk jarum besar ke lengannya. Belum habis tugas penyelidik berkenaan, Radja melompat dan menyerang semua yang berada berhampirannya. Ketua penyelidik yang bergelar Tan Sri cuba mententeramkan Radja tetapi tindakan itu tersalah langkah. Beliau tidak memahami tabiat beruk yang naik minyak. Beruk yang berang.

Anggota badan Tan Sri yang pertama diserang Radja ialah di bahagian kemaluannya. Radja menggigit sehingga banyak darah keluar daripada seluar Tan Sri itu. Darah menitis di celah kelangkang Tan Sri. Radja seterusnya menggigit lengan dan terus ke muka. Habis muka Tan Sri itu digigit oleh Radja. Taringnya yang tajam terus terbenam ke hampir setiap inci muka Tan Sri sehinggakan darah merah mengalir mencurah-curah. Peristiwa itu berlaku begitu pantas sehinggakan tiada siapa yang sempat membantunya. Akhirnya, pengawal keselamatan yang bertugas di pondok pengawal bergegas dan terus menembak Radja. Tersungkurlah raja beruk Bukit Putra.

Pasukan pembedahan plastik terpaksa dikejarkan ke bilik pembedahan untuk membincang kaedah membentuk semula wajah Tan Sri itu. Mukanya yang hampir rabak terpaksa dijahit semula sebelum pembedahan plastik dilakukan. Dalam ertikata lain, muka Tan Sri kini terpaksa diubah akibat serangan Radja yang tidak berperihaiwanan. Isteri ketua penyelidik itu yang datang melawat suaminya jatuh pengsan setelah melihat muka Tan Sri. Beliau menjadi histeria dan terpaksa diusung keluar dari ICU.

Menjelang petang, tangisan Biola semakin berkurangan. Beliau kini terpaksa akur dengan kematian Radja. Tiada lagi raja beruk di Bukit Putra. Tiada lagi beruk albino yang menjadi sanjungan dan simbol keagungan beruk. Radja ditembak bertubi-tubi. Beliau gugur ketika menyerang Tan Sri. Aku akan mencadangkan agar sebuah patung Radja dibina di Bukit Putra untuk mengingatinya. Ini penting bagi membolehkan generasi beruk akan datang mengingati Radja, raja beruk segala beruk.

No comments: